The Fox King wakili Malaysia ke Oscars

Thefoxking

KUALA LUMPUR, 29 September 2026 – Filem The Fox King (Semusim Lara) dipilih sebagai penyertaan rasmi Malaysia untuk dipertimbangkan dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa (International Feature Film) pada Anugerah Akademi ke-99 yang dijadualkan berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, Amerika Syarikat pada 14 Mac 2027.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan pemilihan filem berkenaan dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem FINAS berdasarkan syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS).

Filem arahan dan tulisan Woo Ming Jin itu mengangkat kisah dua beradik kembar, Ali dan Amir yang membesar tanpa ibu mereka.

Kehidupan kedua-duanya mula berubah dengan kehadiran Lara, seorang guru Bahasa Inggeris baharu yang turut mempengaruhi hubungan antara mereka.

The Fox King menampilkan Idan Aedan, Hadi Putra dan pelakon Indonesia, Dian Sastrowardoyo sebagai teraju utama.

Filem tersebut merupakan terbitan bersama syarikat dari Malaysia dan Indonesia, selain menerima sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi menerusi FINAS.

Dari sudut perjalanan antarabangsa, filem berkenaan terlebih dahulu dipertontonkan kepada khalayak dunia menerusi program Centrepiece di Toronto International Film Festival (TIFF) pada 9 September 2025.

Selepas tayangan perdana tersebut, The Fox King meneruskan perjalanan ke beberapa festival filem antarabangsa, termasuk Busan International Film Festival, Jakarta Film Week, Taipei Golden Horse Film Festival, Singapore International Film Festival, Beijing International Film Festival, Far East Film Festival di Udine dan San Francisco International Film Festival sehingga 1 Mei 2026.

Penglibatan dalam rangkaian festival filem antarabangsa berkenaan memperlihatkan perkembangan filem Malaysia dalam medan perfileman dunia, khususnya menerusi karya yang mengangkat naratif kemanusiaan dan hubungan kekeluargaan.

Di Malaysia, The Fox King mula ditayangkan di pawagam pada 17 September 2026.

Pemilihan filem tersebut sebagai penyertaan rasmi Malaysia membuka satu lagi ruang untuk karya tempatan diketengahkan dalam pentas perfileman antarabangsa, selain menjadi sebahagian daripada perjalanan panjang sesebuah filem sebelum dipertimbangkan oleh AMPAS bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa.

Dalam kenyataan yang sama, Kementerian Komunikasi dan FINAS turut merakamkan tahniah kepada Woo Ming Jin serta seluruh barisan pelakon dan tenaga produksi The Fox King atas pemilihan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Posterniah