SHAH ALAM — Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa sastera dan budaya memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat serta mempertahankan nilai kemanusiaan dalam era digital yang semakin dipengaruhi algoritma dan ledakan maklumat.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini sempena menghadiri Program Pemukiman Sasterawan dan Karyawan Selangor 2026 yang menghimpunkan seramai 70 peserta dan 26 panelis terdiri daripada tokoh sastera, penulis serta penggiat seni budaya dari pelbagai latar belakang.
Menurut beliau, program yang dianjurkan buat kali kedua selepas penganjuran pertama pada tahun 2022 itu menjadi medan penting untuk menilai semula kedudukan sastera dalam masyarakat moden, di samping memperkukuh peranan golongan penulis dan budayawan sebagai suara nurani rakyat.
“Saya percaya sastera bukan sekadar himpunan kata-kata indah, tetapi cerminan tamadun dan suara masyarakat. Seperti yang pernah diungkapkan oleh Usman Awang, ‘Tulislah dengan hati nurani rakyat,’” katanya.
Beliau turut menyentuh cabaran dunia hari ini yang semakin dipengaruhi fenomena “digital swarm”, sekali gus menjadikan karya sastera dan budaya sebagai ruang penting untuk masyarakat kembali memahami realiti secara lebih manusiawi dan mendalam.
Dalam ucapannya, beliau turut merujuk beberapa karya besar dunia seperti One Hundred Years of Solitude karya Gabriel García Márquez, The Theory of Moral Sentiments oleh Adam Smith serta The Anxious Generation tulisan Jonathan Haidt yang menurutnya membantu manusia memahami persoalan sejarah, moral, ekonomi dan keresahan generasi masa kini dengan lebih mendalam.
Selain sesi pembentangan, program tersebut turut membuka ruang dialog bersama para sasterawan dan karyawan yang membincangkan pelbagai isu berkaitan usaha memperkukuh ekosistem sastera dan budaya negara.
Menurut Amirudin, pelbagai cadangan, teguran dan pandangan bernas dikemukakan secara terbuka dan matang demi memastikan dunia kesusasteraan terus relevan, dihargai serta mampu berkembang seiring cabaran semasa.
Beliau turut menegaskan bahawa suara penulis, budayawan dan seniman tidak boleh dipinggirkan kerana golongan tersebut merupakan penjaga ingatan, budaya dan jiwa bangsa.
“Sesebuah negeri dan negara yang benar-benar mahu maju harus memberi ruang kepada kelompok intelektual ini untuk terus menyumbang idea, menegur dengan hikmah serta membina kesedaran masyarakat,” katanya.
Beliau berharap program tersebut dapat menjadi ruang yang subur untuk mencetuskan idea baharu, memperkukuh jaringan strategik serta melahirkan lebih banyak karya berkualiti demi membina masyarakat berilmu, berbudaya dan berdaya fikir tinggi khususnya di Selangor.













