STOCKHOLM — Penulis Kanada, Anne Carson, dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2026 atas karya-karyanya yang berani dan inovatif dalam membentuk gagasan baharu terhadap kesusasteraan kontemporari melalui dialog kreatif dengan tradisi klasik.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Nobel Kesusasteraan hari ini, dengan penghargaan diberikan kepada Carson, “atas karya beraninya dan inovatif yang, melalui dialog yang bersifat bermain-main dengan tradisi klasik, telah mencipta bentuk baharu untuk kesusasteraan kontemporari”.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Nobel, Anders Olsson, karya Carson memperlihatkan pertembungan yang unik antara ketelitian seorang ahli filologi dengan keinginan seorang penyair untuk meneroka makna baharu.
“Sepanjang kerjayanya, beliau menggabungkan penulisan puisi dengan kerja-kerja terjemahan serta pengajaran di pelbagai universiti. Hampir keseluruhan penghasilan sasteranya berpusat pada persilangan antara obsesi ahli filologi terhadap kata-kata dengan keinginan penyair terhadap makna baharu,” katanya.
Carson dilahirkan di Toronto, Kanada pada 1950. Pada 1981, beliau menerbitkan tesis kedoktorannya dalam bidang Klasik berjudul Odi et Amo Ergo Sum.
Sejak itu, minatnya terhadap bahasa, etimologi dan kesusasteraan klasik menjadi antara landasan utama pengkaryaan beliau.
Olsson berkata, Carson sendiri mengenal pasti etimologi kata sebagai titik permulaan bagi seluruh karya kreatifnya. Terjemahannya daripada bahasa Yunani Klasik pula dianggap sebagai karya tersendiri, termasuk tafsirannya terhadap fragmen puisi Sappho dalam If Not, Winter (2002), serta tragedi Electra (2001), Antigone (2015) karya Sophocles dan Bakkhai (2015) karya Euripides.
Pada dekad 1990-an, Carson menghasilkan beberapa karya penting, termasuk The Glass Essay yang diterbitkan dalam Glass, Irony, and God (1995).
Karya tersebut memperlihatkan keupayaan puisi panjang untuk merentasi dan mengaburkan sempadan antara genre.
Karya Autobiography of Red: A Novel in Verse (1998) pula sering dianggap antara pencapaian terpenting Carson. Dalam karya itu, beliau mengolah tradisi kesusasteraan klasik dengan mengambil ilham daripada fragmen puisi Stesichoros, penyair Yunani abad keenam Sebelum Masihi, mengenai raksasa bersayap berwarna merah bernama Geryon.
Olsson turut menekankan kecenderungan Carson meneroka kemungkinan bentuk penulisan melalui karya-karya yang bersifat eksperimental.
“Dengan sentuhan yang ringan, Carson meneroka kemungkinan penulisan, suatu proses yang menjadikan lakaran sastera mempunyai nilai yang khusus baginya,” katanya.
Antara karya yang mencerminkan pendekatan tersebut ialah Float (2016), yang menghimpunkan 22 buah buku kecil mengenai pelbagai subjek dan boleh dibaca dalam apa-apa urutan.
Karya Wrong Norma (2024) pula menggabungkan pelbagai bentuk teks dengan ciri persembahan yang kuat, selain memperlihatkan kecenderungan Carson merentasi bidang seni dan akademik.
Kerjasama beliau dengan seniman visual, koreografer serta pengarah opera dan teater turut memperlihatkan kebebasan Carson dalam berhubung dengan jangkaan dan aturan sastera.
“Hal inilah yang mendasari kepentingan luar biasa karya beliau sejak 1990-an terhadap persada seni dan kesusasteraan antarabangsa,” kata Olsson.
Anugerah Nobel Kesusasteraan 2026 itu sekali gus mengiktiraf pendekatan Carson yang merentas disiplin serta keupayaannya menghubungkan warisan kesusasteraan klasik dengan pencarian bentuk dan makna baharu dalam kesusasteraan masa kini.













