KUALA LUMPUR — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Sekretariat Tetap SEaA. Write Award (Malaysia) membuka pencalonan bagi SEA Write Award (Malaysia) 2026 kepada institusi, badan berdaftar dan individu yang berwibawa dalam bidang sastera.
Anugerah berprestij peringkat Asia Tenggara itu diberikan setiap tahun sejak 1979 kepada penulis dan penyair dari negara-negara Asia Tenggara.
SEA Write Award atau Southeast Asian Writers Award diwujudkan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan tokoh sastera di rantau ASEAN, sama ada bagi karya tertentu mahupun pencapaian sepanjang hayat.
Anugerah tersebut turut mengiktiraf pelbagai bentuk karya termasuk puisi, cerpen, novel, drama, folklor, penulisan ilmiah dan karya keagamaan.
Walaupun melibatkan negara-negara ASEAN, tidak semua negara diwakili setiap tahun bergantung kepada pencalonan dan pemilihan yang dibuat oleh sekretariat masing-masing.
Bagi pencalonan Malaysia tahun 2026, calon hendaklah merupakan warganegara Malaysia yang masih hidup serta menghasilkan karya kreatif dalam bahasa Melayu secara berterusan.
Menurut syarat yang ditetapkan, setiap pencalon hanya dibenarkan mengemukakan satu nama sahaja dan pencalonan perlu disertakan dengan bukti kukuh berkaitan pencapaian serta ketokohan calon.
Antara kriteria penilaian termasuklah penghargaan atau hadiah sastera yang pernah diterima di peringkat antarabangsa, kebangsaan atau negeri seperti Hadiah Sastera Mastera, Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Hadiah Sastera Negeri.
Selain itu, calon juga dinilai berdasarkan tahap prolifik dan konsisten dalam berkarya, sumbangan pemikiran terhadap perkembangan sastera serta komitmen dalam kegiatan pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan.
Pihak pencalon turut dikehendaki melampirkan hasil penulisan atau laporan pengiktirafan oleh sarjana dan individu yang berkelayakan sebagai sokongan pencalonan.
Borang pencalonan dan syarat lengkap boleh dimuat turun melalui pautan SEA Write Award (Malaysia) 2026.
Pencalonan hendaklah dikemukakan kepada Sekretariat Tetap SEA Write Award (Malaysia) sama ada melalui hantaran tangan atau pos sebelum tarikh tutup pada 5 Jun 2026.













