Festival Idea Putrajaya 2026 bakal himpun idea, gagasan masa hadapan negara

Foi2026

PUTRAJAYA — Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 kembali menemui masyarakat menerusi edisi ketiga penganjurannya pada 17 hingga 19 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan membawa tema “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”.

Penganjuran festival anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu bertujuan menghimpunkan ahli akademik, pembuat dasar, pemain industri dan masyarakat bagi membincangkan hala tuju negara dalam menghadapi perubahan serta cabaran masa hadapan.

Meneruskan kesinambungan penganjuran sejak 2024, FOI menjadi wadah untuk mendekatkan idea dan pendidikan tinggi kepada masyarakat, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan serta menyemarakkan budaya ilmu sebagai asas kemajuan negara.

Festival itu bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebelum diteruskan dengan program Himpunan Idea Mahasiswa Negara yang menyediakan ruang kepada golongan mahasiswa untuk menyuarakan pandangan, mengetengahkan gagasan dan berkongsi aspirasi mengenai masa hadapan negara.

Dimensi perbincangan FOI 2026 turut diperluas ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan Menteri Pendidikan Tinggi dari Filipina, Bangladesh, Kazakhstan, Indonesia, Türkiye dan Timor-Leste.

Beberapa orang menteri serta timbalan menteri daripada kementerian lain turut dijadualkan menyertai forum dan sidang selari sebagai panelis.

Selaras dengan tema penganjuran, festival kali ini mengangkat empat persoalan strategik nasional, iaitu peranan kecerdasan buatan (AI), usaha menarik dan mengekalkan bakat tempatan, tanggungjawab institusi pendidikan tinggi (IPT) melahirkan pembina negara menjelang 2040 serta pemanfaatan inovasi untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti dalam menghadapi fenomena masyarakat menua.

Lebih 20 pengisian utama dirancang menerusi tiga kerangka, iaitu Explore, Challenge dan Translate.

Antaranya termasuklah Sidang Idea Malaysia (SIM), IdeaPulse serta beberapa persidangan dan bengkel dasar seperti ASEAN Higher Education Leadership Forum (ASHELF), University Network for Research Collaboration (iUNRC) dan Environmental, Social and Governance Summit (ESG Summit).

Meja bulat integriti bersama Elsevier turut menjadi antara platform perbincangan yang diketengahkan.

Selain itu, festival berkenaan turut menyaksikan penganjuran Majlis Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI), Pertandingan Digital Innovation Creativepreneur (DICE 4.0), University Social Enterprise Competition (USEC) dan Malaysia Scopus Research Star Awards.

Pengisian festival tidak terhad kepada wacana akademik, sebaliknya turut memberikan pengalaman interaktif kepada pengunjung menerusi pelbagai pameran dan aktiviti.

Antaranya termasuklah Wall of Ideas, World of Tunnel, Pavilion KPT, pameran industri dan penyelidikan IPT, Mini Karnival Jom Masuk Universiti serta perkhidmatan bergerak Hospital Pengajar Universiti (HPU).

Turut dianjurkan ialah Ideas in Action: Edutainment & Innovation @ FOI, Ideatech: Innovation Showcase dan karnival kerjaya yang membuka peluang kepada pengunjung untuk mengenali perkembangan inovasi, penyelidikan serta potensi kerjaya dalam pelbagai bidang.

Sebagai hasil utama penganjuran, Risalah Idea Malaysia yang mengandungi sekurang-kurangnya 10 agenda utama akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan tindakan lanjut.

Dokumen tersebut akan diserahkan pada Majlis Penutupan yang bakal disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Orang ramai dijemput mengunjungi FOI 2026 yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang sepanjang 17 hingga 19 November ini di PICC, Putrajaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *