KUALA LUMPUR — Perbadanan Kota Buku (PKB) mengajak orang ramai, komuniti pendidikan, keluarga, pemain industri buku dan delegasi antarabangsa untuk mengunjungi ruang-ruang utama kendaliannya sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun ini di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL).
Tahun ini, PKB tampil dengan pendekatan lebih menyeluruh menerusi pelbagai inisiatif yang ditempatkan di beberapa lokasi strategik di WTC KL bagi memberikan pengalaman lebih dinamik kepada pengunjung dalam meneroka dunia buku, pendidikan, teknologi digital dan perdagangan hak cipta.
Antara program utama yang diketengahkan termasuk Perolehan Pintar Buku Nasional, Asian Rights Fair (ARF), PBAKL Dalam Talian @ Book Capital, Pasport Kota Baca serta Reruai Pameran PKB.
Menurut PKB, pendekatan tersebut mencerminkan peranan badan itu sebagai penggerak ekosistem perbukuan negara yang menghubungkan pendidikan, teknologi digital, perdagangan hak cipta dan pembangunan industri kreatif secara lebih tersusun serta relevan dengan perkembangan semasa.
Perolehan Pintar Buku Nasional yang berlangsung di Bilik Cempaka, Aras 5, WTC KL menjadi antara fokus utama tahun ini bagi memperkukuh sistem perolehan buku sekolah dan institusi pendidikan secara lebih cekap dan digital.
Program itu menghimpunkan 34 pempamer, 40 rak pameran serta penglibatan wakil daripada 16 Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dari seluruh negara.
Sepanjang PBAKL 2026, Guru Pusat Sumber, pustakawan sekolah dan institusi pendidikan turut berpeluang menyertai sesi padanan bersama penerbit, rundingan perolehan buku, kurasi judul pendidikan serta penerangan berkaitan platform digital bagi memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti.
Dalam masa sama, PKB turut memperkukuh jaringan antarabangsa industri buku menerusi ARF yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei di Bilik Redang, Aras 3, WTC KL.
Program itu menghimpunkan penerbit, ejen hak cipta, pembeli hak penerbitan dan delegasi industri buku dari dalam serta luar negara bagi memperluas peluang perdagangan kandungan dan kerjasama rentas sempadan.
Bagi edisi kali ini, ARF melibatkan jaringan daripada 26 negara, tujuh Duta Hak Cipta ASEAN serta menyediakan 50 meja padanan perniagaan untuk sesi rundingan hak cipta dan jaringan industri antara penerbit tempatan dan antarabangsa.
PKB memaklumkan platform itu membuka peluang kepada karya Malaysia untuk dipasarkan, diterjemahkan dan diterbitkan di peringkat antarabangsa sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab perdagangan hak cipta dan kandungan kreatif serantau.
Selain itu, pengalaman pesta buku hibrid turut diperkasakan menerusi PBAKL Dalam Talian @ Book Capital yang membolehkan pengguna membeli buku secara dalam talian sepanjang musim PBAKL.
Melalui platform tersebut, pengguna boleh mengakses lebih 950 ribu judul buku daripada 1,015 penerbit dan penjual buku di seluruh negara menerusi laman sesawang rasmi Book Capital.
Platform itu turut menawarkan pelbagai promosi termasuk diskaun RM10 bagi pembelian RM25 dan ke atas sepanjang tempoh kempen dari 25 Mei hingga 14 Jun 2026.
Dalam usaha menggalakkan budaya membaca dalam kalangan keluarga dan generasi muda, PKB turut memperkenalkan Pasport Kota Baca yang mengetengahkan aktiviti eksplorasi membaca secara interaktif melalui konsep pengumpulan cap, ganjaran dan cabaran membaca.
Sementara itu, Reruai Pameran PKB di ruang legar WTC KL akan memaparkan pelbagai perkhidmatan dan pembangunan strategik berkaitan industri buku termasuk platform digital, perdagangan hak cipta, penerbitan digital dan penggunaan teknologi kepintaran buatan (AI) dalam landskap industri buku masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Adibah Omar berkata pihaknya mahu menjadikan PBAKL 2026 sebagai platform yang memperlihatkan perkembangan industri buku Malaysia seiring teknologi digital, pendidikan dan ekonomi kreatif masa hadapan.
“Hari ini, buku bukan lagi hanya tentang membaca, tetapi turut berkait dengan teknologi, perdagangan hak cipta, pembangunan bakat dan ekonomi kandungan global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PKB komited untuk memperkukuh budaya membaca, memperluas akses kepada buku berkualiti serta membuka lebih banyak peluang kepada kandungan tempatan untuk berkembang di peringkat global.













