Pengasas Fixi Amir Muhammad letak jawatan

Amir Iqbal

Amir Muhammad (tiga dari kanan) dan Muhammad Iqbal Abu Bakar (dua dari kanan).

KUALA LUMPUR — Pengasas dan Pengarah Urusan Buku Fixi Sdn. Bhd., Amir Muhammad, mengesahkan beliau akan melepaskan jawatan serta semua pegangan saham dalam syarikat itu selepas program #KembaraFixiPBAKL2026 yang berlangsung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026).

Menurut kenyataan melalui media sosial Fixi, Jun 2026 akan menjadi tempoh khidmat terakhir Amir dalam organisasi penerbitan berkenaan, sekali gus menandakan tamatnya era kepimpinan pengasas sejak penubuhan Fixi.

“Semua novelis Fixi dah diberitahu minggu lepas; yang penting, royalti tetap jalan dan kami akan sentiasa hargai anda,” menurut kenyataan itu, yang turut menegaskan bahawa hak dan bayaran penulis akan terus dipelihara tanpa perubahan.

Syarikat itu menjelaskan langkah peralihan kepimpinan ini diambil bagi memastikan Buku Fixi kekal relevan dan “terus bugar dalam zaman yang kian berubah”.

Dalam masa sama, pihak pengurusan turut mengumumkan rancangan untuk melantik seorang Pengarah Kreatif baharu bagi menentukan hala tuju editorial dan identiti kreatif syarikat, yang dijangka diumumkan pada Julai.

“Ini akan diumum pada bulan Julai. Tapi itu kemudian. Untuk sekarang, jumpa di PBAKL (lepas Raya)!” menurut kenyataan tersebut.

Ketika dihubungi Titik Baca, Amir Muhammad berkata, perubahan itu merupakan langkah semula jadi bagi memastikan Fixi terus berkembang di bawah generasi baharu selepas 15 tahun beliau menguruskannya sejak 2011.

“Sudah tiba masa untuk Buku Fixi dikendalikan orang baru dengan misi dan visi baru,” katanya, sambil menambah bahawa penerbit perlu diterajui oleh pihak yang lebih memahami cita rasa semasa.

Beliau juga menolak untuk kekal dalam bayang-bayang masa lalu.

“Saya tak mahu terperangkap dalam nostalgia dan jadi abang nolej’,” katanya, sambil mengakui pendekatan era awal Fixi tidak semuanya sesuai dengan perkembangan industri hari ini.

Amir turut menegaskan beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua judul yang diterbitkan sejak 2011 hingga Jun 2026 dan tidak kesal dengan mana-mana penerbitan yang dihasilkan sepanjang tempoh tersebut.

“Saya bertanggungjawab 100 peratus untuk setiap buku yang diterbitkan. Tiada satu pun buku yang saya kesal buat. Kini tiba masa untuk pengganti saya mencorakkan langkah seterusnya. Mungkin dia akan cipta satu label baru, biarpun masih di bawah syarikat sama,” katanya.

Dalam peralihan ini, Muhammad Iqbal Abu Bakar akan mengambil alih jawatan Pengarah Urusan baharu, manakala staf sedia ada kekal membantu pengurusan syarikat.

Syarikat turut merancang pelantikan seorang Pengarah Kreatif yang akan diumumkan pada Julai bagi menentukan hala tuju editorial masa depan.

Ketika dihubungi Titik Baca, Amir turut berseloroh mengenai perhatian yang diterima selepas pengumuman itu.

“Rasa macam diburu paparazi lepas lafaz cerai di mahkamah syariah,” katanya sambil ketawa kecil, merujuk kepada tumpuan media terhadap pengundurannya.

Beliau juga memaklumkan akan menutup urusan rasmi berkaitan penulis selepas proses peralihan, termasuk urusan royalti, sebelum menggunakan alamat emel peribadi selepas ini.

“Selepas ini, jangan terkejut kalau emel dihantar oleh orang dengan signature lain,” katanya lagi.

Amir mengakhiri kenyataan dengan nada santai, mengajak pengunjung bertemu di PBAKL, sambil menandakan penutup era penting dalam sejarah penerbitan indie tempatan.

Perubahan kepimpinan ini dijangka menjadi antara perkembangan penting dalam landskap penerbitan indie tempatan, khususnya dalam ekosistem buku popular berbahasa Melayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *