KUALA LUMPUR — Karya sastera tempatan memerlukan “pasport” dalam bentuk terjemahan yang berkualiti untuk merentas sempadan dan dikenali di peringkat global.
Perkara tersebut ditegaskan dalam Forum Terjemahan Menduniakan Sastera yang berlangsung hari ini sempena program Festival Kata PBAKL 2026 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026.
Forum yang dikendalikan oleh moderator Hafiz Latiff itu menampilkan tiga panel pakar iaitu Prof. Madya Dr. Kang Myoung Sook (Universiti Teknologi Malaysia), Dr. Boh Phaik Ean (Universiti Sains Malaysia), dan penterjemah prolifik Dali Fazuri.
Terjemahan bukan sekadar kata-Kata
Kang dalam pembentangannya menjelaskan bahawa kejayaan sastera Korea di peringkat dunia, seperti novel The Vegetarian karya Han Kang, bukan berlaku dalam sekelip mata tetapi melalui ekosistem yang kukuh.
Beliau menekankan bahawa terjemahan adalah jambatan budaya yang lebih mendalam daripada sekadar pertukaran bahasa.
Menurut Kang, “Translation gives a passport… if literature wants to cross the border, it needs a passport. So that’s the key of translation.”
Beliau menambah bahawa tanpa terjemahan, sastera hanya akan kekal sebagai sastera tempatan, namun dengan terjemahan, ia menjadi sastera dunia.
Alat perpaduan dan wahana ilmu
Bagi Boh, terjemahan dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum memainkan peranan sebagai alat perpaduan, terutamanya dalam menterjemah karya sastera Cina tempatan (Mahua) ke dalam bahasa kebangsaan.
Boh menyatakan, “Penterjemahannya ke dalam bahasa Melayu sebenarnya bertujuan untuk merobohkan benteng perbezaan bahasa yang sekian lama ini menghalang kaum-kaum lain untuk membaca dan menghayati yang ditulis oleh kaum Cina.”
Beliau juga menyifatkan terjemahan karya luar sebagai wahana penting untuk mengimport ilmu dan falsafah ke dalam bahasa kebangsaan.
Tanggungjawab dan kreativiti penterjemah
Penterjemah Dali pula berkongsi cabaran menterjemah novel klasik barat dan kepentingan menjaga sensitiviti serta konteks budaya tempatan.
Beliau menegaskan bahawa penterjemah mempunyai tanggungjawab moral terhadap pembaca dan penulis asal.
Dali menjelaskan, “Seorang penterjemah mempunyai tanggungjawab kepada pembaca… saya protect pembaca dan saya juga protect penulis asal supaya tidak dihina oleh pembaca di Malaysia.”
Selain itu, beliau berkongsi teknik mencipta kosa kata baharu seperti reruai atau kekertas untuk mengekalkan keindahan laras bahasa asal dalam bahasa Melayu.
Cabaran kecerdasan buatan (AI)
Panel turut membincangkan ancaman Kecerdasan Buatan (AI) yang dianggap gagal meniru “jiwa” atau “bau” (human touch) dalam penterjemahan kreatif.
Boh melahirkan kebimbangan jika generasi muda terlalu bergantung kepada AI sehingga tidak mampu membina ayat yang betul dalam masa 10 tahun akan datang.
Forum diakhiri dengan saranan agar institusi kerajaan memberikan sokongan berterusan melalui geran terjemahan yang tetap dan bukan sekadar projek bersifat one-off bagi memastikan sastera Malaysia terus ampuh di persada antarabangsa.













