Hikayat Maharaja Seri Rama bukti keagungan khazanah Melayu

Pelancaranserirama

KUALA LUMPUR — Penerbitan Hikayat Maharaja Seri Rama yang disusun oleh tokoh wayang kulit Kelantan, Che Mat Jusoh, disifatkan sebagai satu usaha besar dalam memelihara khazanah bangsa yang telah berakar dalam budaya Melayu sejak lebih seribu tahun lalu.

Bercakap sempena majlis pelancaran buku tersebut di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 malam ini, Che Mat Jusoh berkata meskipun Hikayat Seri Rama berasal dari India, karya tersebut telah lama berasimilasi dengan budaya Melayu sehingga dianggap sebahagian daripada warisan masyarakat Nusantara.

“Sebagaimana kita maklum, Hikayat Seri Rama memang berasal dari India tetapi telah bertapak di alam Melayu lebih daripada 1,000 tahun dahulu. Sehinggakan orang Melayu di Nusantara menganggap karya ini bukan lagi hak India semata-mata, tetapi sudah menjadi hak orang Melayu kerana telah dimasukkan unsur budaya Melayu dan juga agama Islam,” katanya.

Menurut beliau, hikayat tersebut memainkan peranan penting dalam tradisi seni persembahan Melayu, khususnya wayang kulit Kelantan dan seni gamelan Melayu yang berkembang di Pahang serta Terengganu.

Sebagai penggiat wayang kulit sejak usia muda, Che Mat mengakui Hikayat Seri Rama bukan sesuatu yang asing dalam kehidupannya. Minat mendalam terhadap kisah tersebut mendorong beliau mengumpul, meneliti dan mencatat pelbagai versi cerita yang diperoleh daripada generasi terdahulu.

Katanya, usaha itu membawa beliau kepada penemuan enam naskhah Hikayat Seri Rama bertulisan Jawi lama yang bertarikh sekitar abad ke-17.

“Saya memperoleh enam naskhah bertulisan Jawi lama dan mentransliterasikannya kepada tulisan Rumi. Kemudian saya membandingkan pelbagai versi yang saya peroleh, termasuk naskhah yang diberikan oleh rakan-rakan dari Palembang dan Singapura,” katanya.

Serirama

Beliau menjelaskan proses penyusunan buku itu bermula sekitar tahun 2021 ketika pandemik Covid-19 dan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disempurnakan.

“Saya buat sedikit demi sedikit. Bila dapat naskhah baharu, saya baca semula, buat perbandingan dan semakan semula. Akhirnya lahirlah karya ini. Dari segi bahasa pula, saya mengekalkan sebanyak mungkin ayat asal, cuma ada sedikit penyesuaian pada bahagian yang terlalu sukar difahami,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2026, Mohd Khair Ngadiron menyifatkan penerbitan Hikayat Maharaja Seri Rama sebagai satu pencapaian penting dalam usaha memelihara khazanah intelektual bangsa.

“Karya ini adalah khazanah bangsa. Buku ini sangat penting kerana terkandung di dalamnya warisan dan kebijaksanaan masyarakat Melayu. Ia adalah lambang kearifan tempatan,” katanya.

Beliau berkata sebagaimana karya Mathnawi oleh Jalaluddin Rumi menjadi khazanah dunia, Hikayat Maharaja Seri Rama pula memperlihatkan bagaimana masyarakat Melayu mengadaptasi sebuah karya antarabangsa sehingga menjadi sebahagian daripada identiti budaya mereka sendiri.

“Seri Rama ialah lambang bagaimana bangsa kita mengadaptasi sebuah karya antarabangsa menjadi sebahagian milik kita. Usaha yang dilakukan oleh Che Mat Jusoh adalah usaha yang sangat terpuji,” katanya.

Mohd Khair turut memuji ketelitian ilmiah yang ditunjukkan oleh Che Mat dalam membandingkan pelbagai naskhah yang diperoleh dari seluruh Nusantara sebelum menghasilkan teks yang diterbitkan.

“Che Mat memastikan naskhah yang terbit ini dibandingbezakan dengan apa yang beliau peroleh dari seluruh Nusantara, lalu mencari jalan terbaik untuk ditulis dan disusun kembali. Itulah ketelitian dan kesarjanaan yang beliau miliki,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Nusa Centre yang sanggup menerbitkan karya berskala besar itu meskipun berdepan pelbagai kekangan.

“Usaha Nusa Centre untuk menerbitkan buku setebal ini sangat kita sanjung tinggi. Tidak ramai yang mahu melakukan kerja-kerja seperti ini. Mereka mungkin tidak mempunyai bajet yang besar, tetapi mempunyai kesungguhan untuk mengangkat tradisi bangsa dan memastikan khazanah ini terus terpelihara,” katanya.

Hikayat Maharaja Seri Rama diterbitkan oleh Nusa Centre dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan dan dianggap antara usaha penting dalam mendokumentasikan warisan sastera serta seni persembahan Melayu untuk generasi akan datang.

Hikayat Maharaja Seri Rama kini boleh didapati di reruai Nusa Centre, Bilik Mawar, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *