Aduh sayang… dunia buku kita minggu ini panas ya. Panas bukan sebab cuaca PBAKL, tapi sebab ada golongan pembaca muda yang tiba-tiba bersuara pasal satu “keluarga penerbitan” yang katanya terlalu gemar bermain dengan adegan dalam kain.
Eh… makcik baca satu demi satu bebenang di media sosial tu sambil kipas tangan pun bergerak lebih laju tau.
Katanya darling, sekarang ini kalau buka sesetengah novel… belum sempat pembaca kenal watak utama, eh tahu-tahu dah ada babak kolam renang, sentuhan perlahan-lahan, renungan berpeluh-peluh dan dialog yang buat makcik rasa macam terbaca skrip drama tengah malam Astro circa 2012. Aiyoh.
Makcik ni bukanlah nak jadi polis moral sangat ya. Dunia sastera memang luas. Ada tema gelap, ada sisi manusia yang rumit, ada trauma, ada kegilaan masyarakat, semua itu seni katanya.
Tapi netizen sekarang mula bertanya satu soalan yang pedih juga, “Perlu ke semua benda divisualkan sampai begitu sekali?”
Haaa… itu dia persoalannya, darling.
Sebab sekarang ramai mula perasan, ada sesetengah karya ni macam ada “formula tetap”.
Mesti ada unsur ranjang, mesti ada ketegangan seksual, mesti ada dialog yang dibuat untuk bagi pembaca rasa “eh eh eh…”. Kalau tak ada, macam tak lengkap koleksi.
Dan makcik paling terhibur bila nampak perang pendapat di internet. Yang mempertahankan kata, “Ini karya matang sayang, bukan untuk budak sekolah.”
Yang membantah pula kata, “Label matang bukan lesen untuk jual ghairah dalam bentuk sastera.”
Eh… pedas juga ya.
Yang lawaknya darling, isu ini bukannya baru sangat pun. Orang industri lama tahu… dulu pun pernah kecoh. Pernah ada perang dingin sesama penerbit.
Yang sana sindir sini terlalu liberal, yang sini pula acah-acah paling progresif. Lepas itu semua senyap bila keluar istilah keramat: “Untuk pembaca matang.”
Haa… terus semua buat muka profesional sambil angguk kepala.
Tapi sekarang muncul pula generasi pembaca baru yang mulut mereka… aih, lantang sungguh. Mereka bukan sekadar baca, mereka screenshot terus letak di Threads.
Mereka persoal balik: “Apa sebenarnya yang sedang dinormalisasikan dalam budaya membaca kita?”
Dan makcik rasa… itu yang buat ramai orang industri mula gelabah sikit.
Sebab bila pembaca mula bercakap tentang soft porn, “normalisasi”, “seks dijadikan estetika jualan”—itu bukan lagi sembang kopi kecil-kecil tau. Itu dah jadi perbualan tentang arah industri.
Makcik cuma perasan satu benda ya darling… sekarang ini ramai sangat penerbit berlumba nak jadi “edgy”.
Nak jadi berani. Nak nampak paling urban, paling rebel, paling gelap, paling berani langgar tabu.
Tapi dalam keghairahan jadi “bold” itu… ada tak yang terlupa beza antara keberanian artistik dengan eksploitasi murahan? Eh… makcik tanya saja.
Sebab kadang-kadang makcik baca ringkasan sesetengah novel pun dah rasa macam sedang tengok teaser drama skandal elit kota raya. Tinggal belum keluar muzik jazz sensual saja lagi.
Dan yang paling menarik, ramai netizen mula cakap benda yang selama ini orang takut nak cakap, “Bukan semua benda perlu ditulis secara terperinci untuk dianggap karya dewasa.”
Oops.
Makcik rasa selepas ini mesti ada yang panas punggung. Ada yang mula tulis status panjang. Ada yang mula petik “kebebasan berkarya”.
Ada yang mula tuduh orang lain kolot. Biasalah darling… dunia buku kita ni kadang-kadang lebih dramatik daripada novel itu sendiri.
Tapi apa pun… makcik hanya memerhati sambil susun buku di rak ya.
Cuma dalam hati terfikir juga… bila industri terlalu sibuk menjual sensasi, jangan terkejut kalau pembaca akhirnya mula bertanya, “Kita sedang membaca cerita… atau sedang dipancing nafsu secara bersiri?”











