Wawancara: Faisal Tehrani dan Mahakamus

Ft2026

Dalam lanskap kesusasteraan Melayu yang sentiasa berkembang, nama Faisal Tehrani tidak pernah terpisah daripada keberanian bereksperimen dengan bentuk, genre dan teknik penceritaan.

Daripada novel sejarah hingga fiksyen alternatif, beliau sering mencabar kebiasaan serta mengajak pembaca meneroka wilayah pemikiran yang baharu.

Kini, menerusi novel terbaharunya berjudul Mahakamus, Faisal sekali lagi tampil dengan sebuah karya yang sukar diletakkan dalam kategori konvensional.

Dalam wawancara bersama Kawah Buku ini, beliau menjelaskan bagaimana idea menghasilkan sebuah novel dalam bentuk kamus tercetus, cabaran membina plot melalui susunan abjad, kecenderungannya terhadap karya eksperimental, serta tema fiksyen sains dan kecerdasan buatan yang menjadi teras Mahakamus.

Beliau turut berkongsi harapannya agar novel tersebut dapat mencabar cara pembaca memahami dan menikmati kesusasteraan Melayu pada abad ke-21.


Mengapa memilih bentuk kamus sebagai kerangka untuk novel Mahakamus?

Sewaktu saya mula-mula berfikir untuk menulis sebuah novel baru, saya suka menerokai pelbagai jenis genre.

Malahan selalunya apabila saya beroleh sesuatu ilham atau idea, gagasan untuk menulis sesebuah karya kreatifโ€”dalam hal ini novelโ€”perkara pertama yang selalu menggangu saya ialah apakah bentuk yang saya ingin gunakan untuk sampaikan mesej, untuk sampaikan cerita atau gagasan tersebut.

Oleh tak berjumpa bentuk itu, saya ambil masa lama, saya biarkan, saya abaikan ide-idea itu dan hanya selepas beberapa lama kemudian, saya memikirkan bahawa mungkin ini masanya untuk saya ketengahkan novel ini dalam bentuk kamus. Justeru Mahakamus.

Kamus orang Melayu ni, dia ada bukan sahaja memberi definisi, memberikan satu konteks dan memberikan satu contoh penggunakan perkataan yang diketengahkan. Tetapi dalam banyak keadaan, ia juga adalah cerita.

Jadi ia sampaikan itu dalam bentuk cerita untuk dicontohkan. Dan berdsarkan itulah saya garapkan novel ini dalam bentuk genre kamus.

Mahakamus disebut sebagai sebuah novel eksperimental. Bagaimanakah Dr. melihat eksperimen dalam penulisan kreatif?

Saya memang seorang yang suka menguji pembaca dan menguji diri saya sendiri. Menguji ini menurut saya ia satu eksperimen dan orang sastera juga mereka boleh masuk makmal dan bereksperimen dan bereksperimen dengan khalayak malahan.

Ada eksperimen tersebut kadang-kadang tidak menjadi, ada yang kalau berisiko tapi kebetulan tuahnya menjadi.

Saya telah bereksperimen dengan hampir semua dengan karya-karya novel saya. Saya bereksperimenโ€”sebagai contohโ€”Crises/Kegawatan, itu dalam bentuk novelet.

Saya dah bereksperimen dengan Bedar Sukma Bisu bagaimana menulis saga. Saya telah menulis novel bersiri, kebetulan mendapat peluang menulis Tunggu Teduh Dulu dan juga novel Bahlut. Itu saya gerakkan daripada bentuk bersiri.

Ada juga novel-novel sejarah. Umum mengetahui Surat-surat Perempuan Johor sebagai contohnya. Cinta Hari-hari Rusuhan, itu juga novel eksperimen saya dengan genre roman.

Dan tentulah 1515 eksperimen yang berisiko untuk saya pada waktu itu, sama ada ia diterima oleh juri dan khalayak ataupun dibuang ke laut.

Jadi, eksperimen ini memang agak sebati dengan saya, saya selalu bereksperimen. Sekali lagi, karya saya ini datang dengan eksperimen iaitu Mahakamus, sebuah novel eksperimental.

Sebuah novel yang juga kamus, kamus yang juga ada plot ataupun sebab akibat sebuah novel.

Bagaimana ia dibaca, saya serahkan kepada pembaca kerana saya telah bereksperimen untuk mengarangnya, pembaca harus bereksperimen untuk membacanya pula.

Saya percaya dapatan kita nanti akan berbeza. Tambahan pula subjek yang saya terokai itu sebenarnya subjek yang sangat sulit untuk didefinisikan.

Apakah cabaran terbesar dalam menghasilkan Mahakamus?

Faisal Tehrani: Bila kamus, cabarannya menukangnya itu menurut huruf atau abjad. Tapi dia juga adalah sebuah novel.

Jadi bagaimana setiap abjad itu bukan sahaja kamus, tapi dalam masa sama abjad itu menjadi sebahagian plot iaitu sebab dan akibat.

Kerana novel ia ada plot atau kausaliti. Jadi bagaimana menukar abjad itu menjadi sebahagian daripada plot. Itulah cabaran paling besar saya dalam mengarang novel Mahakamus ini.

Jadi, untuk itu, saya harus bermula dari huruf A,B,C,D,E. Tapi saya sedar bila saya mengarang itu, saya sedar bahawa sukar dilakukan A,B,C,D,E. Jadi saya mula dengan huruf C, kemudian dia bergerak ke abjad-abjad yang lain sehinggalah ia selesai.

Seterusnya bila saya seelsaikan itu, saya nak kena pastikan bahawa adakah ia disusun berdasarkan seperti mana abjad sedia ada? Jadi saya memerlukan saya satu tema yang kuat yang dapat menyatukan semua abjad ini.

Tema ini dalam novel Mahakamus ini, saudara akan terus ketemunya kerana apabila kita baca daripada abjad-abjad itu, kita jumpa ia membincangkan apa atau siapa, atau topik yang mana yang menjadi pilihan saya untuk dikamuskan.

Apakah yang membezakan Mahakamus daripada novel-novel Dr. yang terdahulu?

Novel kali ini adalah sebuah novel yang ada pelbagai masukan. Ia genre yang bertindanan. Tetapi mungkinlah yang paling sesuai dianggap selain ia adalah sebuah kamus, ia adalah sbeuah novel fiksyen sains dan fantasi (FSF).

Hari ini genre, genre FSF ini sangat menggiurkan di Barat. Saya ingin menghadirkan genre ini setelah kali terakhir 10 tahun dengan novel wacana hak asasi manusia bertajuk Profesor, saya ingin hadirkan novel baru saya judulnya Mahakamus.

Ia adalah sebuah novel yang sesuai dengan zaman ini. Saya membicarakan apa yang berlaku hari ini.

Sebab saya selalu ingat pesanan mentor menulis saya, A. Samad Said yang menyatakan kamu hendaklah menulis sesuatu pada zaman kamu. Merekodkan, mendokumentasikan zaman, menjadi seorang perakam zaman.

Saya fikir cabaran kita, masalah, rintangan yang kita hadapi juga kebolehan kita untuk menanggapi dan juga menguasasi kecerdasan buatan (AI) akan menjadi panduan untuk apa yang berlaku 100 tahun akan datang.

Jadi, suka tak suka kita harus tempuh, sama ada kita menempuh-mendakap atau menempuh dan menempur kecerdasan buaatan ini.

Jadi novel ini tentang juga pergulatan manusia dengan mesin, pergulatan manusia dengan kecerdasan buatan yang mereka cipta sendiri.

Apakah yang Dr. ingin tawarkan kepada pembaca menerusi Mahakamus?

Saya rasa saya pernah menulis novel 1515, novel itu sukar dibaca. Novel Perempuan Politikus Melayu juga ada orang kata susah untuk dibaca sebab dia roller-coaster.

Itu untuk zaman itu, untuk zaman ini, saya harus naikkan setingkat lagi darjah kesukarannya. Saya fikir pembaca akan terlepas atau tertinggal kompleksiti sebuah novel Melayu. Itu yang saya tawarkan.

Kalau 1515 dulu pernah diterkam dan dijinakkan oleh ramai pembaca, mereka cuba membaca dan melenturkan pemahaman mereka menggunakan seluruh daya benak mereka untuk memahami apa yang saya tulis, saya ingin cabar generasi baru untuk membaca Mahakamus, apakah mereka memahami novel SSF melayu ini. Itu yang pertama.

Kedua, saya menulis FSF Mahakamus ini dengan acuan sebuah novel dengan pendekatan luar daripada kerangka sastera Melayu.

Saya gunakan kerangkan atau cara pandang atau bikinan pengarang-pengarang international. Jadi, ramai orang kata novel Melayu itu sahajaโ€”di takuk yang sama, ceritanya masih sama, acuannya masih sama, pendekatannya masih sama, tidak mencabar.

Hujah-hujah ini selalu dilemparkan kepada sastera Melayu. Saya ingin mencabar pembaca-pembaca di luar sana kerana saya membawa kelainan kerana novel ini saya jamin akan pecah otak.

Jadi, saya ingin mengundang pembaca-pembaca untuk menilai karya ini. Membacanya, mengupasnya, membincangkannya, dan saya bersedia seperti mana 1515 saya berdepan dengan risiko untuk menulis dan menerbitkan itu, saya ingin cuba sekali lagi risiko yang sama pada tahun 2026 ini.

* Teks wawancara ini merupakan transkripsi yang disunting (dengan minimal) daripada kandungan video asal yang diterbitkan oleh Kawah Buku. Hak cipta rakaman asal adalah milik Kawah Buku dan penerbitan semula wawancara ini dibuat dengan izin serta kebenaran pihak berkenaan.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *