MIRI — Pengiktirafan Gua Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO telah meletakkan lokasi bersejarah tersebut sebagai sumber inspirasi luar biasa bagi komuniti sastera global.
Perkara ini ditegaskan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Haliman bin Abang Julai dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Festival Puisi Dunia Niah 2026, malam tadi.
Beliau menyatakan kekagumannya terhadap keunikan sejarah yang terdapat di lokasi tersebut.
“Niah juga begitu unik ya kalau dari sejarahnya ya para arkeologi ya telah menemukan ya kerangka manusia moden yang usianya lebih 40,000 tahun. Ya, ini suatu tempat yang cukup unik”, katanya.
Beliau menambah bahawa keindahan alam semula jadi Niah adalah tempat yang sangat diperlukan oleh para penulis untuk berkarya.
Dalam ucapan tersebut, Abang Haliman turut memberikan penghargaan tinggi kepada kepimpinan tempatan yang menjadikan Miri sebagai pusat sastera yang hidup.
“Bandar Miri cukup istimewa khususnya bagi kami di Dewan Bahasa dan Pustaka kerana setiap tahun bandar raya Miri atas kepimpinan Datuk Bandar berjaya menganjurkan hari pusi bandar raya Miri setiap tahun tanpa gagal”, jelasnya.
Kepelbagaian budaya di Miri juga menjadi tunjang kepada kekuatan festival ini.
Beliau menjelaskan bahawa, “Miri ini terangkum pelbagai etnik. Kalau di Sarawak kita ada lebih 30 suku kaum dan di Miri ini Inilah terhimpunnya pelbagai suku kaum itu, Kenyah, kelabit, Iban, Melayu dan sebagainya”.
Keunikan ini, menurut beliau, menjadikan puisi sebagai jambatan yang sangat berkesan untuk menyatukan manusia.
“Puisi menjadi wahana yang menyatukan pengalaman manusia, merentas sempadan bahasa, bangsa dan negara,” tegas beliau lagi.
Penganjuran festival bertaraf dunia ini juga mempunyai signifikan yang besar buat DBP.
Abang Haliman memaklumkan, “Sesungguhnya lebih istimewa lagi, penganjuran festival ini merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka yang kita sambut pada tahun 2026 ini”.
Sambutan ini akan mencapai kemuncaknya di Kuching pada 22 Julai depan.
Beliau mengakhiri ucapan dengan penuh harapan agar festival ini menjadi medan untuk memperkukuh persahabatan antarabangsa dan mengangkat puisi sebagai suara kemanusiaan sejagat dari jejak awal peradaban manusia di Niah.












