KUALA LUMPUR — PTS Media Group tampil dengan inisiatif memperkenalkan semula karya-karya klasik HAMKA menerusi edisi berwajah baharu yang lebih segar dan kontemporari, dalam usaha mendekati generasi muda khususnya Gen-Z.
Antara judul yang diterbitkan semula termasuk Ayahku, Merantau ke Deli, Tenggelamnya Kapal van der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tuan Direktur, yang sebelum ini telah melalui beberapa edisi penerbitan.
Bagi edisi 2026, PTS memberi penekanan kepada pembaharuan reka bentuk kulit buku dengan pendekatan visual yang lebih moden, selain memperkemas keseluruhan penerbitan agar selari dengan selera pembaca masa kini tanpa menjejaskan nilai asal karya.

Usaha ini turut melibatkan kolaborasi bersama studio grafik profesional bagi menghasilkan ilustrasi kulit buku yang lebih kontemporari, di samping mengekalkan elemen budaya melalui sentuhan estetika Nusantara.
Edisi baharu ini juga menampilkan ciri tambahan seperti flap cover dan kemasan spray edges, menjadikan naskhah bukan sahaja menarik dari segi kandungan, malah bernilai sebagai koleksi fizikal.
Menurut ketua projek pembaharuan kulit buku Hamka, Afiani, pendekatan ini merupakan strategi untuk menghidupkan semula karya klasik dalam bentuk yang lebih dekat dengan pembaca hari ini.
“Ini bukan sekadar perubahan visual, tetapi usaha strategik untuk memastikan karya Hamka terus relevan dan mampu menembusi kelompok pembaca baharu tanpa menghilangkan kekuatan asalnya,” katanya.
Pelancaran awal edisi baharu ini diadakan sempena Kota Baca 2026 yang berlangsung di Dataran Merdeka hari ini.
Program tersebut disempurnakan oleh tokoh penulis, Syamsul Amri A. Razak dan menjadi platform pengenalan awal sebelum pelancaran rasmi di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Dalam masa sama, pengenalan semula karya Hamka ini dilihat seiring dengan wacana pembudayaan ilmu yang diketengahkan dalam Kota Baca 2026, termasuk sesi Cerakin Kata bertajuk Identiti Bangsa Membaca yang berlangsung hari ini, yang menekankan peranan pembacaan dalam membentuk pemikiran dan jati diri masyarakat.
Tambah Afiani, pendekatan baharu ini diharap dapat memperkenalkan Hamka bukan sekadar sebagai penulis klasik, tetapi sebagai pemikir yang kritis dalam mengangkat persoalan sosial melalui karya sastera.
“Inilah peluang untuk generasi baharu mengenali Hamka dalam konteks yang lebih dekat dengan mereka,” ujarnya.
Inisiatif ini diharap mendapat sambutan daripada pembaca lama mahupun baharu, memandangkan karya Hamka bukan sahaja menyajikan naratif sastera, tetapi turut merakamkan nilai, pemikiran dan realiti masyarakat yang kekal relevan merentas zaman.











