Cereka tidak hargai penulis, tapi mahu jadi penerbit nombor 3 terbesar

Cereka

KUALA LUMPUR — Industri perbukuan negara dikejutkan dengan tindakan berani penerbit Cereka yang didapati tidak meletakkan nama penulis pada bahagian hadapan kulit buku mereka.

Langkah ini mencetuskan pelbagai reaksi negatif, namun di sebaliknya, ia merupakan strategi untuk mengangkat martabat sesebuah karya tanpa bersandarkan populariti individu.

Pengarah Projek Cereka, Lina menegaskan bahawa keputusan tersebut diambil secara sengaja untuk memastikan pembaca menilai buku berdasarkan kualiti cerita semata-mata.

“Biarlah rahsia. Tak tak kita orang nak fokus kepada tajuk, bukan penulis. Nak fokus kepada karya bukan penulis,” kata Lina ketika menjelaskan konsep tersebut kepada Titik Baca, semalam.

Menurut Lina lagi, pendekatan ini bertujuan untuk menghapuskan sikap pilih kasih dalam kalangan pembaca.

“Jadi kiranya macam karya first, penulis second,” tambahnya.

Whatsapp Image 2026 06 07 At 13.44.50 1

Beliau menjelaskan bahawa dengan cara ini, pembaca tidak akan terpengaruh dengan nama besar.

“Tak nak macam bila orang nampak… oh ni buku ni sebab penulis itu popular. Tapi dengan pendekatan macam ini yang kita bawakan, ada potensi pembaca tidak biased dan hanya melihat pada cerita,” ujar beliau lagi ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

Walaupun bertindak sedemikian, Cereka mendakwa strategi ini dibuat kerana hampir kesemua buku terbitan mereka merupakan karya debut penulis.

Lina menyatakan, “Kami tidak menindas seperti penerbitan lain,” merujuk kepada sistem bayaran royalti yang diamalkan.

Beliau menjelaskan, “Kami bagi advance payment, bukan royalti,” bagi memastikan penulis mendapat imbuhan awal tanpa perlu menunggu hasil jualan bagi melunaskan royalti pendahuluan.

Selain itu, Cereka juga memperkenalkan buku mini dengan konsep unik menggunakan emoji pada kulit hadapan bagi menggalakkan pembaca meneroka genre baharu.

Whatsapp Image 2026 06 07 At 13.44.59

“Tak perlu kisah pasal genre, hanya perlu baca saja,” pesan Lina kepada semua pencinta buku.

10 judul buku yang menggunakan tajuk emoji tersebut dijual dengan harga RM5 dan juga pelanggan yang membelinya akan dapat percuma pakej aplikasi bacaan dalam talian Cereka selama tiga bulan.

“Target dia adalah untuk memang nak mendidik masyarakat untuk membaca. Bila membaca di internet, orang boleh baca macam-macam. Tapi bila melibatkan buku, orang kena keluarkan duit banyak untuk nak baca bahan bacaan apa-apa. Jadi dengan harga marhaen yang kami tawarkan ini, lagi banyak buku dia boleh baca lagi banyak benda dia boleh terokai,” jelas Lina.

Whatsapp Image 2026 06 07 At 13.44.50

Dengan sasaran menerbitkan sehingga 36 buah judul setahun, Cereka komited untuk terus menjadi batu loncatan bagi penulis-penulis baharu dalam industri kreatif tanah air dan menjadi penerbit nombor tiga terbesar tanah air.

Apabila ditanya siapakah penerbit nombor satu tanah air, Lina mengelak untuk menjawabnya.

“Itu bukan tugas kami untuk mengkaji. Yang penting kami nak jadi penerbit nombor tiga di negara ini,” tegasnya yakin.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *