KUALA LUMPUR — Saudagar buku Bukuku Press tampil mempertahankan penulis dan aktivis Tengku Dina Zaman susulan kontroversi yang tercetus berhubung petikan karya beliau yang digunakan dalam bahan promosi acara “Meet the Author” sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, Bukuku Press menjelaskan bahawa petikan yang digunakan dalam bahan promosi tersebut diambil daripada buku Malayland, sebuah karya yang telah diterbitkan secara sah dan tidak pernah diubah, direka-reka atau disalahguna.
Menurut pemilik Bukuku Press, Muhammad Nazreen petikan berkenaan juga pernah dikongsikan secara terbuka sebelum ini, termasuk oleh Dina Zaman sendiri menerusi platform miliknya.
“Adalah menjadi kefahaman kami, dengan niat baik, bahawa penggunaan bahan yang telah tersedia secara umum daripada seorang penulis bagi tujuan mempromosikan penampilan beliau sendiri dalam sebuah acara sastera merupakan amalan promosi yang lazim,” kata kenyataan tersebut, semalam.
Bagaimanapun, Bukuku Press mengakui bahawa konteks penyampaian sesuatu petikan adalah penting dan melahirkan kekesalan apabila cara petikan tersebut dipersembahkan serta penyebarannya oleh pihak ketiga telah menyebabkan tekanan dan kesulitan kepada penulis berkenaan.
Dalam kenyataan sama, Bukuku Press turut menyatakan sokongan penuh terhadap Dina Zaman selepas penulis itu memutuskan untuk tidak menghadiri sesi Meet the Author yang dijadualkan berlangsung tengah hari tadi.
Kedai buku tersebut turut mengecam tindakan portal The Rakyat Post yang didakwa memperbesar dan membingkaikan petikan berkenaan secara sensasi tanpa memberikan konteks penuh terhadap hujah asal yang dikemukakan oleh penulis.
“Untuk menjadikan karya beliau sebagai bahan yang mencetuskan kemarahan awam bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berbahaya,” menurut kenyataan itu.
Muhammad Nazreen menegaskan bahawa Dina Zaman telah hampir dua dekad menulis mengenai hubungan kaum, ekstremisme dan usaha pembinaan keamanan di Malaysia dengan keberanian serta integriti intelektual yang tinggi.
Menurut Muhammad Nazreen, budaya penulisan yang serius memerlukan ruang yang selamat untuk berkembang, dan tindakan media yang menggalakkan permusuhan terhadap seseorang penulis bukan sahaja menjejaskan individu terbabit malah memberi kesan kepada budaya intelektual negara secara keseluruhan.
Sehubungan itu, Bukuku Press menyatakan sokongan terhadap tuntutan Dina Zaman agar The Rakyat Post mengemukakan permohonan maaf secara rasmi serta menyiarkan semula halaman asal yang dipetik secara penuh dan dalam konteks yang tepat.
“Keselamatan dan kesejahteraan penulis kami bukan perkara yang kami ambil ringan. Kami menghormati sepenuhnya keputusan beliau untuk tidak menghadiri acara pada 6 Jun 2026,” kata kenyataan itu lagi.
Muhammad Nazreen turut menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan suara-suara bebas, kesusasteraan yang serius serta penulisan yang jujur dan bernuansa, selain berharap insiden tersebut tidak menutup ruang untuk kerjasama dengan Dina Zaman pada masa hadapan.
Beliau juga menyeru semua pihak, khususnya organisasi media, supaya berinteraksi dengan karya dan penulis secara bertanggungjawab, memahami konteks sepenuhnya serta mengelakkan tindakan yang boleh mengapi-apikan sentimen awam.













