Festival Kata PBAKL 2026: Industri perbukuan tempatan perlu adaptasi AI, teroka pasaran serantau

Forum3lanskapindustri

KUALA LUMPUR — Landskap industri perbukuan tanah air kini berada di persimpangan jalan yang mencabar namun penuh peluang, menurut barisan panel pakar dalam forum “Lanskap Industri Perbukuan Terkini” yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.

Forum yang dikendalikan oleh Nadhirah Ghani itu menghimpunkan tokoh industri termasuk Pengarah Urusan PTS Arief Hakim Sani, Bukuku Press Muhammad Nazreen Mohd Jaafar, Razak Panaemalae (Thailand), dan Dr. Mohd Ali Radin @ H Mar (Brunei).

Perbincangan hangat tertumpu kepada bagaimana teknologi dan perubahan demografi sedang membentuk semula cara buku diterbitkan dan dipasarkan.

Cabaran margin dan kotak andora box digital

Arief Hakim Sani mendedahkan bahawa peralihan jualan ke platform digital seperti TikTok dan Shopee adalah seperti membuka kotak pandora.

Walaupun capaian lebih luas, platform-platform ini kini mengenakan yuran dan kos iklan yang tinggi, sekaligus menghimpit margin keuntungan penerbit dan kedai buku.

Beliau turut menekankan bahawa industri perlu berdepan dengan realiti masyarakat menua di Malaysia, di mana pertumbuhan pasaran buku akademik semakin mendatar ekoran penurunan kadar kelahiran.

Kuasa viral dan pempengaruh

Nazreen pula menekankan impak luar biasa media sosial. Beliau memberikan contoh bagaimana tindakan selebriti antarabangsa seperti ahli kumpulan BTS memegang sebuah buku boleh mencetuskan euforia global sehingga stok buku tersebut habis di seluruh dunia.

Menurutnya, peranan pemilik kedai buku kini bukan sekadar menjual, tetapi bertindak sebagai kurator yang membantu pembaca mencari bahan yang bermakna di tengah-tengah limpahan maklumat digital.

Visi AbeBooks versi ASEAN

Antara cadangan paling menarik yang dikemukakan adalah pembentukan platform rangkaian buku rentas sempadan bagi rantau Asia Tenggara.

Dengan populasi lebih 500 juta penutur bahasa Melayu-Indonesia, panelis melihat potensi besar jika logistik dan sistem pembayaran dapat disatukan secara serantau, membolehkan pembaca di Thailand atau Brunei mendapatkan buku dari Malaysia dengan lebih mudah dan murah.

Buku fizikal tetap bertahan

Di sebalik ancaman kecerdasan buatan (AI) dan buku digital, para panelis optimis bahawa buku fizikal tetap mempunyai tempat yang istimewa.

Mohd Ali menyatakan bahawa buku tidak akan mati selagi ada manusia yang mencari roh dan ketenangan dalam pembacaan.

Beliau juga menyeru agar kerajaan meningkatkan literasi dalam kalangan kanak-kanak bagi memastikan ekosistem perbukuan terus bernafas.

Forum ini menyimpulkan bahawa kerjasama antara kerajaan (G2G) dalam aspek penterjemahan dan penganugerahan sastera serantau adalah kunci untuk membawa karya tempatan ke persada antarabangsa.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *