IPA Congress 2026: Malaysia jadi tumpuan dunia, buka laluan industri buku tempatan ke pentas global

Ipcjulai

KUALA LUMPUR — Malaysia bakal menjadi tumpuan industri penerbitan dunia apabila dipilih sebagai tuan rumah International Publishers Congress (IPA Congress) ke-35, satu pengiktirafan yang mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab industri buku dan penerbitan yang semakin berkembang di Asia Tenggara.

Kongres dwitahunan yang berlangsung di bawah naungan International Publishers Association (IPA) itu akan berlangsung dari 5 hingga 9 Julai dengan menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada penerbit, tokoh industri, penggubal dasar, pakar hak cipta dan pemain ekosistem buku dari seluruh dunia bagi membincangkan pelbagai isu yang membentuk masa depan industri penerbitan global.

Penganjuran kongres itu diterajui oleh Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) bersama Perbadanan Kota Buku (Kota Buku) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai rakan strategik, manakala Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) bertindak sebagai rakan sokongan.

Presiden MABOPA, Sheikh Faisal Sheikh Mansor berkata, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah membuktikan keyakinan komuniti penerbitan antarabangsa terhadap kemampuan negara menganjurkan acara bertaraf dunia.

Beliau berkata, kongres tersebut akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama rentas sempadan, mengembangkan perdagangan hak cipta, memperluaskan pasaran kandungan tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada penerbit Malaysia untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Penganjuran IPA Congress merupakan satu pengiktirafan besar kepada industri penerbitan negara. Ia bukan sekadar menghimpunkan pemain industri dari seluruh dunia, malah menjadi platform untuk membina jaringan strategik, memperkukuhkan perdagangan hak cipta dan mempromosikan kandungan Malaysia ke peringkat global,” katanya dalam sidang media pengumuman penganjuran kongres itu, semalam.

Menurut Sheikh Faisal, antara tarikan utama IPA Congress 2026 ialah penganjuran business matching yang mempertemukan pemain industri penerbitan dari pelbagai negara bagi mewujudkan peluang kerjasama, perdagangan hak cipta, pembangunan kandungan dan pengembangan pasaran.

Beliau berkata, sesi padanan perniagaan itu menghubungkan penerbit, ejen hak cipta, penulis, pengedar, syarikat teknologi, penyedia kandungan pendidikan, institusi akademik serta organisasi industri melalui pertemuan profesional secara terus.

Perbincangan yang diadakan merangkumi peluang kolaborasi, pembelian dan penjualan hak cipta, penerbitan bersama, penterjemahan karya, pengedaran rentas sempadan, penggunaan teknologi dalam penerbitan serta potensi pelaburan dan kerjasama strategik dalam rantaian nilai industri buku.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar berkata penglibatan Kota Buku sebagai rakan strategik selaras dengan usaha memperkukuh keseluruhan rantaian industri buku negara yang melibatkan penerbit, penulis, penterjemah, pencetak, pengedar dan penjual buku.

Menurut beliau, penganjuran IPA Congress 2026 bukan sahaja memberi limpahan manfaat kepada industri penerbitan, malah dijangka merancakkan sektor ekonomi kreatif, pelancongan perniagaan, pelaburan serta pertukaran ilmu di peringkat antarabangsa.

“Kongres ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem buku negara. Kehadiran penerbit dan pemain industri dari seluruh dunia membuka ruang kepada kerjasama strategik, pemindahan pengetahuan, pembangunan kandungan berkualiti serta pengembangan pasaran buku Malaysia ke peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Tambah Adibah, Kota Buku turut diberi kepercayaan menganjurkan Asian Rights Fair Special Edition, iaitu platform perdagangan hak cipta dan padanan perniagaan yang berlangsung sempena kongres berkenaan.

Menurut beliau, jenama Asian Rights Fair diperkukuh dengan memberi tumpuan kepada urus niaga hak penerbitan serta sesi padanan perniagaan secara bersemuka antara pemain industri dari pelbagai negara.

Dalam pada itu, Penasihat IPA Congress, Mohd Khair Ngadiron berkata pihak penganjur kini sedang giat melaksanakan pelbagai persiapan bagi memastikan penganjuran kongres memenuhi standard antarabangsa dan memberi pengalaman terbaik kepada semua delegasi.

Katanya, kongres itu dijangka menghimpunkan ratusan delegasi dari pelbagai negara merangkumi penerbit, persatuan penerbit, agensi kerajaan, syarikat teknologi, penyedia platform digital serta organisasi antarabangsa yang berkaitan dengan industri penerbitan.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Haliman Abang Julai pula berkata peranan DBP dalam pembangunan bahasa kebangsaan, penerbitan dan pemerkasaan sastera membolehkan institusi itu menyumbang pandangan dalam wacana berkaitan masa depan penerbitan, akses ilmu, kandungan tempatan dan pemeliharaan identiti budaya melalui buku.

Tambah beliau, DBP turut memainkan peranan menampilkan kekuatan karya tempatan, khususnya karya ilmiah, sastera, bahasa dan karya kebangsaan kepada komuniti penerbitan antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Wan Salahudin Wan Abdullah berkata kerjasama pelbagai pihak membuktikan komitmen industri buku negara dalam mengangkat Malaysia sebagai pusat rujukan penerbitan di rantau ini.

Menurut beliau, penganjuran kongres tersebut diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan industri buku yang lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran global.

IPA Congress 2026 turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Publishers Without Borders, Bologna Children’s Book Fair & Bologna Book Plus, Kota Buku, DBP, Penerbitan USIM, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Malaysia Convention & Exhibition Bureau, Publishers Weekly, Publishing Perspectives, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), British Council, KLIA Ekspres, Sunway University Press, World Travel Ambassador dan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Selain itu, kongres berkenaan turut disokong oleh penaja seperti Sharjah Book Authority, The London Book Fair, PTS, Penerbitan Pelangi, Sasbadi, Vivar Printing Sdn. Bhd., BookXcess dan Canon.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *