Waris S. Othman Kelantan pilih DBP kekal hak cipta

Dbpnusa

KUALA LUMPUR — Isu kelestarian harta intelek sasterawan negara menjadi tumpuan utama dalam majlis pelancaran semula enam novel karya Allahyarham S. Othman Kelantan.

Pengarah Urusan Nusa Center, SM Zakir yang juga merupakan anak kepada sasterawan tersebut, membuat keputusan luar biasa dengan mengekalkan hak cipta enam karya bapanya di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) demi menjamin keselamatan khazanah tersebut untuk jangka panjang.

Dalam ucapannya, SM Zakir mendedahkan beliau pada asalnya berhasrat mengambil semula hak cipta tersebut secara kekal, namun mengubah fikiran setelah memikirkan risiko yang bakal dihadapi sekiranya hak tersebut hanya dipegang oleh waris secara peribadi.

“Apabila hak cipta ini dipegang oleh waris, contohnya saya memegang hak cipta itu, jika saya tiada dan tidak ada lagi anak-anak saya yang meneruskan perniagaan dan sebagainya, hak cipta ini akan hilang, tergadai ke mana-mana,” tegas beliau dalam Majlis Pelancaran Buku Terbitan DBP dengan Kerjasama Nusa Centre, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026, hari ini.

Beliau menambah bahawa institusi nasional seperti DBP adalah penjaga yang paling layak untuk memastikan karya sastera tidak hilang ditelan zaman.

“Dewan Bahasa dan Pustaka adalah sebuah institusi. Dia akan ada di situ sampai bila-bila. Sampai bila-bila. Dan hak cipta itu akan menjadi aset bukan sahaja kepada bahasa dan juga kepada negara,” ujar SM Zakir lagi.

Keputusan ini mendapat sokongan penuh daripada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr. Anwar Ridhwan.

Beliau menyifatkan tindakan menyerahkan hak penerbitan kepada DBP adalah langkah bijak kerana proses menerbitkan karya melibatkan kos yang tinggi serta kepakaran editor yang belum tentu mampu ditanggung oleh waris.

“Sebab kalau hak cipta dipegang oleh waris itu mungkin menjadi kebanggaan kekeluargaan. Tetapi kalau karya itu tidak diterbitkan, ia tidak memberikan apa-apa makna, tidak memberikan sumbangan kepada kepustakaan bangsa kita,” kata beliau dalam ucapan perasmiannya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kebajikan waris tetap dilindungi melalui sistem perundangan harta intelek yang diamalkan di DBP.

“Salah satu daripada faedah daripada perlindungan harta intelek ini ialah sehingga 50 tahun selepas seorang pengarang itu meninggal dunia, maka hak royalti dan sebagainya masih boleh diberikan kepada waris. Dan kami di Dewan Pustaka dan Pustaka, dokumen itu ada. Jadi maknanya hak kepada waris itu terjamin,” jelas beliau.

Enam novel yang dilancarkan semula hasil kerjasama ini ialah Orang Kota Bharu, Perjudian, Ruang Perjalanan, Perwira, Juara, dan Wajah Seorang Wanita.

Kerjasama ini diharapkan menjadi contoh kepada waris sasterawan lain untuk memastikan karya-karya bermutu terus segar dalam pasaran dan boleh diakses oleh generasi muda.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *