Terbeli dan terlupa: Renungan terhadap pembelian di PBAKL

Pbaklfb

Pada tahun 1417, Gian Francesco Poggio Bracciolini meredah badai musim dingin ke Jerman demi memburu manuskrip De rerum natura yang terbiar berhabuk di sebuah biara.

Selama bertahun-tahun, Bracciolini berkhidmat dengan gereja sebagai penyalin manuskrip, setiausaha dan kerja-kerja lain yang berkaitan.

Pernah berkhidmat dengan Pope dan mengunjungi banyak gereja dan biara, kehidupan peribadinya juga penuh warna-warni.

Beliau  mempunyai 14 orang anak dengan perempuan simpanannya, dan sewaktu di penghujung usia dia menikahi seorang gadis muda yang menghasilkan enam orang zuriatnya.

Di ambang era Pencerahan Eropah, beliau mengembara ke segenap ceruk, memburu kitab tulisan purba dan berjaya menyelamatkan beberapa karya agung daripada lupus ditelan zaman. Kejayaannya menemui beberapa karya filsuf Yunani telah merintis jalan kepada Pencerahan Eropah.

Saya menemui maklumat ini ketika membuat rujukan silang untuk buku yang saya sedang terjemah, beberapa minggu sebelum berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa KL 2026.

Pada hari pertama PBAKL, ketika membelek sebuah buku, sekali lagi saya menemui namanya. Saya habiskan bacaan satu perenggan tentang sumbangan beliau, tetapi tidak membeli buku tersebut.

Tentu sekali, tujuan saya ke pesta buku tidak sama dengan matlamat Bracciolini. Sebaliknya pada tahun ini saya sudah bertekad tidak mahu membeli walau sebutir buku pun, akan tetapi semuanya berubah apabila Roslan Jomel berkongsi buku antologi puisi bersama terbaharunya terbitan DBP yang berjudul Bahasa VII.

Buku ini menghimpunkan 70 buah sajak karya tujuh orang penerima S.E.A. Write Award iaitu Lim Swee Tin, Zaen Kasturi, S.M. Zakir, Jasni Matlani, Abizai, Shamsudin Othman dan Roslan Jomel.

Saya bukan beli sebab sajak-sajak di dalamnya menarik hati atau karya pemenang anugerah, sebaliknya kerana foto-foto penulisnya yang diletakkan pada kulit belakang, disyaki dijana menggunakan AI.

Lebih tepat lagi, kerana foto Roslan Jomel yang mengenakan kot, kedudukan kepala sedikit miring, bertali leher dan tersenyum pula—sesuatu yang menurut pemilik tubuh badan, tak akan dilakukan jika ia berfoto.

Sejurus menemuinya di rak, saya katakan kepada Roslan Jomel, “Ini gambar untuk poster PRU Parlimen Petrajaya.”

Saya tersengih apabila membaca salah satu sajak dalam buku tersebut, bertajuk “bahasa x” karya Zaen Kasturi, yang seperti gambaran akan situasi ini: ia tak memilih siapa yang datang/semua dipantulkan/bahkan wajah yang menyangkal/diri sendiri.

Sebelum membeli buku sajak tadi, sehari sebelum itu saya terserempak dengan seorang penulis yang berasal dari Temerloh. Kita namakannya NI.

Beliau yang baru tiba di Kuala Lumpur, sambil tangan kirinya memegang buku pertama yang dibeli dan menyandar lengan kanan pada dinding, penuh semangat bersyarah tentang sejarah negeri Pahang.

Manusia memang ada memori tersendiri dan percaya kepada sejarah versinya, sejarah yang dia ingin percaya. Kisah yang keluar dari mulut NI ini tidak bikin saya tercengang sebaliknya cuma berkerut dahi.

Di tangannya, sebuah buku bertajuk Peranan Ulama dalam Peristiwa Pemberontakan Pahang terbitan Penerbit UKM, ikut bergerak dalam irama tangannya yang menggawang-gawang.

“Sultan yang sebenar patutnya muncul pada tahun ni. Kalau nak ikutkan, dulu, sebelum keturunan sultan sekarang naik takhta, dia ada buat perjanjian dengan keturunan sultan sebenar. Perjanjian ni akan tamat dalam seratus tahun,” jelasnya.

Saya pun berkata—sambil tidak sabar hendak berkongsi “sejarah” versi saya yang kadang-kadang dikongsi kepada umum—“jadi, akan ada sultan baharu tahun ni?”

NI tersenyum sumbing, jawabnya, “Itu kalau dia nak ikut perjanjian itulah. Susah, tak mungkin berlaku.”

Jadi saya pun bertanya, tentang buku di tangannya, adakah kisah tadi turut dibahaskan? Katanya tidak, dia cuma tertarik dengan sebarang buku berkaitan negerinya, terutamanya perjuangan golongan kiri, golongan melawan.

Tidak perlu saya ceritakan di sini sejarah versi saya yang telah dikongsikan dengan NI kerana ia tidak menarik dan sebetulnya lebih menyerupai mitos yang seronok dikongsikan secara langsung, dalam suasana bersadur jenaka dan borak santai di kedai kopi atau mamak sahaja.

Maka dua hari berikutnya, entah mengapa saya tergerak hati mendapatkan buku Peranan Ulama dalam Peristiwa Pemberontakan Pahang itu.

Setelah membaca beberapa bab, saya dapati sedikit sahaja bab yang menyentuh peranan ulama. Dan kajian ini tidak begitu mendalam serta kurang maklumat baharu.

Kebanyakannya sudah saya ketahui, seperti peranan Tokku Paloh.

Lebih daripada separuh isi buku bercerita tentang era sebelum British masuk campur dalam pentadbiran negeri, keadaan sosio-ekonomi, peperangan Wan Mutahir vs Wan Ahmad, era campur tangan British dan beberapa peristiwa yang boleh memberikan gambaran kepada kita betapa menyedihkan keadaan rakyat pada zaman tersebut.

Keinginan untuk mengetahui tentang peranan ulama dalam buku ini tidak terpenuhi.

Setelah membeli dua buah buku, saya katakan pada diri: cukuplah.

Namun pada sebelah malam hari Selasa, saya terbaca status WhatsApp orang kuat Akademi Jawi Malaysia yang juga seorang penulis dan penyunting.

Dari halaman buku yang dikongsikan, saya boleh agak ia pasti tulisan Affandi Hassan. Saya tidak ingat bila kali terakhir saya beli bukunya, tetapi kali itu sekali lagi hati saya tergerak untuk membeli Kemelut Sastera Melayu Moden terbitan Wadi al-Irfan.

Tidak boleh dinafikan, Affandi seorang eseis yang bagus. Karangannya cukup rencah; bahasa yang jitu, retorik yang menghiburkan, olahan dan rujukan penulisan yang kuat dan naratif tulisannya lancar.

Ada petikan ilmu, ada sinisme dan yang paling utama—perbahasan idea. Bagi mereka yang suka dengan polemik atau mahu belajar menulis esei, karya-karya Affandi memang wajar ditelaah.

Akan tetapi, bagi sesiapa yang biasa membaca polemik, terutamanya yang diutarakan oleh sasterawan asal Kelantan ini melalui Gagasan Persuratan Barunya, tiada apa-apa yang baharu ditawarkan oleh buku ini, atau karya-karya mutakhirnya yang lain.

Apa yang ditulis dalam blognya, tidak jauh beza dengan apa yang ada dalam buku ini. Kita tahu sasaran kritikannya siapa, karya apa yang menjadi hentamannya.

Bahkan semua individu yang menjadi sasaran kritikannya ada yang sudah meninggal, sudah terlalu tua, yang kebanyakannya seangkatan dengan beliau suatu masa dulu.

Saya juga tercari-cari jika dia ada menyinggung kritikan yang pernah disuakan oleh penulis muda Ahmad Muziru Idham suatu masa dulu, namun tidak ketemu.

Sindiran tajam, keras dan penggunaan diksi seperti pandir, jahil dan sebagainya, meski dengan alasan ia berada di pihak yang benar, adalah ironi terbesar disebalik ketekalannya mengangkat isu yang sama tanpa jemu sehingga pada satu tahap tulisannya terasa diselimuti kebencian.

Apa pun, Affandi memang unik dan dengan penerbitan beberapa karya-karyanya melalui Wadi al-Irfan, dia semakin meraih perhatian.

Tahun ini adalah tahun membaca buku selain buku sajak. Tahun ini juga saya sedapat boleh mengurangi pembelian buku.

Ingin berjimat, masih banyak buku yang belum dibaca dan perpindahan ke seberang laut, membuatkan saya lebih berhati-hati untuk mengeluarkan wang. Pengecualian untuk buku Bahasa VII tadi, itu dibeli atas sebab lain.

Sewaktu berpelesiran dari reruai ke reruai, saya ternampak Zaen Kasturi. Saya tahu buku sajak terbaharunya baru terbit. Saya fikir, saya mesti dapatkan tandatangannya kerana jarang sekali berkesempatan bertemu beliau, dan langsung memutuskan untuk segera membeli 77 Dini: Siri ingatan kepada Kawan terbitan Nusa Centre.

Memang hati dan tekad manusia itu mudah saja dibolak-balikkan. Sampai hari ini saya belum membelek buku tersebut. Barangkali bahasa sajaknya sama sahaja seperti buku beliau sebelum ini, Fajar Lingkung Lembayung, yang turut saya nikmati sajaknya.

Usai mendapatkan titipan Zaen pada halaman depan bukunya, saya melangkah lagi seolah-olah sang flaneur yang memerhati dan mengalami sekeliling—anak remaja berjalan tergesa-gesa, penulis yang menjual wajah jambu, pekik dan jerit via mikrofon, seseorang di ceruk sudut sedang mengorek taik hidung, gegantung yang terlucut dari dinding, budak menangis dan pembaca kelenguhan sedang beratur untuk mendapatkan autograf.

Namun sebagaimana kebanyakan orang, perhatian saya juga mudah terganggu oleh layar henfon. Ketika menatal Facebook terlintas iklan buku terjemahan terbaharu oleh Bora Chung. Terdetik dalam hati, ‘wah, ini mesti beli.’

Pada tahun 2022 saya telah diundang sebagai panel dalam salah satu acara Georgetown Literary Festival (GTLF).

Kalau ditanya apakah yang paling seronok dengan GTLF edisi tersebut, saya akan jawab: tiket penerbangan ke Pulau Pinang ditanggung, bayaran honorarium bermaruah dan diberi sebuah bilik yang luas di hotel lima bintang serta sarapan percuma. Nikmat pengalaman itu masih saya kenang ke hari ini.

Bora Chung turut hadir sebagai panel jemputan dan pada suatu pagi, kebetulan kami sarapan bersebelahan. Saya tidak ingat dia makan apa pada pagi tersebut sama ada nasi lemak atau nasi goreng tapi yang pasti dia memuji santapannya.

Kami berbual sedikit dan dia kata, dia belum mandi lagi. Dia berkongsi anekdot lucu dan kritikan terhadap patriarki di Korea Selatan, membuatkan saya senang dengan pengarang yang menetap di Pohang itu.

Bukunya, Cursed Bunny, turut dijual dan saya sempat membaca sebuah cerpennya. Apabila Bookiut menerbitkan terjemahan buku itu, saya agak terkejut.

Selama ini saya fikir Bookiut hanya terbitkan buku remaja dan kanak-kanak, yang bertajuk sweet serta kulit buku comel.

Tanpa fikir panjang, saya beli Cursed Bunny: Arnab Sumpahan yang tampil dengan kulit buku warna cerlang, bersayap serta poskad.

Walaupun terdapat pengurangan dua cerpen dari buku asal dan agak terganggu tanpa tajuk turutan, namun pujian harus diberikan atas terjemahan yang baik dan penampilan buku yang mampu menarik perhatian pembaca dari segenap lapisan usia atau minat.

Bora Chung ternyata pengarang yang bagus dan cerpen-cerpennya gurih sekali. Kumpulan cerpen ini sudah masuk senarai buku terbaik yang dibaca pada tahun ini.

Saya turut membeli terjemahan novelis sensasi Jepun, Keigo Higashino yang berjudul Pengorbanan Suspek terbitan Penerbit X.

Kedua-dua penerbit merupakan imprint di bawah PTS yang diketahui penerbit besar dalam industri buku tempatan.

Kemudian saya ternampak majalah Sonik edisi terkini di reruai hadapan. Saiz yang lebih kecil dan tipis, yang menarik untuk dibeli hanya kerana senarai penulisnya.

Barangkali rungutan yang paling enak dibaca adalah tulisan Lisa Fuad, ia terasa jujur dan dekat kepada ramai orang.

Pada akhirnya, saya telah membeli enam buah buku dan sebuah majalah.

Semua yang dibeli akan tersimpan di rak atau di dalam kotak. Kembali dibelek atau dilupakan, atau dijual semula.

Kita akan menyelak halaman sambil mengenang pengalaman lalu yang hadir sama ketika kita membelinya. Dalam salah satu tulisan Walter Benjamin yang masyhur tentang buku, beliau menyebut bahawa tabiat membeli dan mengumpul buku tidak didorong oleh faktor kegunaan semata-mata.

Ia merupakan satu proses “kebetulan yang indah,” yakni sebuah buku dipilih bukan kerana fungsinya hari ini, tetapi kerana jiwa dan kenangan yang bakal dihidupkannya pada masa hadapan.

Saya mungkin tidak mengembara ke segenap pelosok seperti Gian Francesco Poggio Bracciolini yang memburu manuskrip berharga demi menyelamatkan tamadun, tetapi seperti tindakannya, keinginan dan naluri aneh untuk terus memiliki buku, aksara dan karya: ini yang tekal wujud dalam setiap jiwa pembaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *