KUALA LUMPUR — Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) menggesa siasatan menyeluruh serta tindakan tegas diambil terhadap dakwaan amang seksual dan gangguan seksual secara maya yang didakwa dilakukan oleh seorang tokoh sastera tempatan terhadap beberapa penulis wanita dan bekas peserta bengkel penulisan.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Kavyan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai sesuatu yang serius kerana melibatkan individu yang selama ini diangkat sebagai tokoh sastera, pejuang sastera dan pembimbing bengkel penulisan.
Menurut Kavyan, tindakan penulis Sarah Ross dan Maghfirah Tmz membuat laporan polis membuktikan isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan, malah berdasarkan perkongsian Sarah Ross di media sosial, terdapat beberapa penulis wanita lain yang turut mendakwa menerima mesej berbaur seksual daripada individu sama yang pernah dinobatkan sebagai sasterawan negeri.
“Kavyan yang terlibat dalam mengendalikan program galakan membaca serta bengkel penulisan di seluruh negara melibatkan peserta pelbagai kaum dan pelbagai peringkat umur memandang serius kes ini. Kavyan berharap siasatan terperinci dilakukan serta tindakan tegas diambil, termasuk oleh institusi bahasa dan sastera,” menurut kenyataan itu.
Pertubuhan itu menegaskan bahawa kedudukan sebagai pejuang sastera, tokoh sastera, penerima anugerah sasterawan negeri, pembimbing bengkel penulisan, editor atau pegawai institusi sastera tidak boleh dijadikan alasan atau imuniti untuk melakukan sebarang bentuk amang seksual dan gangguan seksual.
“Dunia sastera kebangsaan sepatutnya menjadi ruang selamat (safe space) untuk sesiapa sahaja melibatkan diri tanpa perlu bimbang kemungkinan ada pihak cuba mengambil kesempatan, termasuk amang seksual dan gangguan seksual,” kata Kavyan.
Kavyan turut melahirkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir warga sastera yang didakwa meminta mangsa supaya tidak mendedahkan perlakuan individu terbabit atas alasan menjaga nama baik dunia sastera.
“Pandangan, pendirian, dan nasihat seperti ini sebenarnya ‘memenangkan’ pemangsa kerana meminta ‘mangsa’ berdiam diri,” menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, Kavyan menyatakan sokongan terhadap keberanian Sarah Ross dan Maghfirah Tmz tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan oleh pihak berkuasa.
Pertubuhan berkenaan turut menggesa mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa gangguan seksual oleh tokoh sastera supaya tampil membuat laporan dan mengemukakan bukti bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Dalam masa sama, Kavyan menyokong usaha Sarah Ross bersama rakan-rakan mengumpulkan lebih banyak bukti daripada mangsa lain bagi membolehkan tindakan secara kolektif dilakukan.
Selain mengingatkan penulis, khususnya penulis baharu dan peserta bengkel penulisan, supaya sentiasa berwaspada, Kavyan turut menggesa lebih banyak karya sastera yang mengangkat isu amang seksual dan gangguan seksual dihasilkan sebagai medium pendidikan kepada masyarakat.
Menurut pertubuhan itu, karya sastera bukan sahaja berperanan merakam realiti semasa, malah mampu meningkatkan kesedaran bahawa dunia penulisan juga tidak terkecuali daripada berdepan isu penyalahgunaan kuasa dan gangguan seksual.












