ELTC perkasa literasi bahasa Inggeris melalui cerita rakyat di Kota Baca 2026

ECTL

Sesi literasi bahasa Inggeris bersama Dr. Surayah, penulis buku kanak-kanak bersaiz mega, Robi The Rabbit. Kredit foto: ELTC.

KUALA LUMPUR — Reruai English Language Teaching Centre (ELTC) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tampil dengan pendekatan interaktif dalam memperkasa literasi bahasa Inggeris menerusi cerita rakyat tempatan sepanjang penganjuran Kota Baca 2026 di Dataran Merdeka.

Aktiviti yang berlangsung setiap hari sejak Jumaat semalam memberi tumpuan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah melalui sesi bacaan cerita serta permainan berasaskan pembelajaran bahasa.

Menurut wakil ELTC, Dr. Szarmilaa Dewie, reruai tersebut mengadakan dua sesi utama setiap hari, melibatkan kehadiran pelajar bersama guru pengiring.

“Pada sebelah pagi, kita menerima pelajar sekolah rendah, manakala sesi petang pula melibatkan pelajar sekolah menengah.

“Contohnya semalam, kita menerima pelajar dari SMK Convent Bukit Nanas, selain sekolah rendah lain yang hadir bersama guru pengiring,” katanya.

Dalam sesi bacaan cerita, pelajar akan berkumpul di ruang khas untuk mendengar pencerita menyampaikan kisah daripada buku, diikuti aktiviti interaktif yang melibatkan penglibatan langsung pelajar.

Eltc2

Empat stesen interaktif ELTC

Selain sesi bacaan, reruai ELTC turut menampilkan empat stesen aktiviti dikenali sebagai E, L, T dan C yang mewakili konsep Explore, Link, Tell dan Create.

Melalui stesen Tell, misalnya, pelajar diberi peluang memilih buku cerita rakyat seperti kisah Badang atau Si Tanggang, sebelum diminta menceritakan semula kisah tersebut mengikut kreativiti sendiri.

“Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan pembacaan, tetapi juga membina keyakinan pelajar untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris,” jelas beliau.

Peserta yang melengkapkan sekurang-kurangnya dua daripada empat aktiviti akan menerima cop khas pada pasport program Kota Baca serta sijil penyertaan digital.

Bagi pelajar sekolah, penyertaan ini turut diiktiraf sebagai markah kokurikulum.

Teater dalam rakyat bahasa Inggeris tarik perhatian

Eltcvanidahimran

Antara tarikan utama reruai ELTC ialah pementasan teater bahasa Inggeris bertajuk Bidasari yang berlangsung pada semalam, menampilkan pelakon terkenal Vanidah Imran bersama pelajar sekolah.

Pementasan oleh pelajar tahun lima dan enam itu merupakan adaptasi cerita rakyat tempatan yang disampaikan dalam bahasa Inggeris, sebagai usaha mengangkat warisan budaya dalam konteks pembelajaran moden.

“Bidasari ini boleh diibaratkan seperti Snow White, tetapi dalam versi cerita rakyat Malaysia.

“Kita mahu pelajar menggunakan bahasa Inggeris melalui naratif tempatan,” katanya.

Menurut beliau, pelajar terlibat telah menjalani latihan intensif selama hampir seminggu bersama Vanidah Imran sebelum persembahan tersebut.

Galak pembelajaran bahasa secara menyeronokkan

Eltc3

Secara keseluruhan, pendekatan yang diketengahkan ELTC di reruai mereka menekankan pembelajaran bahasa Inggeris secara santai, interaktif dan berasaskan pengalaman.

Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti reruai yang berlangsung pada hari ini sempena Kota Baca 2026, yang menghimpunkan pelbagai inisiatif untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Melalui gabungan cerita rakyat, aktiviti kreatif dan penyertaan aktif pelajar, ELTC dilihat berjaya memperlihatkan bagaimana literasi bahasa boleh diperkasa dalam suasana yang menyeronokkan dan bermakna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *