Tapi kalau melihat sastera lebih jauh kita dapati dalam sastera juga terdapat elemen-lemen seni muzik, seni lukis dan seni drama. Elemen-elemen dalam seni sastera ini memang kurang ketara kalau dibandingkan dengan drama kerana dalam sastera medianya cuma satu iaitu bahasa. Kita hanya boleh melukis dengan kata-kata, bukan dengan bunyi dan nada-nadanya.
Shahnon Ahmad, Gubahan Novel, m/s. 138.
Gubahan Novel mengandungi dua bahagian satu adalah panduan menggubah novel manakala bahagian kedua pula adalah himpunan esei yang mana merupakan retrospektif terhadap novel-novelnya manakala dua lagi esei berbalik kepada panduan menulis.
Pun begitu, Gubahan Novel untuk melangkaui genre dan pelantarnya sendiri. Namun, ini tak bermaksud Shahnon melupakan kekhususuan pelantar (medium specification) novel, Shahnon memang menulis buku ini sebagai manual dan panduan untuk mengarang novel.
Tinggal lagi apabila buku ini dibaca semula, saya sudah mula menapak dalam kegahirahan dalam ranah-ranah yang lain seperti sinema dan fotografi lalu mendapati Gubahan Novel jauh lebih merentas ranah yang ditulis.
Jika perenggan yang diletakkan di awal esei yang dipetik daripada Gubahan Novel menghujahkan bahawa dalam susastera ada elemen-elemen seni lain, misalnya seni tampak, seni muzik dan seni drama, esei ini pula ingin melihat bagaimana Gubahan Novel sebenarnya meninggalkan pesan-pesan yang melangkaui medium susastera.
Anggap saja esei ini adalah upaya saya melawat semula apa-apa yang pernah saya highlight, tanda dan catat dalam Gubahan Novel yang sebenarnya telah lama saya tinggalkan. Maka saya ambil beberapa iktibar yang ditinggalkan Shahnon untuk kita tekuni.
Kekhususan medium
Antara pesan-pesan yang tekal dalam Gubahan Novel adalah ketekalannya dalam mengingatkan soal kekhususan pelantar (medium of specification). Misalnya:
Kalau persoalan lebih penting beertilah novel adalah pengantara sosial, salah satu media untuk memahami sesuatu, satu alat untuk pemeriksaan diri, satu longgokan kritikan terhadap aspek-aspek nilai dan sebagainya . Kerana novel itu hanya media untuk mengajar, menegur dan mengkritik saja. Kalaulah begitu tujuan novel, ternyata lebih baik tidak perlu bersusah payah mengolah novel kerana lebih mudah mengarang sebuah esei dan berterus terang saja menerangkan pendapat-pendapat kita.
m/s 6.
Sebenarnya pesanan ini bukan sahaja terpakai untuk novel. Filem yang baik, misalnya, perlu juga menitik beratkan elemen kekhususan pelantar ini.
Dalam erti kata lain, meskipun sesuatu filem itu ingin menyampaikan gagasan atau wacana, malah untuk menjadi didaktik, ia juga perlu mengambil kira apa yang kita sebutkan sebagai elemen “sinematik”.
Adapun kita patut menekankan bahawa memiliki pernyataan atau statement dalam sesuatu karya itu masih penting, tetapi tidak boleh membiarkan wacana itu menutupi estetika naskahnya, sehingga kita juga pernah melihat seniman-seniman ini perlu untuk menerangkan dan memberi makna kepada karyanya sendiri.
Sebenarnya hal ini juga disentuh oleh Shahnon dalam satu eseinya yang lain dalam buku Sastera: Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya.
Shahnon menghujahkan, “Kesusasteraan memang bersifat pendidikan tetapi apabila aspek pendidikannya disampaikan secara salah maka pendidikan menjadi pembunuh kesenian. Dia mematikan keindahan dan keseniannya.”
Seni pengadeganan dan montaj
…cinta begitu indah dan keindahan itu perlu ditokokkan lagi dengan keindahan alam.
m/s 46.
Dalam Gubahan Novel, terdapat satu bab yang dijudulkan sebagai “Latar”—Shahnon menerangkan perihal pentingnya pembinaan latar.
Setelah dibaca secara terangkum, saya berpendapat yang Shahnon ingin tekankan adalah “seni pengadeganan”, membina adegan yang hidup melalui sekitarannya seperti seorang pengarah teater atau filem yang menghidupkan suasana sesuatu babak dengan prop-prop dan latar-latar belakangnya.
Shahnon sendiri menekankan betapa novel yang tidak menekankan latar tidak ubah seperti kisah yang berlaku dalam kepakuman (kekosongan).
Karya-karya sedemikian akan terasa, “…seleranya tidak ada. Yang bergerak terasa bukan seperti manusia biasa tapi objek-objek mati dan kaku’ (m/s 44).
Sebab itu beliau juga menekankan penghidupan terhadap objek-objek sekeliling dengan mengulas,
Pentingnya latar ini bukan sekadar menyebut tempat saja tapi perlu dieksploit seluas mungkin supaya kesan-kesan latar itu kepada persoalan atau perwatakan terasa; tidak kira sama ada kesan-kesan itu bertentangan atau akuran dengan perwatakan atau persoalan. Kesan-kesan itu diperolehi antara lain dengan cara memanusiakan objek-objek di sekitar tempat itu supaya aspek-aspek indera mengesaninya dan ini akan memberi impak kepada cerita.
m/s 44.
Shahnon juga menjelaskan, menjadikan hubungan manusia dengan peristiwa alam semula jadi selaku latar dalam novel boleh memberikan kesan yang mendalam. Kita boleh melakukan jukstaposisi atau sandingan antara psikologi karakter dengan kejadian alam baik sebagai persamaan atau kontras.
Terlalu banyak kejadian-kejadian alam disekeliling kita setiap detik yang boleh dijadikan alat menokokkan lagi suasana dan kesan dalam karya sastera.
m/s 48.
Dalam novel-novel Shahnon pun misalnya, Tivi, ada pendekatan visualistik (malah sinematik?) dalam tulisan Shahnon (sama ada sengaja atau tidak sengaja) yang menyebabkan analisis terhadap novelnya boleh dinilai sebagaimana pembaca menilai filem.
Barangkali disebabkan Shahnon mempaparkan kita visual berbanding kata-kata, menegaskan kepentingan latar, dan dengan visual itu beliau membuka ruang kepada pembaca untuk mengisinya.
Berkaitan dengan montaj yang juga menjadi tajuk kepada subsekyen ini, Shahnon ada menyebut,
Kematian ibu seorang nelayan, umpamanya, diakurkan dengan penceritaan secara perinci tentang air di bawah rumah surut akan memberi kesan yang hebat. Ataupun kematian itu diselang-selikan dengan penceritaan tentang air cepat pasang. Yang satu akan memberikan kesan keakuran dan yang satu lagi memberikan ‘kesan kontras. Kematian ibu akan lebih terasa lagi.
m/s 47.
Beliau juga turut memberikan contoh jukstaposisi ini, misalnya, …kesan hakisan di tebing dengan hakisan usia manusia, kematian dengan keluputan bunyi kicauan burung … tindakan keras manusia dengan pupusan angin yang lunak perlahan-lahan menjatuhkan daun-daun kering bumi’ (m/s. 48) dan sebagainya.
Sebenarnya, jukstaposisi-jukstaposisi ini bila difikirkan semula amat mendekati pendekatan sinema menerusi apa yang dipanggil sebagai montaj yang bersusur galur dari Soviet montage, air tangan Sergei Eisenstein.
Montage yang diperkenalkan oleh Eisenstein ini dicirikan dengan gandingan dua syot kontra dalam suntingan yang menghasilkan satu makna baharu.
Formulanya adalah tesis + anti-tesis = sintesis (a + b = c). Dalam Sastera: Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya yang mana Shahnon menulis,
…berlainan dari teknik penceritaan dalam karya budaya tinggi yang kerap mengutamakan teknik montage iaitu satu istilah perfileman yang menyarankan teknik kisah yang memilih sesuatu yang berfungsi, menyambung-menyambungnya untuk menjadi satu teknik yang utuh.
m/s 46.
Menurut Shahnon, dengan menggunakan teknik montaj ini, cerita akan terlihat seperti terputus-putus, tetapi ini sebenarnya supaya pembaca juga ikut merasakan ketegangan, dilema, dan konflik yang diserap dalam perwatakan.
Penggunaan montaj ini lebih nyata dan jelas dalam sinema Malaysia era studio dan era pascastudio, misalnya dalam filem-filem Hussein Haniff (Dang Anom dan Hang Jebat) dan Rahim Razali (Matinya Seorang Patriot dan Tsu Feh Sofiah).
Mungkin sudah tiba masanya sinema Malaysia kembali mengaplikasikan hal ini, montaj ini, kerana ia juga mendekati kearifan lokal kita, yang mana dalam beberapa filem era studio dan pascastudio ia sering digunakan sebagai pemaparan firasat.
Sebagai penutup, sastera sepertimana fotografi juga memiliki limitasi dari segi medium untuk mengekspresikannya kerana yang ada hanya kata-kata tetapi bak kata Shahnon Ahmad juga, “Ini sebenarnya bukan soal bahasa tapi soal bagaimana pengarang boleh mengeksploitasi bahasa itu mengikut sensitivitinya’. (m/s 138).
Ternyata, dalam Gubahan Novel, Shahnon menyarankan bahawa seni-seni lain seperti seni lukis, seni muzik dan lain-lain sebenarnya boleh diaplikasi dalam penulisan novel.
Disebabkan kelangkauan, Gubahan Novel ini, saya percaya buku yang patut dibaca oleh penggiat sinema yang bukan sahaja untuk belajar tentang cerita, tetapi bagaimana cerita patut disampaikan, sesuai dengan bentuknya.













