Tere Liye kembali temui peminat Malaysia di Pulau Pinang

Tereliyepp

PULAU PINANG — Penulis bestseller Indonesia, Tere Liye kembali bertemu peminat di Malaysia menerusi program Merayakan Cerita Bersama Tere Liye yang berlangsung sempena Pesta Buku ASEAN Pulau Pinang, Penang Waterfront Convention Centre, hari ini.

Program anjuran Media Inspirasi Nusantara (MIN) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) itu menjadi kemunculan kedua penulis terkenal tersebut di Malaysia selepas menerima sambutan hangat pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.

Sepanjang lebih 20 tahun berkarya, Tere Liye telah menghasilkan puluhan novel yang merentasi pelbagai genre dan berjaya menarik jutaan pembaca di seluruh Nusantara.

Antara karya beliau yang mendapat sambutan luar biasa termasuk Tentang Kamu, Hujan, Bumi, Pulang dan Pergi.

Menerusi program berkenaan, pengunjung berpeluang mengikuti sesi bicara eksklusif bersama Tere Liye yang akan berkongsi mengenai proses kreatif penulisan, falsafah di sebalik karya-karyanya, cabaran dalam dunia penerbitan serta peranan buku dalam membentuk masyarakat yang berilmu dan berempati.

Selain sesi perkongsian, peminat turut berpeluang bertemu secara langsung dengan penulis itu menerusi sesi autograf dan fotografi, sekali gus memberikan pengalaman istimewa kepada pencinta buku.

Pengarah Media Inspirasi Nusantara, Nabieh Rahmat berkata, penganjuran program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dunia perbukuan antara Malaysia dan Indonesia.

“Sastera tidak mengenal sempadan. Cerita yang baik mampu menyatukan masyarakat Nusantara melalui nilai kemanusiaan, harapan dan inspirasi. Kami berharap program ini menjadi ruang untuk meraikan pembaca, penulis dan budaya membaca bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *