Apabila menyebut tentang kelompok angkatan baharu penulis Malaysia, akan muncul banyak nama dengan senarai karya yang agak panjang. Nama-nama itu bukanlah menjadi perkara utama perbincangan ini.
Yang menjadi pokok persoalan kita ialah perihal definisi angkatan baharu itu sendiri yang terdiri daripada penulis muda dan penulis baharu serta apa yang menjadi ukuran pencapaian mereka dalam sastera Malaysia.
Penulis baharu, ada juga disebut sebagai angkatan baharu atau generasi 2000-an, malah pernah juga dinamakan sebagai penulis pelapis.
Selalunya ramai juga yang akan sinis dan menyindir apabila saya berbicara tentang penulis muda dan penulis generasi baharu. Barangkali juga, ramai yang tersalah pandang—hanya melihat kepada saya sebagai tukang tulis artikel ini. Dari sudut saya sahaja.
Walhal banyak lagi sisi lain yang perlu diperhatikan kerana saya menulis untuk generasi baharu, mewakili penulis muda—tidak semestinya saya ini muda dan bukanlah hendak kata saya yang menulisnya ialah seorang penulis muda.
Saya cuma membicarakan tentang penulis muda—melihat situasi pengarang baharu daripada kaca mata seorang penulis yang pernah muda dan sedang beransur tua.
Kita melihat hakikat sastera Malaysia terhadap angkatan baharu yang akan mencorakkan masa depan sastera kita nanti.
Tiga puluh tahun lagi, yang akan menguasai dan meladeni ladang sastera kita penulis baharu inilah—yang kita anggap “baharu dan pelapis” sekarang, namun sudah sedemikian mekar dan ranum ketika itu.
Malah telah menjadi ‘seseorang’ dan barangkali sudah menerima SEA Write Award dan telah memenangi pelbagai hadiah dan anugerah berprestij lain.
Pertama, kita lihat definisi penulis baharu itu terlebih dahulu. Seorang penulis dikira menjadi penulis ialah dengan terbitnya karya di media penerbitan seperti majalah, surat khabar atau buletin.
Tidak kiralah media cetak atau media maya di internet—mana-mana penerbitan di internet yang berautoriti—mempunyai editor yang membuat tapisan ketat untuk menyiarkan karya, akhbar dalam talian Selangorkini dan Wadah DBP misalnya.
Tulis sajak dan siar di Facebook atau TikTok sendiri tidak dikira ya. Kalau yang ini pun dikira, maka yang menulis luahan hati yang mengarut-ngarut pun semua boleh jadi penyairlah!
Tulis sajak yang disimpan bertahun-tahun dalam diari dan tidak pernah siar di mana-mana penerbitan yang berautoriti tidak dikira.
Kerana karya yang disimpan untuk bacaan sendiri tidak dapat diakui dan tidak boleh disahkan kualitinya.
Kualiti itu satu hal. eperkara lagi ialah karya itu tidak sampai kepada umum. Mana mungkin seseorang itu dikatakan penulis jika hanya menghasilkan karya untuk bacaan sendiri sahaja.
Satu lagi syarat penting untuk diperhatikan dalam sastera Malaysia ialah seorang penulis muda itu perlu memiliki buku sendiri.
Andai sudah menulis lebih 50 tahun pun, jika masih belum ada buku sendiri seseorang penulis itu tetap tidak akan diberi perhatian, apatah lagi hendak diberikan anugerah dan pengiktirafan.
Samalah juga halnya dengan penulis muda, jika umur seseorang penulis telah mencapai 40 tahun pun, kalau masih tiada sebuah buku persendirian yang diterbitkan atas namanya—dia tetap tidak akan mendapat perhatian sarjana dan pengkritik, apatah lagi hendak diberikan apa-apa anugerah.
Buku yang dihasilkan oleh seorang penulis itulah yang menjadi ukuran pencapaiannya dalam sastera dan dunia penulisan. Tempoh masa yang lama bergiat dalam bidang penulisan pun tidak akan memberikan erti apa-apa jika tiada sebuah buku yang dihasilkan.Â
Itulah hakikat dan realiti sastera Malaysia yang perlu dihadam dan difahami betul-betul oleh penulis muda kita.
Jangan sekadar berbangga dan sudah cukup dengan karya-karya yang banyak diterbitkan secara eceran dalam antologi bersama sahaja.
Karya perseorangan itu yang paling penting dan menjadi tunjang utama kekuatan seorang pengarang.
Latiff Mohidin sinonim dengan Pesisir Waktu dan Sungai Mekong. Andai tiada sebuah buku pun atas nama Latiff, tentu saja dia tidak akan menjadi penyair terkenal sampai hari ini.
Sekepal Tanah pula menjadi karya agung Rahimidin. Tanpa Sekepal Tanah, siapakah Rahimidin hari ini?
Dan gurunya, Rosli K. Matari, mula diperhatikan para penulis muda selepas muncul dengan Nun Bulan pada 2011.
Jika Rosli tidak muncul dengan buku sajak persendirian, tentu saja sampai hari ini dia tidak akan diberikan gelaran Sasterawan Negeri Kelantan dan juga SEA Write Award.
Malah untuk dijemput sebagai Karyawan Bulan Ini majalah Dewan Sastera pun, sepengetahuan saya syaratnya ialah seseorang penulis itu perlulah juga memiliki sekurang-kurangnya sebuah buku persendirian terlebih dahulu. Tentunya pelik jugalah seseorang yang dipanggil karyawan tapi tidak memiliki sebuah buku sendiri.
Seorang pengarang, walau bagaimana hebat pun tulisannya, janganlah berharap dan berangan-angan agar karya eceran kita yang tersiar di merata akhbar dan majalah itu dikumpul serta diterbitkan oleh mana-mana pihak selagi anda belum mencapai tahap Pendeta Za’ba yang mewariskan lembar-lembar kertasnya yang bernilai tinggi.
Pendeta Za’ba memang, karyanya dikumpul cari oleh para penerbit bermutu dan mempunyai autoriti, untuk diterbitkan dalam bentuk buku.
Penyair sebesar Rahimidin itu pun tiada siapa yang peduli karya-karya ecerannya selepas beliau meninggal dunia.
Inikan pula kita penulis muda yang baru empat lima tahun menulis, atau belum cukup sepuluh tahun berkarya.
Saya masih ingat lagi, sejurus beberapa waktu selepas pemergiannya ke alam baqa pada tahun 2015 itu, saya ada menulis di Facebook agar perlunya pihak-pihak bertanggungjawab mengumpulkan sekian banyak karya-karya Rahimidin yang bertaburan di merata penerbitan itu agar diterbitkan setahun sebuah buku.
Jadi, jika saranan itu dilaksanakan, sekarang sekurang-kurangnya kita telah memiliki sepuluh buah buku baru Rahimidin selepas beliau meninggal dunia.
Namun, adakah perkara itu benar-benar terjadi? Tidak ada pun.
Yang kita maklumi, hanya ada sebuah buku sajak Rahimidin yang diterbitkan selepas beliau meninggal oleh syarikat Lan Naga iaitu Sindiket Sol-Jah dengan kerjasama ITBM.
Itu pun sebenarnya buku arwah yang hendak diterbitkan semasa beliau masih hidup lagi, namun tidak sempat disiapkan.
Jadi, Ridzuan Harun meneruskan amanah tersebut walaupun Rahimidin telah tiada untuk melepaskan rasa terhutangnya kepada arwah.
Oleh sebab itulah saya katakan kepada penulis kita, penulis muda terutamanya—terbitkanlah karya anda sendiri ketika masih hidup ini. Jangan berharap agar selepas anda mati, akan ada orang kumpulkan tulisan anda untuk diterbitkan. Jangan!
Penulis muda kita juga perlu menerima hakikat bahawa sastera kita lambat mengiktiraf seseorang pengarang walaupun kita telah suku alaf menjejakkan kaki dalam abad ke-21 yang dikatakan tahun-tahun milenia yang semuanya ingin dilakukan dengan pantas dan laju.
Namun, hakikatnya kita makin lambat dan masih amat perlahan mengiktiraf dan menghargai para pengarang yang ada.
Sehingga yang muda sudah tidak lagi muda, yang senior sudah menjadi penulis tua dan yang lama sudah makin uzur serta ramai pula yang telah pergi, dan tiada.
Ketika tiada itu barulah ramai yang terhegeh-hegeh muncul hendak menghargai dan memberi pengiktirafan.
Kita selalu lambat, sembap. Kalau hendak menaikkan diri sendiri cepat benar pula. Buat majlis kecil-kecil, kemudian buat plak hadiah dan piala sendiri—selepas itu iktiraf kawan-kawan penulis dalam kelompok sendiri sahaja dengan sijil yang direka-reka agar gah dibaca.
Bab angkat ekor sendiri itu memang sentiasa laju, terdahulu dan nombor satu. Tapi, kalau hendak naikkan nama orang lain, tunggu mati bertahun-tahun dulu baru hargai dan beri pengiktirafan.
Itulah beberapa hakikat dan situasi sebenar sastera kita yang perlu difahami dan diredai terjadi. Terimalah saja ia begitu, kerana ia telah beberapa dekad begitu.
Sukar untuk mengubahnya dengan kadar segera. Ia akan memakan masa sekian-sekian tahun pula untuk pulih seperti sediakala.
Hendak melihat Anugerah Sastera Negara diberikan kepada pengarang berusia 49 tahun seperti zaman Shahnon Ahmad dulu memang mustahil dalam masa empat lima tahun ini.
Tentu ramai yang tahu dan ingat, Shahnon menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1982—selepas Keris Mas menerimanya untuk kali pertama pada 1981.
Shahnon sendiri dilahirkan pada 1933. Jadi 1982 tolak 1933, 49 tahun. Masih sangat muda sebagai seorang Sasterawan Negara.
Sedangkan jika tengok negara jiran kita sendiri Indonesia, penyair besarnya Goenawan Mohamad menerima SEA Write Award 1981 ketika usianya baru mencecah 40 tahun.
Goenawan lahir di Batang, Jawa Tengah pada 29 Julai 1941. Masih sangat muda sebagai pengarang, namun telah diiktiraf di peringkat serantau.
Kemudian lihat pula situasi terkini dalam negara kita, pengarang Roslan Jomel ketika diumumkan sebagai penerima SEA Write Award 2024 pada penghujung tahun 2025, telah pun mencecah usia 53 tahun, empat tahun lebih tua daripada Shahnon ketika mendapat gelaran Sasterawan Negara.
Manakala Hafizah Iszahanid yang menerima anugerah yang sama untuk tahun 2025—telah pun mencapai usia 50 tahun pada waktu itu—juga telah melepasi umur Shahnon ketika bergelar Sasterawan Negara.
Kita penulis muda dan penulis yang perlahan-lahan sedang menuju tua ini, begitulah diajar sekian lama agar menghormati orang tua, mendahulukan yang lebih senior dan menerima seadanya apa telah berlaku dan akan terjadi dalam sastera.
Reda dan tawakal sajalah kita hendaknya—dengan masa, dengan segala kerenah manusia dan dengan segala apa yang sudah pun siap tertulis untuk kita.












