KUALA LUMPUR — Komposer tersohor tanah air, Datuk Wah Idris, berkongsi secara terbuka lipatan sejarah dan detik cemas di sebalik pembentukan lagu keramat Standing in the Eyes of the World yang mengambil masa sehingga lapan bulan untuk disiapkan.
Menerusi perkongsian dalam forum simposium akademik yang berlangsung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) baru-baru ini, beliau mendedahkan hasrat asalnya yang mahukan sentuhan antarabangsa bagi membawa nama Malaysia ke persada global.
Gagal bekerjasama dengan paul McCartney, berjaya bersama David Gates
Pada peringkat awal, Wah Idris mengidamkan kolaborasi bersama beberapa tokoh muzik dunia termasuk Lord Andrew Lloyd Webber, Sir Paul McCartney daripada kumpulan The Beatles, dan David Gates daripada kumpulan Bread.
Walau bagaimanapun, perancangan bersama Paul McCartney tidak dapat diteruskan ekoran berita duka pemergian isteri penyanyi berkenaan.

Mengimbau detik tersebut, Wah Idris berkongsi, “Saya beralih kepada satu lagi ikon global, Sir Paul McCartney daripada kumpulan The Beatles. Namun keadaan sekali lagi tidak menyebelahi saya kerana beliau sedang berdukacita susulan pemergian isteri tercintanya, Linda, baru-baru ini. Saya pergi ke Australia untuk bertemu dengan pihak pengurusannya, tetapi Paul berasa sangat sedih. Beliau berkata beliau tidak dapat…”
Hasratnya kemudian tercapai apabila David Gates bersetuju bekerjasama. David Gates terbang ke Kuala Lumpur dan mereka bersama-sama mengarang melodi serta lirik bahasa Inggeris bagi membina kerangka asas lagu berkenaan.
Detik ditolak jawatankuasa, gurauan ISA oleh Tun M
Antara pendedahan paling mengejutkan dalam forum berkenaan ialah apabila lagu tersebut sebenarnya tidak dipilih oleh jawatankuasa khas bagi temasya Sukan Komanwel 1998 (SUKOM 98) pada peringkat awal.
Wah Idris meluahkan rasa terkejut dan sedih atas keputusan tersebut, “Apabila pihak pimpinan dan jawatankuasa menyatakan bahawa lagu itu tidak dipilih, saya berasa terkejut, saya menangis.”
Beliau turut mempersembahkan lagu berkenaan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang sempat memberikan usikan mesra namun mencemaskan, “Pastikan lagu awak bagus, atau saya sumbat awak dalam ISA.”
Wah Idris menyifatkan gurauan Dr. Mahathir itu sebagai memori yang menghiburkan di tengah-tengah suasana yang amat mendebarkan.
Formula kejayaan, Pemilihan Ella untuk “kemerduan rock”
Menerusi kerjasama bersama Datuk Habsah Hassan yang menghasilkan lirik Melayu serta Ella sebagai penyanyi utama, lagu berkenaan akhirnya menemui formula terbaiknya.
Wah Idris menegaskan formula ringkas di sebalik kejayaan karya ini, “Detik-detik istimewa apabila lagu yang tepat bertemu dengan suara yang tepat serta penyanyi yang tepat dan lirik yang tepat.”
Menjelaskan keputusannya memilih Ella daripada tujuh hingga lapan calon penyanyi lain, Wah Idris menyatakan, “Ella adalah individu yang tepat untuk menyanyi apa-apa lagu bila kita nakkan kemerduan rocknya, tetapi jangan over pula.”













