Mohd Khair tutup IPA Congress 2026 dengan seruan perkukuh kerjasama global

Khairipa

KUALA LUMPUR — Penganjuran International Publishers Association (IPA) Congress Kuala Lumpur 2026 disifatkan bukan sekadar kejayaan menganjurkan sebuah persidangan bertaraf dunia, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada kerjasama baharu yang mampu membentuk masa depan industri penerbitan global.

Penasihat IPA Congress Kuala Lumpur 2026, Mohd Khair Ngadiron berkata, kejayaan sebenar kongres itu bukan diukur pada kelancaran penganjurannya, tetapi sejauh mana hubungan, idea dan perbincangan sepanjang kongres diterjemahkan kepada kerjasama yang berpanjangan.

“Ramai bertanya kepada kami, ‘Apa yang berlaku selepas kongres ini berakhir?’ Jawapan saya mudah. Kongres berakhir malam ini. Kerja sebenar bermula esok,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Gala IPA Congress Kuala Lumpur 2026, semalam.

Menurut beliau, penganjuran IPA Congress tidak pernah hanya bertujuan menganjurkan satu acara yang berjaya, sebaliknya mencipta impak berkekalan kepada industri penerbitan.

Katanya, perbincangan yang berlangsung sepanjang kongres perlu diterjemahkan kepada kolaborasi, persahabatan yang terjalin berkembang menjadi kerjasama penerbitan, manakala idea yang dikongsi mampu menghasilkan lebih banyak buku, penterjemahan karya, perdagangan hak cipta dan peluang baharu yang memberi manfaat kepada pembaca di seluruh dunia.

Mohd Khair berkata, kongres berkenaan turut menjadi titik perubahan penting kepada Malaysia yang selama ini banyak belajar daripada negara-negara peneraju industri penerbitan dunia.

Menurut beliau, sepanjang berlangsungnya kongres, Malaysia berjaya meletakkan dirinya sebagai lokasi pertemuan antara pengalaman industri penerbitan global dengan potensi besar Asia Tenggara.

Beliau turut menggariskan tiga harapan kepada penggiat industri penerbitan tempatan bagi memastikan momentum yang dibina melalui kongres itu dapat diteruskan.

Pertama, beliau menggesa penerbit Malaysia berfikir secara global dan tidak menunggu dunia menemui karya tempatan, sebaliknya membawa sendiri kisah-kisah Malaysia ke pentas antarabangsa dengan penuh keyakinan.

Kedua, katanya, industri perlu menerima inovasi kerana kecerdasan buatan (AI), penerbitan digital, kebolehkesanan (discoverability) serta penggunaan data kini bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi asas kepada industri penerbitan yang berdaya saing.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan sesebuah ekosistem penerbitan tidak mungkin dicapai melalui kecemerlangan individu semata-mata.

Sebaliknya, jelas beliau, penulis, penerbit, penjual buku, pendidik, kerajaan dan rakan antarabangsa perlu memainkan peranan bersama dalam membina masyarakat yang mengutamakan budaya membaca.

Dalam ucapannya, Mohd Khair turut mengingatkan bahawa buku sentiasa menjadi warisan paling berkekalan yang ditinggalkan oleh setiap tamadun sepanjang sejarah.

Katanya, empayar mungkin bangkit dan runtuh, sempadan negara berubah serta teknologi terus berkembang, namun buku kekal menjadi memori hidup sesebuah tamadun kerana menyimpan ilmu, memelihara budaya dan membawa harapan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Beliau berkata, pengalaman sepanjang IPA Congress Kuala Lumpur 2026 membuktikan bahawa meskipun peserta datang daripada negara, budaya, agama dan bahasa yang berbeza, mereka tetap dapat saling memahami kerana buku mempunyai bahasa yang difahami seluruh manusia.

“Sebuah buku yang baik tidak pernah bertanya dari mana asal anda sebelum ia menyentuh hati anda. Sebuah kisah yang hebat tidak memerlukan pasport sebelum merentasi sempadan.

“Buku berjaya menyatukan ketika perpecahan gagal. Ia membina persefahaman di sebalik perbezaan dan mengingatkan kita bahawa walaupun bertutur dalam bahasa yang berbeza, impian, ketakutan dan harapan kita sebenarnya hampir sama. Itulah kuasa buku. Dan itulah sebabnya penerbitan amat penting,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Mohd Khair merakamkan penghargaan kepada semua delegasi antarabangsa yang hadir serta menyatakan harapan agar mereka pulang bukan sahaja dengan kenangan indah tentang Malaysia, malah membawa bersama rakan kerjasama, peluang baharu dan keinginan untuk kembali lagi pada masa hadapan.

“Ini bukan pengakhiran kisah kita bersama. Ia hanyalah permulaan kepada satu bab yang baharu. Ini bukan ucapan selamat tinggal. Ini hanyalah sehingga kita bertemu lagi,” katanya.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *