Bekas rektor ASWARA terima pingat kebesaran Kelantan

Tankelantan

Tan Awang Besar, tiga dari kiri.

KOTA BHARU — Bekas Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Dr. Tan Awang Besar menjunjung kurnia atas pengurniaan Ahli Darjah Paduka Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (PSK) dalam Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke-57 tahun.

Istiadat berkenaan berlangsung di Istana Balai Besar, dekat sini, hari ini.

Pengurniaan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat bakti Tan Awang Besar dalam perkhidmatan awam serta bidang yang diceburinya.

Tan Awang Besar pernah menerajui ASWARA sebagai Rektor bermula 1 Julai 2024 hingga Disember 2025.

Dalam tempoh tersebut, beliau bertanggungjawab memimpin institusi pendidikan tinggi seni, budaya dan warisan yang menjadi antara wadah penting dalam pembangunan bakat serta pemerkasaan ekosistem seni dan budaya negara.

Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pengurniaan kepada Tan Awang Besar turut berlangsung bersama Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan kepada 779 penerima bersempena ulang tahun keputeraan Sultan Muhammad V.

Dalam istiadat sama, Pengerusi Apex Equity Berhad, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, menjadi penerima tunggal Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (PYGP).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, pula dikurniakan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Datuk.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, turut menerima darjah kebesaran yang sama, manakala Pengarah Urusan Sentosa Jaya Sdn. Bhd., Datuk Razali Daud, turut antara penerima gelaran Datuk dalam istiadat berkenaan.

Pengurniaan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri itu menjadi sebahagian daripada tradisi penghargaan terhadap individu yang memberikan sumbangan dalam pelbagai bidang kepada negeri dan negara.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Posterniah