Dahulunya penimbang bola rotan, kini pengangkat sastera

Padasetiapkaligerimismemanggilnamaku 1

Ada sesuatu yang menarik tentang perjalanan hidup Shamsudin Othman. Sebelum namanya dikenali sebagai penerima SEA Write Award 2019, beliau pernah menghabiskan zaman mudanya di gelanggang sepak takraw.

Siapa sangka, seorang anak muda yang dahulunya menimbang bola rotan akhirnya menjadi antara tokoh yang mengangkat martabat bahasa Melayu melalui penulisan puisi.

Lebih menarik, pengalaman di gelanggang itulah yang banyak membentuk falsafah hidup dan pemikirannya.

Shamsudin pernah berkongsi bahawa ketika menjalani latihan sepak takraw, jurulatihnya sering mengingatkan para pemain supaya makan dalam keadaan bersila.

Pada pandangan sesetengah orang, pesanan itu mungkin sekadar mengajarkan adab ketika makan. Namun bagi jurulatihnya, setiap perlakuan perlu dikaitkan dengan jati diri.

Sebagai sukan tradisi masyarakat Melayu, sepak takraw bukan sekadar membentuk ketangkasan fizikal, malah mendidik pemain memahami adab, budaya dan identiti.

Pesanan tersebut akhirnya meninggalkan bekas yang mendalam kepada Shamsudin dan akhirnya dibawa ke dalam dunia penulisan.

Beliau kemudiannya menjadikan puisi sebagai wadah untuk mengangkat nilai budaya, agama dan kemanusiaan, dengan bahasa sebagai medium memperkukuh jati diri bangsa.

Justeru, membaca karya-karya beliau seolah-olah menyaksikan kesinambungan daripada pelajaran yang diterimanya di gelanggang sepak takraw.

Jika dahulu beliau diajar agar setiap perbuatan berpaksikan jati diri, kini prinsip yang sama dihidupkan melalui setiap baris puisi yang ditulisnya.

Perkara itulah yang dapat dirasakan apabila membaca kumpulan puisi Pada Setiap Kali Gerimis Memanggil Namaku terbitan Nusa Centre pada 2022.

Buku ini menghimpunkan 60 buah puisi dengan pelbagai tema seperti keagamaan, kekeluargaan, kenegaraan dan percintaan.

Walaupun temanya berbeza-beza, kesemuanya kembali kepada satu paksi yang sama, iaitu jati diri manusia.

Kumpulan puisi ini memperlihatkan bagaimana pengalaman hidup dan falsafah yang dibentuk sejak di gelanggang sepak takraw terus berdenyut dalam penulisan Shamsudin.

Shamsudin Othman bukan sekadar menulis puisi kerana mahu menghasilkan karya yang indah. Beliau menulis kerana percaya bahawa puisi mampu menyampaikan sesuatu yang besar melalui ungkapan yang ringkas.

Dirinya pernah menyatakan bahawa beliau menyukai sastera kerana kadangkala sebuah esei yang panjangnya mencecah 100 halaman boleh ditafsirkan menjadi hanya sebuah puisi.

Pandangan tersebut mengingatkan kita kepada analogi yang pernah dikemukakan oleh penerima SEA Write Award 2017, Abizai.

Abizai mengibaratkan penyajak seperti mengambil air dari sebuah kolam untuk diisikan ke dalam sebiji cawan.

Hal ini menggambarkan kolam sebagai lambang keluasan bahasa manakala cawan mencerminkan keterbatasan ruang dalam sesebuah puisi. Oleh itu, setiap perkataan yang dipilih bukan sahaja perlu tepat, malah sarat dengan makna dan indah.

Ia terserlah dalam kumpulan puisi Pada Setiap Kali Gerimis Memanggil Namaku. Dalam kumpulan puisi ini, penulis tidak menggunakan perkataan secara sembarangan.

Setiap diksi dipilih dengan penuh teliti sehingga menghasilkan irama bahasa yang lembut dan mempesonakan.

Lihat sahaja beberapa baris puisinya.

Aku mencari cinta, kutemui dendam.

Hanya lima patah perkataan tetapi pembaca dapat merasakan kekecewaan, kehilangan dan ironi kehidupan.

Begitu juga dengan ungkapan,

Aku hanya setitis embun yang ingin lena di hujung tanah.

Baris ini menghadirkan rasa rendah diri, kepasrahan dan kerinduan manusia terhadap ketenangan hidup. Selain itu,

Jejak diri kulukis di pantai.

Ungkapan ini pula mengingatkan pembaca bahawa kehidupan manusia tidak ubah seperti jejak di pasir yang hadir seketika sebelum dipadamkan ombak waktu.

Inilah kekuatan sebenar Shamsudin Othman. Beliau tidak memerlukan ayat yang panjang untuk membuatkan pembaca berfikir. Beberapa baris sahaja sudah cukup menghidupkan pelbagai tafsiran.

Bahasa yang digunakan juga sangat indah. Puisi-puisinya romantik tetapi romantiknya tidak melampaui batas.

Ada kelembutan dalam ungkapannya, namun pada masa yang sama tetap disulami unsur keagamaan dan nilai kemanusiaan.

Cinta dalam puisinya bukan sekadar hubungan antara manusia (hablum minannas) tetapi juga cinta kepada Tuhan (hablum minallah), keluarga, tanah air dan kehidupan.

Tidak hairanlah mantan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tan Sri Johan Jaaffar pernah menyifatkan Shamsudin Othman sebagai penulis yang mendukung falsafah romantis Melayu-Islam.

Romantisme dalam puisinya bukan romantisme yang kosong, sebaliknya sentiasa berpaksikan nilai dan akhlak.

Malahan, kekuatan Pada Setiap Kali Gerimis Memanggil Namaku bukan hanya terletak pada keindahan bahasanya. Buku ini turut menawarkan pengalaman emosi yang sukar dilupakan.

Setiap puisi ditulis dengan penuh keikhlasan sehingga pembaca boleh merasakan denyut hati penulis dalam setiap baris yang dibaca.

Ada puisi yang membuatkan pembaca tersenyum, ada yang mengundang rasa syukur dan ada juga yang perlahan-lahan meruntun jiwa.

Antara puisi yang paling memberi kesan ialah “Panduan Membaca Makna Merdeka” yang mengajak pembaca melihat makna kemerdekaan dari sudut yang lebih mendalam daripada sekadar sejarah.

“Syarah Diri 1” pula mengangkat persoalan mengenali diri sendiri, manakala “Terima Kasih Ayah Kerana Menamakan Aku Shamsudin” menjadi sebuah penghormatan yang sangat menyentuh kepada seorang ayah.

Puisi “Kepada Teman-Teman” pula berbicara tentang percintaan, persahabatan, kehilangan dan kesepian sewaktu zaman muda.

Apa yang paling menarik ialah semua puisi ini tidak pernah memaksa pembaca untuk berasa sedih atau terharu. Sebaliknya, Shamsudin Othman membiarkan bahasa menjalankan tugasnya.

Perasaan itu hadir secara perlahan-lahan sehingga pembaca sendiri menemui makna yang paling dekat dengan pengalaman hidup masing-masing.

Membaca Pada Setiap Kali Gerimis Memanggil Namaku akhirnya membuatkan kita memahami bahawa puisi bukan sekadar permainan bahasa.

Sebaliknya, puisi ialah ruang untuk manusia mengenali diri, menghargai asal-usul dan memelihara nilai yang semakin terhakis.

Sejak usia mudanya, Shamsudin sentiasa menjadikan identiti Melayu dan Islam sebagai nadi kepada penulisannya. Hal ini selari dengan pendiriannya yang pernah diungkapkan sewaktu forum Puisi Dunia Niah 2026 bahawa:

Tulisan sastera sepatutnya ditulis untuk memberikan kebaikan kepada kehidupan.”

Prinsip ini didapati benar-benar hidup dalam setiap halaman buku kumpulan puisi Pada Setiap Kali Gerimis Memanggil Namaku.

Buku ini juga telah membuktikan bahawa puisi yang lahir daripada jati diri akan sentiasa menemukan jalannya ke hati pembaca.

Malah, buku ini mengingatkan kita bahawa jati diri tidak pernah lapuk selagi masih ada bahasa yang terus menghidupkannya.

Tuntasnya, Shamsudin Othman sememangnya seorang penulis sastera yang berkualiti dan layak disanjungi.

Siapa sangka, anak muda yang pernah menimbang bola rotan di gelanggang sepak takraw, kini menimbang setiap patah kata dengan penuh cermat sebelum dihadiahkan kepada pembaca.

Kumpulan puisi Pada Setiap Kali Gerimis Memanggil Namaku boleh dibeli di Shopee Nusa Centre.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *