Berdamai dengan masa lalu kunci penyembuhan diri – Hafizul Faiz

hafizulfaiz

KUALA LUMPUR — Penulis Hafizul Faiz menegaskan bahawa manusia tidak boleh lari daripada masa lalu, sebaliknya perlu melalui proses pendamaian sebagai jalan untuk berkembang dan sembuh.

Beliau berkata demikian dalam sesi audio siar Telaah sempena Kota Baca 2026 yang berlangsung di Perpustakaan Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Hafizul, kecenderungan sesetengah individu untuk mengelak daripada berdepan pengalaman silam, termasuk trauma, sebenarnya hanyalah usaha mencari “jalan pintas” yang tidak realistik.

“Kebenaran itu pahit. Ramai orang cuba cari jalan lain untuk tidak berdepan masa lalu, kononnya tidak perlu fikir tentang trauma atau pengalaman lepas.

“Tetapi hakikatnya mustahil manusia boleh lari daripada masa lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pertumbuhan diri hanya berlaku apabila seseorang mampu berdamai dengan pengalaman lampau, walaupun ia pahit dan sukar diterima.

“Tak ada manusia yang boleh menemui jalan pintas daripada masa lalu, melainkan dia akan kembali semula kepadanya. Manusia hanya akan tumbuh melalui proses pendamaian dengan masa lalu,” ujarnya.

Dalam sesi tersebut, Hafizul turut menyentuh pendekatan psikologi yang menekankan pemahaman terhadap pengalaman hidup, bukan sekadar mengenal pasti masalah semasa.

“Soalan penting bukan ‘apa masalah kamu?’, tetapi ‘apa yang berlaku kepada kamu?’.

“Itu yang perlu dibuka dan difahami, walau seburuk mana sekalipun,” katanya.

Beliau menambah, pengalaman lalu membentuk identiti dan cara seseorang membuat keputusan, justeru kesedaran terhadap pengaruh tersebut menjadi elemen penting dalam proses penyembuhan diri.

“Lebih penting, adakah kita sedar ketika membuat keputusan? Kesedaran itulah yang menyembuhkan,” katanya lagi.

Sesi audio siar itu diadakan sebagai sebahagian daripada pengisian Kota Baca 2026, acara literasi kebangsaan yang berlangsung dari 23 hingga 26 April di Dataran Merdeka.

Program berkenaan menghimpunkan pelbagai aktiviti berkaitan buku dan pembudayaan ilmu, termasuk diskusi penulis, pameran, serta interaksi bersama pembaca, sekali gus mengangkat budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *