11 hari pesta buku

Hari5pbakl2026

Kredit foto: Media PBAKL.

Pada tahun ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) berlangsung di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur bermula 29 Mei sehingga 7 Jun 2026. Acara tahunan ini semestinya dinantikan oleh seluruh komuniti pembaca buku.

Kebiasaannya acara ini akan berlangsung selama 10 hari bermula 10 pagi sehingga 10 malam. Tetapi persiapan untuk acara ini telah bermula berbulan-bulan lamanya lagi.

Kebetulan juga PBAKL tahun ini berlangsung dua hari sahaja selepas umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha. Saya yang bertugas di bangunan sebelah tempat berlangsungnya acara ini kadangkala memerhatikan juga perjalanan acara dari jauh.

Pada saya, pada masa hadapan mungkin acara ini boleh diadakan selama 11 hari berbanding kebiasaan 10 hari. Lima hari melakukan jualan dan berehat satu hari. Kemudian sambung semula melakukan jualan untuk lima hari seterusnya.

Mungkin ada yang memandang sinis akan cadangan saya ini. Tetapi ia mungkin akan digemari oleh ramai orang yang terlibat.

Sebagai contoh, sebelum PBAKL bermula, ramai petugas yang terlibat dengan acara ini telah pun mula “bertugas”.

Mereka telah “berkampung” di WTC dari awal pagi sehingga malam sama ada sehari atau dua hari sebelum acara bermula lagi untuk urusan setup reruai.

Selesai urusan ini, maka PBAKL pun bermula dan mereka bekerja tanpa henti dari pagi sehingga malam untuk lima hari berturut-turut!

Jadi rehat satu hari pada pertengahan acara PBAKL ini sebenarnya sangat membantu mereka untuk memulihkan kembali tenaga dan mengganti tidur yang tidak cukup.

Rehat satu hari ini juga memberi manfaat kepada para penerbit. Antara isu yang membelenggu PBAKL saban tahun ialah buku yang belum siap cetak atau kehabisan stok ketika acara sedang berlangsung.

Maka rehat satu hari ini memberi ruang kepada kilang pencetak untuk cuba usahakan supaya buku berjaya disiapkan dan dijual di PBAKL.

Para penerbit juga boleh menggunakan rehat satu hari ini untuk menyusun semula strategi.

Di sebalik pelbagai slogan yang dijaja oleh para penerbit, ketahuilah bahawa ia tetap perniagaan di hujungnya. Untung rugi tetap menjadi perkara paling penting.

Jadi jika jualan tidak mencapai sasaran untuk lima hari pertama ini, penerbit boleh merombak semula strategi pemasaran bagi memastikan selepas tamat acara, sasaran jualan berjaya dicapai.

Di pihak penganjur juga mungkin akan terima manfaat dari cuti satu hari ini. Mereka boleh menyelesaikan beberapa perkara berbangkit sepanjang acara ini.

Antara yang saya dengar pada tahun ini ialah ramai pengunjung tidak jumpa di mana letaknya dewan bersejarah Dewan Merdeka.

Mungkin pihak penganjur boleh gunakan rehat satu hari ini bagi membuat apa-apa yang patut supaya tidak kedengaran lagi masalah ini.

Apa-apapun, selamat berpesta buku buat para penikmat buku!

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *