KUALA LUMPUR — Puteh Press mencipta kelainan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 apabila membawakan figura kucing terkenal media sosial, Rocket Haheng, menerusi acara istimewa “Rocket Haheng: Selamat Datang ke Dunia Chaos Si Kucing Comel” sempena pelancaran buku Hari-Hari Chaos Rocket Haheng.
Program yang berlangsung di Bilik Kuala Lumpur, Tingkat 5, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) itu berjaya menghimpunkan lebih 60 peserta dari seluruh negara.
Penyertaan adalah melalui RSVP yang dibuka pada 21 Mei menerusi saluran Instagram Rocket Haheng dan terhad kepada 75 peserta sahaja.

Sambutan yang diterima membuktikan pengaruh Rocket Haheng atau mesra dipanggil “Oked” dalam kalangan pencinta kucing, khususnya pengikut media sosial yang mengikuti telatah lucu dan kehidupan hariannya di TikTok.
Menurut editor Mia, penerbitan Hari-Hari Chaos Rocket Haheng merupakan satu langkah baharu bagi Puteh Press yang sebelum ini lebih dikenali dengan penerbitan buku-buku pembangunan diri dan karya yang bersifat reflektif.
Beliau menjelaskan bahawa penerbitan buku ini merupakan usaha untuk meneroka genre gaya hidup yang lebih santai, ceria dan dekat dengan pembaca pelbagai lapisan usia.
Selain menampilkan kisah seekor kucing yang mencuit hati, buku ini turut mengetengahkan penghargaan terhadap peranan haiwan peliharaan dalam kehidupan manusia.
“Rocket Haheng merupakan siri pertama Puteh Press yang menjadikan figura kucing sebagai watak utama. Ia membawa pembaca mengikuti perjalanan hidup seekor kucing dengan pendekatan yang ringan dan menghiburkan, namun masih mengandungi nilai-nilai yang boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui Titik Baca, selepas acara berlangsung.
Tambah beliau lagi, setiap bab dalam buku tersebut turut menampilkan kolaborasi bersama beberapa jenama tempatan termasuk Zus Coffee, Kayman, Pawcipes dan NanoVet sebagai penaja utama, selain beberapa jenama berkaitan haiwan peliharaan yang lain sebagai tanda penghargaan kepada komuniti pencinta kucing.
Sementara itu, ketika ditemui, Pengurus Pemasaran Puteh Press, Alia Shuhada berkata pihaknya amat teruja dengan sambutan awal yang diterima sejak pengumuman penerbitan buku tersebut dibuat kepada umum.
Menurutnya, interaksi yang diterima di media sosial sangat memberangsangkan sehingga 100 naskhah pertama berjaya habis terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas pra-tempah dibuka.
“Kami gembira melihat sambutan yang diberikan oleh pembaca. Walaupun Rocket Haheng hanyalah seekor kucing pada pandangan sesetengah orang, bagi ramai pencinta kucing, haiwan peliharaan merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka. Kehadiran peserta dari pelbagai negeri hari ini membuktikan bahawa Rocket Haheng mempunyai komuniti pengikut yang sangat kuat dan positif,” katanya.
Beliau turut menyifatkan acara tersebut sebagai satu platform yang berjaya menyebarkan kegembiraan dan tenaga positif kepada para pengunjung sepanjang PBAKL 2026.
Dalam pada itu, Alia berharap Puteh Press dapat terus meneroka karya-karya yang mengangkat pelbagai bentuk inspirasi kehidupan, sama ada melalui manusia, haiwan mahupun alam sekitar, selagi ia mampu memberikan manfaat dan nilai positif kepada para pembaca.
Penerbitan Hari-Hari Chaos Rocket Haheng juga memperlihatkan kesediaan Puteh Press untuk meneroka tema dan pendekatan baharu yang lebih segar, selari dengan perubahan minat serta trend pembacaan semasa tanpa mengabaikan nilai dan mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat.
Melalui kehadiran Rocket Haheng di PBAKL 2026, Puteh Press sekali lagi membuktikan bahawa dunia buku sentiasa mempunyai ruang untuk meraikan pelbagai cerita dan pengalaman hidup, termasuk kisah seekor kucing yang berjaya mencuri hati ribuan manusia.













