Another Round (2020, Thomas Vinterberg) dan Budi Pekerti (2023, Wregas Bhanuteja) meskipun berbeza jauh dari segi latar geografi dan demografi, tetapi berkongsi beberapa persamaan: ia tentang guru dan tentang menunjukkan sisi manusiawi seorang guru.
Manusiawi dalam erti kata memaparkan sisi kerapuhan seorang guru sebagai sanggahan kepada stereotaip masyarakat dan jangkaannya—kerana kemuliaan kerjanya dan peranannya dalam masyarakat.
Sebab itu esei ini memilih untuk tidak merenung filem-filem tentang guru yang bernuasa heroik dan inspiratif (walaupun inspiratif dan heroik itu boleh jadi dengan melihat mereka sebagai manusia) kerana hal ini sudah tentu sangat sering disentuh oleh penulis-penuilis sebelum ini, khusunya dalam mengenang hari guru dengan petikan-petikan filem Dead Poet Society (1989, Peter Weir) dan Laskar Pelangi (2008, Riri Riza) misalnya, walaupun tidak ada salahnya dengan menyentuh filem-filem itu serta tidak menafikan kekuatan filem-filem tersebut.
Ini hanya mempelbagaikan wacana tentang pemaparan guru dalam sinema.
Another Round—guru, alkoholisme dan krisis pertengahan usia
Another Round (tajuk asal Druk) diarahkan oleh pengarah Denmark yang juga bersusur galur dari gerakan Dogma ’95, Thomas Vinterberg.
Pemeran utama filem ini adalah Mad Mikkelsen sebagai Martin, seorang guru sejarah yang mengalami krisis eksistensial dan krisis pertengahan usia.
Dia bersama dengan tiga orang temannya lagi (yang juga seorang guru) mencuba satu hipotesis pesudo-sains oleh mantan psikitiatis Norwegian bernama Finn Skårderud—menghujahkan bahawa tubuh manusia lahir dengan defisit alkohol dan menambah kandungan 0.05 peratus alkohol di dalam darah boleh mendayakan kreativiti dan ketenangan sehari-hari.
Empat sekawan dalam filem tragikomedi ini mencuba hipotesis itu dengan satu janji bahawa mereka akan konsum alkohol hanya untuk kerja dan tidak akan minum selepas jam 8 malam.
Eksperimen pertama mereka mendapati hipotesis itu positif dan berkesan, dan percubaan mereka untuk mencuba dengan lebih banyak ‘dos’ lagi telah mendatangkan mudarat lagi.
Kemuncaknya adalah apabila Tommy (lakonan Thomas Bo Larsen) mati akibat terjatuh ke dalam laut kerana mabuk teruk.
Sebelumnya, Martin juga bukan sahaja mengalami masalah tidak berdaya dan tidak berfungsi dengan baik sebagai guru, tetapi juga sebagai suami dan ayah.
Isterinya mendapati dia tidak lagi semenarik dahulu. Martin berdepan dengan beberapa konflik—kerjaya guru yang sangat performatif menyebabkan dia harus kelihatan menyakinkan, bersemangat, sedangkan dalaman dirinya sendiri pun kosong dan nol spiritual.
Martin hidup dalam rutin yang membosankan selain dia berada di kedudukan dan tanggungjawab membentuk orang lain, sedangkan spiritual dan dalaman dirinya sendiri sedang runtuh.
Dia bergelut dengan identiti sebagai guru dan dia sebagai dirinya sendiri. Sesuatu yang menarik untuk difikirkan ialah bahawa Denmark sering kali berada di tangga teratas Indeks Kebahagiaan Dunia, tetapi ternyata angka dan data tidak boleh menatijahkan gelora dalaman manusia.
Babak akhir filem ini amat signifikan apabila Martin dan dua kawannya meraikan pelajar-pelajar yang tamat zaman persekolahan (babak ini juga berlaku di awal filem) dengan meminum arak.
Babak tarian ballet oleh Mad Mikkelsen ini bukan sahaja memukau dengan muzik rancak penuh kemudaan tetapi memberikan perlambangan kepada emansipasi Martin menerusi kebebasan gerak-tubuh, yang mana sepanjang filem kita hanya melihat Martin kaku, tepasung dipendam kerana statusnya sebagai guru yakni sebagai suri tauladan.
Menariknya, dalam keadaan tubuhnya bebas menari ballet sambil meneguk tin arak ini, perasaannya bercampur baur.
Dalam satu sudut, ia seolah-olah sedang ‘menuntut semula’ kemudaannya, tetapi dari sudut yang lain, ia bercampur baur dengan perasaan duka apabila dia memandang laut dan mengenangkan Tommy yang mati akibat jatuh ke dalam laut.
Ertinya, ada justaposisi antara kelahiran semula/emansipasi dengan kematian/pengakhiran.
Makanya, menjurus ke penghujung, dia terjun ke laut, dan bingkai filem ini pun ‘membeku’ ketika dia sedang terapung, memberikan kepada spektator pilihan untuk memilih sendiri apakah dia sedang bersedih atau ini hanyalah ‘another round’ mabuk kepayangnya.
Budi Pekerti—sosok guru, budaya pangkah dan pengorbanan
Filem kedua arahan Wregas Bhanuteja dari Indonesia ini menelusuri isu yang ‘kekinian’ (currency) yakni tentang media sosial, budaya pangkah dan bagaimana ia menyahstabilkan, menggugat dan merosakkan imej seorang guru.
Sudah tentu hal ini berkait juga dengan jangkaan dan jangkauan masyarakat tentang sosok guru. Budi Pekerti adalah tentang Bu Prani (lakonan Sha Ine Febriyanti) yang mengalami budaya pangkah (cancel culture) dalam media sosial selepas sebuah rakaman dia mencarut di pasar mulai tular di media sosial.
Namun, itu bukanlah konflik yang sebenarnya—yang besar. Konflik yang sebenarnya adalah apabila barisan alumni melakukan inisiatif untuk memulihkan semula imej Bu Prani dengan membuat kempen video ucapan terima kasih atas ilmu dan refleksi (denda) yang dikenakan oleh Bu Prani yang membentuk mereka menjadi manusia.
Semuanya baik-baik saja sehingga Gora (lakonan Esteghlal), salah seorang alumni, memuat naik sebuah video apresiasi terhadap Bu Prani yang dahulu memberikannya denda membersihkan kubur kerana dia kerap bergaduh.
Akibatnya, setelah beberapa lama, dia dilaporkan sering ke pusat psikiatri walaupun awalnya tak dapat dipastikan sebab-musababnya.
Bagi membersihkan nama Bu Prani dan pihak sekolah, Bu Prani dan pihak sekolah berjaya memujuk Gora untuk merekod satu video pengakuan bahawa bukan denda yang dikenakan kepada Bu Prani itu yang menyebabkan dia harus ke psikiatrik.
Namun, itu semua berubah setelah Bu Prani mendapat tahu daripada Gora bahawa Gora ke psikiatri kerana telah memiliki satu keanehan setelah melaksanakan denda Bu Prani itu: suka ke tanah perkuburan—yang menatijahkan, dia trauma hasil denda itu.
Maka, untuk menyelamatkan air muka Gora daripada terus dimalukan netizen dan ‘orang-orang akan terus mempersoalkan kenapa dia ke psikiatri’, kata Bu Prani kepada pengetua sekolah, Bu Prani dengan jiwa besarnya sebagai guru, dia mengundurkan diri dari sekolah itu—secara tak langsung mengakui silap masa lalunya.
Di sinilah antara babak yang menyentuh hati saya, yakni babak Bu Prani sedang bersiap-siap meninggalkan sekolah untuk kali terakhir lalu dipeluk oleh anak-anak muridnya dan diiringi ke rumah—berbudi kepada gurunya kali terakhir.
Pemaparan sosok guru dalam filem ini sangat signifikan merefleksi tentang bagaimana budaya pangkah di media sosial itu menjadikan tugas guru jauh lebih sukar daripada dulu.
Misalnya denda-denda yang dikenakan oleh Bu Prani kepada mantan-mantan pelajarnya mungkin sebenarnya tidak bermasalah di mata masyarakat pada waktu beliau mengenakan denda-denda tersebut, tetapi menjadi bermasalah pada hari ini kerana kesedaran moral yang berbeza.
Begitu pun, yang menarik tentang Budi Pekerti adalah bagaimana media sosial itu bukan sahaja boleh merakam atau menyebarkan apa yang terjadi hari ini, tetapi juga membongkarkan masa lepas kepada khalayak hari ini.
Walau bagaimanapun, jiwa besar Bu Prani meninggalkan sekolah supaya menjaga kesejahteraan dan kelangsungan Gora seperti mana nawaitu dia juga dahulu ketika mahu memulihkan Gora daripada terus dibuang sekolah dan akhirnya tidak mendapat pendidikan dan pemulihan, akhirnya memerlukan nawaitu dan iltizam itu menuntut dia sebagai guru untuk melakukan pengorbanan yang besar.
Sebenarnya yang mengilhami esei ini adalah apabila saya teringatkan filem Good Will Hunting (1997, Gus Van Sant) yang memaparkan sisi manusawi dan kerapuhan (fragility) seorang ‘pelajar’ genius dengan pengakhiran filem itu, Will memilih untuk pergi kepada kekasihnya ketimbang kerjaya di bahagian intelegensia pemerintah.
Hal ini mengilhamkan natijah yang sebenarnya terdapat dalam filem Another Round dan Budi Pekerti: kerana Bu Prani dan Martin adalah guru, mereka bergelut untuk memenuhi harapan dan jangkaan anak-anak muridnya, juga keluarga, juga masyarakat, juga memenuhi harapan dan jangkaan institusi, walaupun pada akhirnya mereka terpaksa melupakan bahawa mereka juga adalah manusia biasa yang punya sisi-sisi manusiawinya dan kerapuhannya untuk melanjutkan tugas seorang guru—mendidik.













