Mendengar sahaja tajuk The Waves Will Carry Us, saya terus teringat kepada filem The Wind Will Carry Us (1999) arahan Abbas Kiarostami.
Yang membezakannya hanyalah perkataan “Wind” digantikan dengan “Wave”.
Tetapi kenapa “wave”? Saya merasakan wave atau ombak dalam filem arahan Lau Kek-huat ini selain satu metafora perjalanan atau takdir, tetapi juga sesuatu yang lebih besar iaitu arus sejarah dan nasib diaspora yang membawa watak-wataknya dari Tanah Besar China ke Tanah Malaya sekitar awal abad ke-20, dan seterusnya membawa generasi demi generasi mereka terapung dalam dilema identiti, kerakyatan dan rasa memiliki juga dimiliki oleh sebuah tanah air.
Filem ini bermula apabila Ah Yao, lakonan Wei Chun-chan, pulang ke Malaysia dari Taiwan untuk menghadiri pengebumian bapanya.
Namun kepulangan itu bertukar menjadi kekacauan apabila pihak berkuasa agama datang menuntut mayat bapanya atas alasan lelaki tersebut sebenarnya telah memeluk Islam secara rahsia sebelum meninggal dunia kerana berkahwin dengan pendatang dari Indonesia.
Mayat itu kemudiannya perlu dikebumikan mengikut tatacara Islam.
Ah Yao bersama adik-beradiknya iaitu Yun dan Cai yang enggan menerima keadaan tersebut lalu memulakan satu perjalanan yang semakin lama semakin absurd, gelap dan tragikomik demi mendapatkan semula mayat bapa mereka.
Namun The Waves Will Carry Us bukan berlegar sebagai filem tentang perebutan mayat.
Ia jauh terlalu sarat daripada itu. Lau Kek-huat seolah-olah mahu menghimpunkan segala keresahan, kemarahan, memori sejarah dan persoalan identiti masyarakat Cina Malaysia ke dalam sebuah filem yang bergerak antara realisme sosial, satira politik dan semi-autobiografi generasi diaspora.
Watak si ayah misalnya digambarkan sebagai manusia yang terus bergelut untuk hidup dalam sistem yang sentiasa menolak kewujudannya.
Dia berhutang, menyorok, lari daripada pelbagai masalah, menyeludup dan akhirnya berkahwin dengan pendatang Indonesia sebelum mati ketika cuba menggantung bendera Malaysia.
Kesemua tindakan itu terasa sangat simbolik malah kadangkala terlalu simbolik, tetapi dalam masa yang sama cukup berani.
Lau seakan-akan mahu mengatakan bahawa ada segelintir masyarakat Cina Malaysia yang terus cuba “menjadi warga”, cuba mencintai negara ini, tetapi tetap terapung-apung di pinggir penerimaan.
Kontra dengan generasi si ayah, dua anak lelakinya pula mewakili bentuk perjuangan yang berbeza.
Seorang memilih aktivisme jalanan dan terlibat dengan demonstrasi Bersih, manakala Ah Yao (lakonan Wei Chun Chan) sendiri memilih untuk berhijrah ke Taiwan.
Ironinya, di awal filem kita turut diperlihatkan bagaimana Ah Yao masih berdepan diskriminasi ketika mahu menderma darah di Taipei.
Walau ke mana dia pergi, identitinya tetap dianggap “orang luar”.
Di sinilah filem ini menjadi menarik. Ia tidak sekadar berbicara tentang Malaysia, tetapi tentang manusia diaspora yang sentiasa terperangkap di tengah-tengah antara tanah asal dan tanah tumpang.
Filem ini kemudiannya mengimbau sejarah kedatangan datuk mereka yang mempertaruhkan nyawa belayar dari China Selatan ke Tanah Malaya bersama bapa saudaranya.
Bahagian ini merupakan antara kekuatan terbesar filem tersebut. Lau Kek-huat berjaya menghasilkan satu visualisasi migrasi yang terasa eksklusif dan jarang sekali dipaparkan dalam sinema Malaysia.
Dari mise-en-scène kampung di Tanah Besar China sehinggalah suasana awal penempatan di Malaya, semuanya dibentuk dengan cukup meyakinkan.
Sinematografi oleh Tsai Wei-lung pada segmen ini juga berjaya memberikan tekstur sejarah yang kuat tanpa terasa seperti dokumentari sejarah yang kaku.
Pantang larang budaya yang dibawa bersama mereka akhirnya mula mencair apabila mereka sedar bahawa untuk terus hidup, mereka perlu berasimilasi dengan bumi yang dipijak.
