KUALA LUMPUR — Syarikat produksi filem bebas, Kuman Pictures, sekali lagi membuka penyertaan Kuman Pictures Challenge 7, pertandingan filem pendek bertemakan seram atau thriller yang menawarkan hadiah utama sebanyak RM1,500.
Berdasarkan pengumuman yang dibuat penganjur, pertandingan edisi ketujuh itu menampilkan kelainan apabila setiap penyertaan diwajibkan memasukkan elemen duit syiling Malaysia dalam jalan cerita.
Menurut penganjur, duit syiling tersebut boleh dipaparkan dalam bentuk objek sebenar, gambar atau lukisan, namun lebih digalakkan jika elemen itu menjadi sebahagian penting daripada naratif filem.
Peserta bebas mentafsirkan tema seram atau thriller mengikut kreativiti masing-masing, malah digalakkan menyentuh isu-isu semasa bagi memberi nilai tambah kepada karya yang dihasilkan.
Pertandingan ini terbuka kepada warga atau penduduk tetap Malaysia dengan tempoh filem antara satu hingga 10 minit serta boleh dihasilkan dalam apa-apa bahasa.
Setiap penyertaan perlu dimuat naik ke akaun YouTube peserta sendiri menggunakan tanda pagar #KumanPicturesChallenge7 sebelum pautannya dihantar melalui e-mel ke kumanpictures@gmail.com selewat-lewatnya pada 31 Julai 2026.
Penganjur turut menetapkan dua syarat tambahan, iaitu peserta perlu menyatakan time-code kemunculan elemen duit syiling dalam filem serta menyertakan nombor telefon untuk tujuan perhubungan.
Sepuluh karya terbaik akan dipilih sebagai finalis pada September ini sebelum dijemput ke sesi tayangan khas yang dijadualkan berlangsung pada Oktober, sekali gus menjadi pentas pengumuman pemenang pertandingan.
Memandangkan tayangan itu akan dibuka kepada umum, semua filem finalis akan dihantar kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia dengan persetujuan pembikin masing-masing.
Penganjur turut mengingatkan supaya pautan YouTube yang dihantar tidak ditetapkan sebagai “Private” dan ditandakan sebagai “Not for Kids” bagi membolehkan karya dimasukkan ke dalam senarai tontonan umum.
Selain hadiah utama RM1,500 yang ditaja oleh Kuman Pictures, semua finalis turut dijanjikan hadiah-hadiah lain yang akan diumumkan kemudian.
Hak cipta setiap filem pendek, termasuk karya pemenang, kekal menjadi milik pembikin dan mereka bebas menggunakan karya tersebut selepas pertandingan.
Bagi edisi kali ini, pengarah dan pembikin filem Muzammer Rahman yang bakal tampil dengan filem Kacau, dipilih sebagai hakim pertandingan.













