KUALA LUMPUR — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan siaran langsung pengumuman Anugerah Sastera Negara (ASN) Ke-16 pada 28 April 2026 (Selasa), pukul 10.30 pagi menerusi platform media sosial rasmi DBP.
Pengumuman penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16 akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Majlis tersebut tersebut dijangka menjadi tumpuan penggiat sastera dan masyarakat umum yang menantikan siapakah tokoh terbaharu yang akan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara.
Anugerah Sastera Negara merupakan pengiktirafan tertinggi negara kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu serta telah memberikan sumbangan cemerlang terhadap perkembangan kesusasteraan tanah air melalui karya bermutu tinggi.
Anugerah ini mula diperkenalkan pada tahun 1981 dan dipilih oleh Urus Setia Panel Anugerah Sastera Negara yang ditunjangi oleh DBP di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Penerima anugerah ini bukan sahaja menerima penghormatan negara dalam bentuk Warkah Penghormatan Negara, malah turut diberikan ganjaran wang tunai sebanyak RM60,000.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan kemudahan penerbitan karya sehingga 50,000 naskhah atau bernilai maksimum RM500,000 untuk diedarkan secara meluas ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.
Kemudahan lain yang diberikan termasuklah rawatan perubatan percuma di wad kelas pertama hospital kerajaan, elaun sara hidup sebanyak RM5,000 sebulan, sokongan untuk kegiatan penulisan dan penerbitan, serta peluang penterjemahan karya ke dalam bahasa asing.
Sehingga kini, seramai 16 tokoh telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara, dengan penerima terakhir pada tahun 2022 ialah Dato’ Rahman Shaari.
Pengumuman pada Selasa depan bakal menambah satu lagi nama dalam senarai tokoh sastera terulung negara, sekali gus mengiktiraf sumbangan berterusan mereka dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu.