Simbol durian yang pada awalnya dianggap menjijikkan akhirnya menjadi lambang penerimaan terhadap tanah Malaya.
Ia mungkin simbol yang agak literal, tetapi tetap berfungsi dalam konteks naratif generasi migran yang cuba menyesuaikan diri dengan ruang baru.
Sudah tentu ada pengkritik yang akan melihat filem ini sebagai terlalu lantang menyuarakan ketidakpuasan hati masyarakat minoriti terhadap sistem dan undang-undang di Malaysia.
Terutamanya apabila filem ini dengan cukup provokatif mengangkat isu perebutan mayat mualaf iaitu sesuatu yang sememangnya pernah berlaku dalam realiti negara kita.
Tetapi Lau tidak berhenti di situ. Dia membawa premis itu ke wilayah yang lebih absurd dan satirik apabila dua adik-beradik tersebut sanggup menceroboh masuk ke tanah perkuburan Islam untuk menggali semula mayat bapa mereka.
Babak ini mungkin antara bahagian paling “gelap” dalam filem, bukan sekadar dari segi pencahayaan visualnya tetapi juga nada moral dan emosinya.
Ia memiliki rasa tragicomedy yang pekat; lucu, gila dan menyedihkan dalam masa yang sama.
Malah ketika mereka berjaya mendapatkan semula mayat tersebut, Lau meraikannya dengan bunga api malam kemerdekaan dan adegan intim pasangan suami isteri.
Seolah-olah kemenangan kecil itu sendiri sudah cukup untuk diraikan sebagai bentuk kemerdekaan peribadi.
Namun kemudian mayat si ayah tergolek jatuh ke lereng bukit begitu sahaja. Saya merasakan adegan ini sengaja dibiarkan ambigu.
Ia boleh dibaca sebagai simbol bahawa manusia akhirnya tidak pernah benar-benar memiliki apa-apa, termasuk tubuh dan identiti sendiri.
Atau mungkin juga satu sindiran bahawa perjuangan mereka dari awal sebenarnya tidak pernah membawa kepada sebarang penyelesaian mutlak. Ombak tetap akan membawa semuanya pergi.
Kalau orang bertanya kepada saya filem ini tentang apa, saya mungkin akan menjawab: ia tentang dua adik-beradik Cina yang menggali semula kubur bapa mereka yang telah memeluk Islam secara rahsia ketika hidup.
Itu sahaja sudah cukup menjadi logline yang kuat untuk menarik perhatian penonton. Tetapi di sebalik premis yang kedengaran liar itu, The Waves Will Carry Us sebenarnya berbicara tentang hubungan manusia dengan tanah yang mereka pijak.
Adakah manusia perlu terus melawan sistem dan cuba mengubah semuanya? Atau adakah akhirnya kita cuma membiarkan “ombak” membawa kita ke mana sahaja sejarah dan keadaan mencampakkan kita?
Sebagai penggemar filem yang mungkin sudah mula pandai-pandai mencabar filem-filem art-house atau setidak-tidaknya filem yang menghampiri wilayah itu, saya melihat The Waves Will Carry Us sebagai sebuah karya yang terlalu sarat dengan idea, simbol dan kenyataan politik sehingga kadangkala terasa seperti mahu memuatkan tiga filem berbeza ke dalam satu naratif.
Bahagian migrasi generasi awal, konflik perebutan mayat dan drama keluarga moden sebenarnya masing-masing mempunyai kekuatan untuk berdiri sebagai filem tersendiri.
Namun mungkin juga itu memang niat Lau Kek-huat. Filem ini terasa seperti sebuah perjalanan generasi ke generasi atau semi-autobiografi tentang sejarah diaspora dan rasa keterasingan yang diwarisi.
Dalam masa yang sama, ada beberapa simbolisme politik yang terasa agak berlebihan dan terlalu mahu “menyampaikan mesej”.
Contohnya adegan seorang budak Melayu bermotosikal memberikan bendera Malaysia kepada Yao. Simbol itu mungkin ikhlas dan murni pada niat asalnya, tetapi cara ia dipersembahkan terasa terlalu didaktik, seakan-akan iklan PSA Hari Kemerdekaan.
Walau bagaimanapun, saya tetap melihat The Waves Will Carry Us sebagai sebuah filem penting dalam landskap sinema Malaysia kontemporari.
Bukan kerana ia sempurna, tetapi kerana keberaniannya untuk membuka ruang perbincangan yang selama ini sering dielakkan.
Lau Kek-huat memahami bahawa kadangkala filem tidak semestinya perlu memberikan jawapan yang jelas.
Ada waktunya, filem hanya perlu menjadi ombak yang membawa penonton hanyut bersama persoalan yang tidak mungkin selesai.
Pemerhati filem tempatan mungkin akan bertanya, kenapa pembikin filem seperti Lau Kek-huat gemar mengangkat tema-tema kontroversi dan sensitif seperti ini?
Adakah kerana cerita tentang luka, tersakiti, penindasan dan konflik identiti lebih mudah mendapat tempat di festival filem antarabangsa?
Pertanyaan sebegini sebenarnya sudah lama mengiringi filem-filem dari Asia, Timur Tengah dan Amerika Latin, seolah-olah karya dari rantau ini hanya bernilai apabila mempamerkan penderitaan sosial kepada dunia luar.
Namun membaca The Waves Will Carry Us sekadar sebagai “filem festival tentang minoriti tertindas” terasa terlalu simplistik.
Filem ini lebih dekat kepada usaha memahami manusia daripada sekadar menjual penderitaan. Semua manusia sama ada majoriti, minoriti mahupun yang terpinggir boleh bercakap dari sudut pandang mereka sendiri.
Dan seni yang jujur selalunya lahir daripada pengalaman yang paling dekat dengan penciptanya.
Maka apabila Lau Kek-huat memilih untuk bercerita tentang diaspora Cina Malaysia, kegelisahan identiti dan rasa tidak dimiliki sepenuhnya oleh tanah air sendiri, itu bukan semata-mata strategi untuk “menjual isu”, tetapi mungkin kerana itulah memori sosial yang paling dekat dengannya.
Lagipun, tema keterasingan dan diskriminasi bukan lagi sesuatu yang automatik dianggap istimewa di festival-festival terkemuka seperti Cannes, Venice, Berlin atau Toronto.
Festival-festival ini saban tahun menerima lambakan filem tentang perang, migrasi, kemiskinan dan trauma sosial.
Jika sesebuah filem hanya bergantung pada isu “minoriti tertindas”, ia akhirnya akan menjadi formula yang mudah dibaca.
Yang membezakan sesebuah filem akhirnya bukan pada isunya semata-mata, tetapi bagaimana ia diterjemahkan menjadi bahasa sinema, bagaimana kamera memerhati manusia, bagaimana simbol dan emosi dibina tanpa terlalu memaksa penonton menerima sesuatu pandangan.
Dalam konteks itu, The Waves Will Carry Us masih mempunyai kekuatan kerana ia tidak bergerak sepenuhnya sebagai manifesto politik, tetapi sebagai filem tentang manusia-manusia yang cuba mencari tempat berpijak dalam sejarah, keluarga dan negara mereka sendiri.
Dan mungkin di situlah nilai sebenar filem seperti ini: ia tidak meminta semua orang bersetuju dengannya, tetapi memaksa kita mengakui bahawa sudut pandang itu memang wujud.
Menariknya, filem ini juga sudah mula mendapat perhatian di luar negara apabila ditayangkan di Tokyo International Film Festival, Hawaii International Film Festival dan San Diego Asian Film Festival, selain menerima pencalonan di Golden Horse Awards dengan Vera Chen memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Dalam konteks sinema Asia, khususnya di Taiwan, filem ini jelas sedang dibaca sebagai sebuah karya diaspora yang penting dan berani.
Persoalannya sekarang, adakah filem seperti ini akan benar-benar diterima di tanah airnya sendiri?
Adakah ia akan dilihat sebagai antara karya Malaysia terbaik mutakhir ini, atau sekadar diraikan di festival luar sebagai “filem Malaysia yang bagus untuk orang luar” tetapi terus dipandang curiga di negara sendiri kerana keberaniannya menyentuh luka sosial dan identiti yang belum benar-benar sembuh?
Filem ini boleh dianggap sebagai filem Malaysia, tetapi dalam makna yang lebih cair dan tidak konvensional.
Ia bukan ditentukan semata-mata oleh lokasi produksi atau label industri, sebaliknya oleh kandungan pengalaman sosial yang diangkatnya.
The Waves Will Carry Us berakar pada sejarah diaspora Cina Malaysia, konflik kewarganegaraan dan ketegangan identiti dalam ruang negara ini, menjadikannya tetap berada dalam teras perbincangan Malaysia, walaupun wacananya melintasi sempadan sinema Taiwan dan festival antarabangsa yang membentuk ekosistem kreatif Lau Kek-huat.
Mungkin di situlah ironi terbesar filem ini; ia berbicara tentang manusia yang mencari tempat untuk diterima, dan filem ini sendiri mungkin sedang atau akan melalui nasib yang sama.













