PENA hargai sokongan PM, Kementerian Kewangan teruskan Projek Buku PENA–Malaysia MADANI Fasa 3

Khairpena

KUALA LUMPUR — Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan atas sokongan berterusan terhadap pembangunan dunia penulisan, penerbitan buku dan budaya membaca menerusi kesinambungan Projek Buku PENA–Malaysia MADANI.

Pengarah Projek Penerbitan Buku PENA–Malaysia MADANI, Mohd Khair Ngadiron berkata, keprihatinan Perdana Menteri terhadap industri perbukuan telah membolehkan projek tersebut diteruskan sehingga memasuki fasa ketiga pada tahun ini.

“Kami merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas keprihatinan beliau terhadap usaha kita untuk memastikan dunia penulisan terus dikembangkan, diimarahkan dan diangkat,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran Projek Penerbitan Buku PENA–Malaysia MADANI Fasa 3 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.

Menurut beliau, projek tersebut bermula pada tahun 2024 apabila PENA mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri untuk melaksanakan satu program penerbitan buku berskala besar yang kemudiannya dikenali sebagai Projek Buku PENA–Malaysia MADANI.

Hasil sokongan kerajaan, projek itu menerima peruntukan sebanyak RM2.5 juta pada tahun 2024 dan berjaya menerbitkan 125 judul buku dalam tempoh enam bulan. Sebanyak 300 naskhah bagi setiap judul diedarkan ke sekolah-sekolah manakala 300 naskhah lagi disalurkan ke perpustakaan desa di seluruh negara.

Pada tahun berikutnya, projek berkenaan menerima peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta. Berbeza dengan pelaksanaan sebelumnya, Kementerian Kewangan meminta PENA memilih lima judul buku terbaik untuk diedarkan ke sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Mohd Khair berkata, pemilihan judul tersebut dilakukan melalui kerjasama antara PENA dan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) sebelum buku-buku berkenaan diedarkan kepada institusi yang terlibat.

“Berdasarkan projek pertama yang kita laksanakan, kami telah mengemukakan laporan kepada YAB Perdana Menteri dan tahun ini, Alhamdulillah, beliau telah bersetuju untuk meneruskan Projek Buku PENA–Malaysia MADANI bagi kali ketiga dengan peruntukan sebanyak RM1 juta,” katanya.

Beliau menyifatkan kelulusan tersebut sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan penulis dan penerbitan buku tempatan terus diperkasakan walaupun negara berdepan cabaran ekonomi.

“Kita faham dalam keadaan kegawatan ekonomi, kami sendiri tidak menyangka projek ini akan diteruskan. Namun keprihatinan Perdana Menteri terhadap soal perbukuan sangat tinggi,” katanya.

Beliau turut memuji langkah kerajaan mengumumkan pemberian baucar buku kepada pelajar sekolah menengah dan IPTA sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.

“Dalam kekangan kewangan, kita lihat Perdana Menteri tetap memberikan dorongan dan rangsangan kepada penulis serta aktiviti perbukuan. Ini sesuatu yang sangat baik untuk perkembangan industri buku negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, PENA secara rasmi mengumumkan pembukaan penghantaran manuskrip bagi Projek Penerbitan Buku PENA–Malaysia MADANI Fasa 3 bermula 2 Jun hingga 31 Disember 2026.

Melalui fasa baharu ini, penulis Malaysia dipelawa menghantar manuskrip lengkap dalam pelbagai genre termasuk novel, cerpen, puisi, drama pentas, buku umum, biografi, memoir, travelog dan buku bergambar kanak-kanak.

Manuskrip yang terpilih akan diterbitkan secara profesional dengan cetakan awal sebanyak 1,000 naskhah bagi setiap judul serta ditawarkan bayaran royalti secara pendahuluan. Penghantaran manuskrip boleh dibuat melalui platform digital bukupena.com.my.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *