KUALA LUMPUR — Usaha memperkukuh keupayaan usahawan seni dan kreatif di rantau ASEAN diperkasakan menerusi penganjuran ASEAN Artpreneur Retreat 2026 (AAR 2026) yang berlangsung selama 15 hari di Kuala Lumpur.
Dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Balai Seni Negara, program yang berlangsung dari 5 hingga 19 Oktober itu menghimpunkan penggiat seni dan usahawan kreatif baharu serta berpengalaman dari negara ASEAN.
Mengangkat tema “Innovate and Elevate”, AAR 2026 memberi tumpuan kepada usaha mengubah idea kreatif kepada produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai pasaran, selain membina model perniagaan yang mampu bertahan dalam jangka panjang.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, program tersebut turut membuka ruang kepada peserta untuk memperluas jaringan, bertukar pengetahuan dan meneroka peluang baharu dalam ekonomi kreatif serantau.
Program itu merangkumi sesi dialog kreatif, bimbingan mentor dan latihan keusahawanan dengan penekanan terhadap pembangunan produk, kesediaan pasaran, pengkomersialan serta pembentukan model perniagaan mampan.
Penglibatan alumni program Young Art Entrepreneur (YAE!) Balai Seni Negara turut memberikan dimensi penting kepada AAR 2026 apabila mereka berkongsi pengalaman berkaitan penerokaan pasaran, pembinaan jenama dan peningkatan kapasiti pengeluaran dengan peserta dari Malaysia dan negara ASEAN lain.
Dalam masa yang sama, bersempena Kempen Visit Malaysia 2026–2027, peserta akan membangunkan produk atau perkhidmatan baharu berasaskan aset budaya tempatan dan tema kempen berkenaan.
Pendekatan itu bukan sahaja memberi ruang kepada peserta mengembangkan idea kreatif, malah berpotensi menghasilkan pengalaman baharu kepada pelancong serta mewujudkan peluang ekonomi kepada komuniti kreatif tempatan.
Program akan diakhiri dengan pameran produk komersial bagi memperlihatkan hasil pembangunan peserta sepanjang tempoh retreat, sekali gus menilai potensi idea seni untuk diterjemahkan kepada produk yang mempunyai nilai ekonomi.
Pelaksanaan AAR 2026 turut mencerminkan usaha MOTAC memperkukuh kedudukan seni dan budaya sebagai pemangkin pembangunan ekonomi kreatif yang inklusif dan mampan, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.
Majlis pelancaran AAR 2026 di HEMISFERA Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur itu turut dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot; Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Dr. Jalaini Abu Hassan; Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad serta duta dan wakil kedutaan negara ASEAN di Malaysia.













