Nostalgia “Paris of Malaya” kembali bernyawa

Pelancarannusadbp

KUALA LUMPUR — Keunikan sejarah dan budaya Kelantan sebelum merdeka kini kembali menjadi tatapan umum melalui pelancaran semula enam buah novel karya Sasterawan Negara ke-9, S. Othman Kelantan.

Majlis yang berlangsung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) itu menyaksikan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Nusa Center dalam menghidupkan semula naskhah-naskhah yang telah lama hilang dari pasaran.

Rakaman Sejarah “Paris of Malaya” Salah satu tumpuan utama dalam majlis tersebut adalah novel Orang Kota Bharu yang merakamkan sisi sejarah bandar tersebut yang jarang diketahui generasi masa kini.

Menurut Pengarah Urusan Nusa Center, Syed Mohd Zakir Syed Othman, novel tersebut merupakan satu-satunya naskhah yang menggambarkan suasana Kota Bharu sebagai “Paris of Malaya” sebelum era kemerdekaan.

“Kota Bharu dikenal sebagai Paris of Malaya dengan adanya Biaritz Park yang sekarang ini KB Mall. Di situlah segala macam hal ada di situ. Paris Malaya ni bukan satu hal yang positif ya, satu hal yang sangat negatif tapi amat dikenali,” ujar SM Zakir dalam ucapannya, hari ini.

Beliau menambah bahawa karya ini secara rincinya mendedahkan kewujudan pusat hiburan terbesar di pantai timur yang kini telah lenyap, di samping pembangunan pondok-pondok pengajian Islam pada waktu yang sama.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan, turut memuji kehebatan novel Juara yang telah diadaptasi ke layar perak melalui filem bertajuk Jogho.

Beliau mengingatkan hadirin bahawa kekuatan naratif S. Othman Kelantan telah membawa pengiktirafan besar kepada industri perfileman negara.

“Tidak menghairankan sekiranya Juara diangkat menjadi sebuah filem… dan pelakon utamanya Khalid Salleh melalui filem ini terpilih menjadi pelakon lelaki terbaik Asia. Apabila filemnya berjaya dan pelakon lelakinya dianggap terbaik, maka kita dapat menggambarkan betapa hebatnya novel ini,” katanya dalam ucapan perasmian.

Beliau turut menjelaskan mengapa S. Othman Kelantan lebih gemar menggunakan nama pena “S. Othman Kelantan”.

Menurutnya, Kelantan bukan sekadar latar tempat, tetapi merupakan inspirasi utama yang merakamkan sejarah sosial, budaya, dan politik yang mendalam.

“Sastera bukan sahaja satu bentuk naratif untuk menghiburkan tetapi S. Othman Kelantan selalu menyuntik semangat keislaman… dipersembahkan dengan begitu dramatik dengan plot yang kemas,” jelas beliau lagi mengenai keistimewaan karya tokoh tersebut.

Wajah baharu untuk selera anak muda

Bagi memastikan karya-karya klasik ini relevan dengan pembaca masa kini, DBP telah memberikan nafas baharu melalui reka bentuk kulit buku yang lebih moden.

Anwar menyatakan kekagumannya terhadap hasil kerja pereka muda yang berjaya menggabungkan kombinasi warna dan susun atur yang menarik untuk menarik minat golongan pelanggan muda.

Selain itu, beliau turut menyeru para penulis veteran dan muda untuk menghantar karya ke DBP dengan jaminan bahawa proses penerbitan akan dipercepatkan kepada tempoh enam bulan atau kurang bagi memenuhi keperluan pelbagai golongan pembaca.

Enam judul yang dilancarkan semula ialah Orang Kota Bharu, Perjudian, Ruang Perjalanan, Perwira, Juara, dan Wajah Seorang Wanita.

Buku-buku tersebut boleh didapati di reruai Nusa Centre di Bilik Mawar dan reruai Dewan Bahasa dan Pustaka di Dewan Tun Hussein Onn dengan harga istimewa sepanjang PBAKL 2026 berlangsung.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *