DBP serah dakwaan gangguan seksual dalam komuniti sastera kepada pihak berkuasa

Dbp

KUALA LUMPUR — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memandang serius dakwaan gangguan seksual yang tular dalam komuniti sastera negara dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

Dalam satu kenyataan hari ini, DBP berkata pihaknya mengambil cakna terhadap dakwaan yang tersebar di media sosial melibatkan gangguan seksual terhadap penulis wanita.

“DBP menghormati hak semua pihak dan memandang serius sebarang dakwaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan individu serta keharmonian dalam komuniti sastera,” menurut kenyataan itu.

Menurut DBP, sebarang tindakan lanjut berkaitan dakwaan tersebut perlu diserahkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan proses siasatan dijalankan secara adil dan mengikut peruntukan undang-undang.

“Sehubungan dengan itu, DBP menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Pada masa sama, DBP menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai dan keputusan dibuat oleh pihak berkuasa.

Sebagai institusi yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera, DBP menegaskan komitmennya untuk terus memelihara ekosistem kesusasteraan yang berteraskan nilai integriti, profesionalisme, saling menghormati dan rasa tanggungjawab.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan yang tular sejak beberapa hari lalu selepas penulis dan penyair Sarah Ross mendedahkan di media sosial bahawa beliau didakwa menjadi mangsa gangguan seksual secara maya oleh seorang individu yang disifatkannya sebagai tokoh dalam dunia sastera.

Sarah turut berkongsi beberapa tangkap layar mesej yang didakwa diterimanya melalui Facebook Messenger, antaranya mengandungi panggilan seperti “baby”, “sweetie”, “sweetheart” dan “honey”, selain mendakwa terdapat beberapa lagi penulis wanita yang mengalami gangguan serupa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Setakat ini, identiti individu yang didakwa belum didedahkan kepada umum dan tiada sebarang kenyataan balas daripada pihak yang berkenaan.

Dakwaan yang tular di media sosial itu juga masih dalam penelitian dan belum disahkan oleh pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *