Kelab Perempuan Membaca perluas jaringan ke Melaka, fokus kesihatan wanita

Perempuanmembacaoktober

MELAKA — Kelab Perempuan Membaca melebarkan jangkauan gerakannya ke luar Lembah Klang menerusi penganjuran Pertemuan Ketiga di The Shore Shopping Gallery, di sini, dengan mengetengahkan tema “Perempuan dan Kesihatan” bersempena bulan kesedaran kanser payudara, Pinktober.

Program anjuran Perbadanan Kota Buku (Kota Buku), selaku penaung kelab itu, dengan kerjasama Persatuan Booktube Malaysia menerusi inisiatif Kelah Buku, menghimpunkan ahli kelab, pelajar dan masyarakat setempat dalam usaha menjadikan pembacaan sebagai wadah perkongsian ilmu serta kesedaran tentang kesihatan fizikal dan mental wanita.

Pertemuan kali ini turut menandakan langkah Kota Buku memperluas gerakan berkenaan ke lokasi di luar Lembah Klang, sekali gus membuka ruang penyertaan yang lebih inklusif dalam kalangan wanita melalui aktiviti membaca dan perbincangan komuniti.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, yang mengilhamkan penubuhan Kelab Perempuan Membaca, hadir menyempurnakan majlis dan menyertai sesi khas pembacaan menerusi slot “Fadhlina Membaca”.

Program itu turut mengekalkan sesi perkongsian interaktif yang membolehkan peserta bertukar pandangan dan pengalaman, termasuk mereka yang mengikuti acara secara dalam talian.

Selaras dengan tema Pinktober, peserta digalakkan membawa bahan bacaan berkaitan wanita, kesihatan dan kesejahteraan untuk dikongsi bersama.

Pemakaian busana merah jambu dan putih serta reben merah jambu turut menyemarakkan mesej solidariti terhadap usaha meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara.

Antara yang hadir termasuk Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor; wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM); serta perwakilan Pusat Anak PERMATA Negara.

Penyertaan pelajar kolej dan sekolah tempatan bersama ahli kelab dan pengunjung turut memperlihatkan potensi gerakan membaca sebagai ruang pertemuan masyarakat merentas peringkat usia.

Dalam usaha menggalakkan pembacaan secara langsung, PERPUSTAM turut membenarkan pengunjung dan ahli kelab membawa pulang secara percuma buku pilihan yang disediakan untuk dipinjamkan pada majlis tersebut.

Penganjuran ini memperlihatkan bagaimana aktiviti membaca dapat dimanfaatkan bukan sekadar untuk meningkatkan pengetahuan, malah sebagai landasan membincangkan isu yang dekat dengan kehidupan wanita.

Dalam konteks kesihatan, perkongsian pengalaman dan bahan bacaan yang bersesuaian berupaya membuka ruang kepada pemahaman yang lebih luas tentang kesejahteraan diri.

Kelab Perempuan Membaca akan meneruskan siri jelajahnya bagi memperluas penyertaan masyarakat dan mengukuhkan budaya membaca.

Maklumat lanjut mengenai program akan datang boleh diperoleh menerusi laman web www.perempuanbaca.my serta akaun Instagram dan Threads @perempuanbaca.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *