Buku haram kembali halal, kerajaan batalkan larangan buku Fixi, Gerak Budaya, IBDE, IRF

Pembatalankdn

Foto kredit: Media GerakBudaya

KUALA LUMPUR — Kerajaan secara rasmi telah membatalkan perintah larangan terhadap lima buah buku yang sebelum ini diharamkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, sekali gus membolehkan karya-karya berkenaan kembali dicetak, diterbitkan, dijual dan dimiliki secara sah.

Pembatalan itu disahkan menerusi beberapa Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan semalam dan hari ini.

Selain membabitkan empat buku yang menjadi perhatian sejak April lalu, kerajaan turut menarik balik larangan terhadap buku terbitan Islamic Renaissance Front (IRF) yang diharamkan sejak tahun 2017.

Menerusi P.U. (A) 261, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail, membatalkan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 31) 2017 [P.U. (A) 282/2017] yang mengharamkan dua judul karya Mustafa Akyol, iaitu Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan dan edisi asal bahasa Inggerisnya Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty.

Larangan terhadap kedua-dua buku tersebut telah berkuat kuasa sejak 28 September 2017, menjadikan pembatalan kali ini menamatkan tempoh larangan hampir sembilan tahun.

Dalam perkembangan sama, kerajaan turut membatalkan larangan terhadap empat lagi buku yang sebelum ini mencetuskan perdebatan dalam industri perbukuan.

Menerusi P.U. (A) 262, kerajaan membatalkan perintah larangan terhadap Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah terbitan Gerakbudaya.

P.U. (A) 263 pula membatalkan larangan ke atas novel Sigandi karya M. Navin yang diterbitkan oleh Fixi.

Bagi Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10, pembatalan dibuat melalui P.U. (A) 265, manakala P.U. (A) 266 membatalkan larangan terhadap buku Mao Zedong: China dalam Dunia Abad ke-20 terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Kesemua perintah pembatalan itu dibuat pada 30 April dan 1 Julai 2026 menggunakan kuasa Menteri Dalam Negeri di bawah subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Walaupun larangan telah dibatalkan secara rasmi menerusi Warta Kerajaan Persekutuan, semakan semasa berita ini diterbitkan mendapati beberapa judul berkenaan masih tersenarai dalam Senarai Perintah Larangan di laman sesawang rasmi Kementerian Dalam Negeri setakat hari ini.

Siri pengharaman buku yang bermula pada April lalu sebelum ini mencetuskan bantahan daripada pelbagai pihak termasuk PEN Malaysia, ahli politik, penerbit dan penulis yang mempersoalkan ketelusan proses pengharaman serta kesannya terhadap kebebasan intelektual.

Kontroversi itu turut membawa kepada sesi libat urus antara Malaysian Book Publishers Association (MABOPA) dan KDN, yang menyaksikan kementerian memberi komitmen untuk menyemak semula buku-buku yang diharamkan, menghentikan operasi rampasan, serta mempertimbangkan penambahbaikan mekanisme rayuan dan prosedur penilaian penerbitan.

Dengan pewartaan pembatalan ini, semua judul yang terlibat tidak lagi tertakluk kepada perintah larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *