KUALA LUMPUR — Tokoh penyair dan sasterawan terkemuka Indonesia, Agus R. Sarjono mencetuskan perbincangan mendalam dalam Forum Sastera dan Naratif Sejagat di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 apabila beliau menyatakan bahawa beliau tidak percaya kepada kewujudan “kata-kata yang puitik”.
Menurut Agus, mana-mana sasterawan yang terlalu mendewakan kata-kata puitik sebenarnya berisiko untuk menimbun dan menyembunyikan kebenaran di sebalik keindahan bahasa tersebut.
Beliau berhujah bahawa keindahan sesebuah karya tidak seharusnya dicari melalui hiasan kata semata-mata, sebaliknya ia harus lahir daripada kejujuran hidup pengarang itu sendiri.
“Seorang yang hidupnya tidak puitis, walau apa pun kata-katanya, ia tidak akan pernah menjadi puitik,” tegas beliau dalam sesi forum tersebut, semalam.
Beliau turut menambah bahawa jika seseorang itu menjalani hidup dengan penuh makna dan puitis, maka kata-kata yang keluar daripada mulut atau penanya akan menjadi puitik dengan sendirinya tanpa perlu dipaksa-paksa.
Dalam menjelaskan konsep ini, Agus menekankan bahawa sastera sepatutnya berfungsi untuk memperjelas apa yang tidak jelas melalui perincian yang jujur, bukannya mengaburkan makna di sebalik metafora yang rumit.
Beliau memberi contoh bahawa ungkapan yang jujur dan terperinci seperti “warna pipi isteri ketika air matanya menetes” atau “17 kecupan yang lalu” adalah jauh lebih jelas dan puitis berbanding penggunaan warna atau waktu yang umum, kerana ia merakamkan kejujuran perasaan.
Beliau turut menyeru para bakal sasterawan agar tidak terlalu taksub mencari bahasa yang indah, sebaliknya fokus kepada menjalani kehidupan yang puitis dan jujur.
Bagi Agus, sastera adalah upaya berterusan untuk melonggarkan segala definisi mutlak tentang manusia melalui perspektif yang jujur dan tidak berpura-pura.
Pandangan provokatif ini dikongsikan di hadapan khalayak penulis dan peminat sastera dari rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Singapura, dan Thailand, sebagai sebahagian daripada pengisian Festival Kata yang berlangsung di bawah penganjuran Nusa Centre dalam program Festival Seni sempena PBAKL 2026.













