KUALA LUMPUR — Penerbit The Biblio Press tampil menepis dakwaan bahawa penerbitan edisi Malaysia buku Perkembangan Kebatinan di Jawa karya Profesor Dr. Hamka dilakukan tanpa kebenaran atau melanggar hak cipta.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengarah Urusan The Biblio Press, Kiridaren Jayakumar, menegaskan bahawa penerbitan buku tersebut dibuat secara sah dan melalui proses perolehan hak yang lengkap dengan pihak yang mengurus hak cipta karya-karya Hamka.
Penjelasan itu dibuat susulan tersebarnya khabar yang mempertikaikan kesahihan penerbitan buku berkenaan di Malaysia.
“Kami di The Biblio Press mengambil maklum akan khabar bahawasanya kami menerbitkan karya ilmiah Profesor Dr. Hamka terbitan versi Malaysia secara tidak sah,” katanya.
Menurut Kiridaren, sebagai sebuah penerbit yang aktif menerbitkan karya-karya terjemahan dan karya rentas negara, pihaknya sentiasa menitikberatkan soal pematuhan hak cipta serta pengurusan perlesenan karya.
Beliau menjelaskan bahawa The Biblio Press telah berhubung secara rasmi dengan penerbit Indonesia, Gema Insani, yang mengurus hak cipta karya-karya Hamka bagi mendapatkan kebenaran menerbitkan Perkembangan Kebatinan di Jawa untuk pasaran Malaysia.
“Kami telah berhubung dengan pihak penerbit Gema Insani yang mengurus hak cipta karya-karya Profesor Dr. Hamka untuk urusan kontrak pengizinan karya Perkembangan Kebatinan di Jawa bagi penerbitan edisi Malaysia,” katanya.
Malah, beliau menegaskan bahawa penerbitan tersebut dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak berkenaan.
“Kami telah menerbitkan karya Perkembangan Kebatinan di Jawa secara sah dan rasmi dengan pengetahuan Gema Insani dan segala proses telah dicermati,” katanya lagi.
Kenyataan tersebut sekali gus menafikan dakwaan bahawa buku berkenaan diterbitkan tanpa izin pemegang hak atau melalui saluran yang tidak sah.
Kiridaren turut menegaskan bahawa The Biblio Press sentiasa cakna terhadap kepentingan pemilikan hak cipta dan menganggap perkara tersebut sebagai aspek penting dalam industri penerbitan.
Beliau dalam masa yang sama merakamkan penghargaan kepada para pembaca yang terus memberikan sokongan terhadap usaha membawa karya-karya penting dunia Melayu kepada khalayak tempatan.
“Kami berterima kasih atas segala sokongan yang diberikan kepada kami dan harapan kami semoga para pembaca Malaysia boleh menghayati karya Hamka ini bersama dalam bahasa kita,” katanya.
Perkembangan Kebatinan di Jawa merupakan antara karya ilmiah penting Hamka yang membincangkan perkembangan aliran kebatinan dalam masyarakat Jawa dari sudut sejarah, budaya dan pemikiran Islam.
Penerbitan edisi Malaysia oleh The Biblio Press bertujuan memperluaskan capaian pembaca tempatan terhadap karya tokoh ulung Nusantara tersebut.
Buku tersebut boleh didapati di reruai Biblio Press, Dewan Tun Razak 3, World Trade Centre Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.













