LPSVN, UMK meterai MoU perkukuh kerjasama seni visual dan pendidikan

Lbsvnumk

KUALA LUMPUR — Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) menyambut baik inisiatif Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menjalinkan kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang seni visual, pendidikan serta perkongsian ilmu dan kepakaran.

Majlis pemeteraian MoU itu berlangsung di Auditorium, Balai Seni Negara, semalam, sekali gus membuka ruang kepada kedua-dua institusi untuk mengembangkan potensi kerjasama berdasarkan bidang kepakaran dan peranan masing-masing.

Dokumen MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Arham Abdullah, dan Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK, Prof. Dr. Huzili Hussin, serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LPSVN, Alizam Hasan.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LPSVN, Rohana Mohd Yusof, Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Prof. Madya Dr. Raja Iskandar Raja Halid, serta barisan pensyarah dan pegawai kanan LPSVN.

Kerjasama ini diharapkan dapat menjadi asas kepada hubungan berterusan antara kedua-dua institusi, khususnya dalam usaha mengenal pasti bidang yang berpotensi untuk diterokai bersama.

Selain memperluas jaringan kerjasama antara institusi seni dan pendidikan tinggi, inisiatif tersebut turut membuka peluang kepada pelaksanaan pelbagai aktiviti bersama yang dapat memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak.

LPSVN berharap pemeteraian MoU ini dapat menyumbang kepada perkembangan bidang seni visual negara melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran, di samping memperkukuh hubungan antara institusi yang berperanan dalam pembangunan seni dan pendidikan.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *