JWN selamatkan perahu tradisional di Segamat

Jwn

SEGAMAT — Sebuah perahu tradisional yang ditemui di Kampung Paya Terap, Buloh Kasap dekat sini kini sedang menjalani proses konservasi menyeluruh oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) selepas dikenal pasti mempunyai potensi nilai sejarah yang signifikan kepada warisan maritim negara.

Tindakan pemuliharaan itu dilaksanakan susulan aduan orang awam mengenai keadaan perahu berkenaan yang dipercayai mempunyai nilai warisan penting.

Menurut JWN, pasukan daripada Bahagian Arkeologi menerusi Cawangan Arkeologi Bawah Air telah menjalankan kerja-kerja konservasi kering di lokasi penemuan sebelum perahu tersebut dipindahkan ke Muzium Kota Tinggi bagi tujuan konservasi lebih menyeluruh dan sistematik.

Operasi pemindahan serta konservasi itu turut mendapat kerjasama Yayasan Warisan Johor dan sokongan teknikal daripada Jabatan Muzium Malaysia.

Pada 7 Mac lalu, Pesuruhjaya Warisan merangkap Ketua Pengarah JWN, Muhammad Muda Bahadin telah melakukan lawatan kerja ke lokasi penemuan bagi menilai keadaan serta signifikasi perahu tersebut.

Hasil penilaian awal mendapati struktur dan kaedah pembinaan perahu berkenaan berpotensi menyumbang kepada pemahaman sejarah warisan maritim negara, khususnya berkaitan tradisi pembuatan perahu masyarakat tempatan pada suatu ketika dahulu.

JWN turut merakamkan penghargaan kepada pengadu, komuniti Kampung Sepang Loi, penduduk setempat serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi penyelamatan tersebut.

Menurut jabatan itu, keprihatinan masyarakat dalam melaporkan penemuan warisan membuktikan wujudnya kesedaran bersama terhadap kepentingan memelihara khazanah sejarah dan kebudayaan negara.

Dalam perkembangan sama, JWN menyeru orang ramai supaya melaporkan sebarang penemuan berkaitan warisan kebudayaan kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil bagi tujuan pemuliharaan.

Perahu tradisional itu dijangka akan dipamerkan kepada umum di Muzium Kota Tinggi selepas selesai menjalani proses konservasi, selain bakal diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *