KUALA LUMPUR — Pelakon dan pengarah filem, Megat Sharizal kurang senang apabila sesebuah karya dilabel sebagai “filem art berat” hanya kerana jalan ceritanya memerlukan penonton berfikir dan meneliti dengan lebih mendalam.
Menurut Megat, istilah berkenaan sepatutnya dihentikan kerana pada asasnya semua filem merupakan karya seni.
“Ada perkataan di situ yang saya macam sakit telinga sikit dengar, bila orang sebut “art berat”.
“Benda itu yang saya rasa kita perlu mansuhkan, art berat ini. Apa maksud art berat? Tak ada istilah itu!” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam sesi audio siar (podcast) Kata Bual sempena program Festival Gema Siswa ASWARA di Pusat Penyiaran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), semalam.
Megat berkata, istilah tersebut juga tidak seharusnya menjadi alasan untuk membezakan filem berdasarkan tahap kesukarannya untuk difahami penonton.
“Semua filem adalah seni. Sebab apabila kita pergi festival, dia tak label filem itu art. Cuma ada sesetengah festival yang memberikan keutamaan kepada jenis-jenis filem tertentu.
“Ada juga filem yang dipanggil art versus commercial. Tapi bagi saya, semua filem adalah art,” katanya.
Dalam pada itu, Megat menyamakan filem dengan makanan sebagai gambaran terhadap kecenderungan penonton dan cara sesebuah karya diterima.
“Saya selalu samakan filem ini dengan makanan. Filem ini macam makanan minda,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan penonton ketika ini lebih cenderung kepada karya yang mudah difahami dan dihadam, sebagaimana makanan segera.
“Sekarang di Malaysia ini, saya nampak kita lebih suka ‘filem mi segera’. Filem mi segera ini mudah dihadam.
“Kita boleh tanya, ada tak yang tak suka mi segera? Semua makan mi segera, tapi tak semua orang makan salad,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berpandangan kecenderungan terhadap karya yang mudah dihadam tidak bermakna karya yang lebih mencabar pemikiran tidak boleh diperkenalkan kepada khalayak.
Katanya, “makanan sihat” perlu diperkenalkan secara perlahan-lahan, begitu juga dengan filem yang mengajak penonton berfikir dan menilai sesuatu daripada sudut yang berbeza.
“Filem yang bila orang tonton tak perlu nak fikir banyak sangat, orang mudah hadam. Tapi kalau tak suap sikit saja, kita kata filem ini beratlah, tak fahamlah, apalah.
“Tak bermakna kita tak boleh memperkenalkan makanan-makanan sihat. Makanan sihat ini kena perlahan-lahan diperkenalkan. Jadi sama macam filem,” katanya.












