Pertama kali saya bertemu dengan Keyza adalah ketika sedang nyetreet di Batu Caves dua tahun lalu sempena Thaipusam.
Usai itu, kami nongkrong dan berbicara lalu bergosip tentang fotografi dan politikus kedua-dua negara di sela-sela makan, dan menangkap foto.
Di situ saya mulai berkenalan dengan Keyza Widiatmika, anak muda Bali lulusan Komunikasi Universitas Indonesia (sealma mater dengan Baskara Putra “Hindia” dan vokalis Feast!), gemar berfotografi serta turut menyumbang dalam dunia foto jurnalisme di republik itu.
Keyza juga pernah mengajar secara sambilan di alma maternya selain punyai minat dalam penyelidikan. Baru tahun ini, setelah bertemu semula untuk sama-sama membentangkan kertas kajian di Ipoh Music Symposium, saya mendapatkan naskah buku foto pertamanya, Mumbai, For A While, Bhai.
Mumbai adalah kota masyhur dan sebahagian fotowan kerap menyebutnya sebagai “syurga” kepada fotografi jalanan.
Kadang ia boleh terjerumus kepada renungan eksotika, namun kebanyakannya melabelkan ia sebagai “syurga” kerana kemeriahan kotanya yang “hidup” bak kata teman fotografi saya, Anique Iskandar yang sering ke India saban tahun untuk berfoto-wisata, “Masyarakat di sana senang layering“, selorohnya santai merujuk kepada kepadatan dan pertembungan pelbagai subjek dalam satu bingkai.
Ini belum lagi dibezakan dengan warna-warni yang menghuni kotanya yang cerah lagikan meriah.
Berbeza dengan Kuala Lumpur yang belantara konkritnya didominasi warna-warna mati dan penghuni-penghuninya yang tidak berani berpakaian warna-wana meriah.
Bak kata Alex Webb, warna kadang kadang sangat berkait dengan kebudayaan sesuatu masyarakat seperti mana Alex mengatakan tentang Haiti,
“Searing light and intense color seemed somehow embedded in the cultures that I had begun working in, so utterly different than the gray-brown reticence of my New England background.”
Secara peribadi, saya berkenalan dengan Mumbai menerusi sinema terlebih dahulu, yang bermula dengan filem wajib bagi para pemula pencandu sinema India (moden?), Salaam Bombay (1988) arahan Mira Nairโibu Datuk Bandar New York City, Zohran Mamdaniโyang mengambil perspektif anak-anak jalanan di Bombay (nama lama Mumbai).
Yang lebih kontemporari dan baik mungkin adalah filem All We Imagine as Light (2024) arahan Payal Kapadia yang mengambil perspektif daripada tiga wanita menempuh hidup di tengah kota Mumbai dan mengharung pelbagai bentuk hubungan.
Kedua-duanyaโselain memiliki rentang masa yang berbezaโmemilih pendekatan tersendiri sehingga All We Imagine as Light dikritik hebat di India, didakwa tidak memberikan pemaparan “sebenar” kepada Mumbai. Soalnya, apakah ada yang namanya pemaparan “sebenar” itu?
Dalam fotografi jalanan pula sudah tentu dua nama dominan yang merakam Mumbai atau Bombay adalah Raghubir Sigh dan Raghurai.
Kedua-duanya terkenal dalam menangkap kesesakan, kepadatan dan kecepatan Mumbai dengan layering, slow shutter juga kadangkala bermain dengan jukstaposisi.
Sebuah foto popular Raghurai adalah foto di stesen keretapi Mumbai di mana subjek seorang lelaki membaca akhbar sedang pegun, sementara subjek-subjek yang lain berada dalam keadaan motion blur akibat slow shutter yang merakam pergerakan manusia (ala-ala teknik yang Wong Kar Wai gunakan dalam filem-filemnya).
Berbalik kepada Mumbai For A While, Bhai yang sekali imbas kita akan dapati leitmotif dalam bukufoto ini, malah membentuk form-nya, adalah pemparan co-existence (kesewujudan), dalam pengertian apa-apa yang wujud bersama-sama dengan masyarakat di Mumbai.
Kesewujudan ini terjadi menerusi pendekatan juxtaposition (jukstaposisi) yang digunakan secara tekal dalam penyusunan (sequencing) buku foto ini.

Seawal kulit buku lagi kita telah melihat tema “kesewujudan” ini menerusi foto jusktaposisi antara manusia-manusia Mumbai yang sedang berehat di bangku tebing dan seekor anjing yang sedang menggeliat di lantai [foto 1].

Ini diikuti dengan permainan forced perspective dalam foto pertama dalam buku ini yakni gambar seorang kanak-kanak yang “cuba menggenggam” seekor burung yang sedang terbang [foto 2].
Kesewujudan manusia dan haiwan ini adalah sesuatu yang Keyza sedari dalam menyiapkan buku foto ini seperti katanya dalam prakata, “Besides birds, the city (Mumbai) also feels welcoming to stray cats and dogs. These animals werenโt just wandering: they were parts of cityโs life”.
Namun kesewujudan Mumbai yang dipaparkan Keyza bukan hanya haiwan seperti anjing dan burung, ia juga meliputi iklan di dinding kota, patung manequine dan macam-macam lagi benda tidak hidup yang menjadi simbiosis Mumbai.

Antara yang menangkap adalah foto lanskap bandar yang menyandingkan (juxtaposes) perumahan setinggan kelas pekerja dengan belantara konkrit kota moden pencakar langit di seberang laut [foto 6].
Tidak cukup dengan kontra itu, yang menangkap mata adalah keberadaan wayside shrine agama Kristian di tengah-tengah rumah setinggan sambil di hadapannya terlihat anak-anak kecil sedang bermain.

Foto ini menangkap bukan hanya kerana estetikanya tetapi kerana muatan yang digendong di dalamnya.
Saya membaca foto ini sebagai kontra antara kelas menengah dan kelas bawah di Mumbai; ia juga boleh dibaca sebagai bentuk ironi bagaimana ikon agama tersergam di atas tindihan setinggan yang melarat.

Selain itu, ada triptych atau tiga foto yang juga menangkap mata saya serta mengendong muatan yang penting, yakni tiga foto yang memaparkan anggota beruniform Maharashtra Security Force [foto 3-6].
Dalam foto-foto yang ditangkap Keyza ini, kehadiran anggota Maharashtra Security Force (MSF) di tengah-tengah masyarakat awam mungkin kelihatan seperti pemandangan sehari-hari dalam sebuah kota metropolitan.
Apatah lagi, anggota beruniformnya tidak ditonjolkan sebagai ancaman atau melakukan kekerasan.

Namun, ia tidak boleh dilihat sebagai neutral hanya kerana tidak melibatkan kekerasan. Dalam esei seminal Louise Althusser, Ideology and Ideological State Apparatuses (Towards an Investigation), meskipun Althusser membezakan antara Repressive State Apparatuses (RSA) dengan Ideological State Apparatuses (ISA) adalah fungsinya, tetapi ujarnya,
There is no such thing as a purely repressive apparatus. For example, the Army and the Police also function by ideology both to ensure their own cohesion and reproduction, and in the โvaluesโ they propound externally.
Triptych Maharashtra Security Force ini sekurang-kurangnya mengingatkan kita bahawa ruang awam juga merupakan ruang kuasa pemerintah untuk merepresentasikan dirinya dan “mendisiplinkan” massa.
Di satu lapisan yang lain, di sebalik kesewujudan yang kelihatan dalam buku foto ini, menarik juga diperhatikan dari segi bagaimana Mumbai yang sering dipotret terus-menerus oleh ramai fotografer, baik lokal mahupun antarabangsa, sebenarnya membuktikan fotografer juga “sewujud” (co-exists) dengan Mumbai.

Malah, hayat Mumbai itu diteruskan wujud bersama-sama dengan foto-foto yang dirakam oleh fotowan yang melewatinya, malah merekonstruksi apa yang kita bayangkan dan fahami sebagai Mumbai.
Foto terakhir dalam buku foto ini juga masih menekankan tema kesewujudan ini dengan memaparkan sepasang manusia, lelaki dan perempuan, dalam keadaan siluet sedang memerhatikan senja [foto 7].
Senja yang menutup hari yang sesak dan lelah di Mumbai yang rencah dan meriah.
Keyza, seperti Raghurai dan Raghubir, tidak meneruskan visual klise India ataupun Mumbai, tetapi merekonstruknya, dengan pandangan sendiri dengan memaparkan kesewujudan Mumbai kepada yang mengamatinya.
Keyza, seperti Raghubir melihat Mumbai tidak berhenti berubah, maka “perubahan” ini menjadi asbab untuk merakam selain merakam jejaknya di Mumbai.












