Rahman Shaari kongsi rahsia “kelainan” diri di Malam Bitara Kesasterawanan Negara

Rahmanshaariuitm

SHAH ALAM — Keghairahan terhadap dunia sastera melangkaui cabaran akademik dan kritikan, itulah yang dizahirkan oleh Sasterawan Negara ke-15, Dato’ Rahman Shaari, dalam majlis kemuncak Malam Bitara Kesasterawanan Negara yang berlangsung di UiTM Shah Alam, malam tadi.

Dalam ucapannya yang penuh santai namun sarat dengan mesej, Rahman mengimbau kembali detik awal penglibatannya dalam bidang sastera yang bermula daripada sebuah keputusan berani untuk meninggalkan aliran sains.

Beliau menceritakan bagaimana pengetuanya dahulu pernah mengecam tindakan tersebut dengan gelaran yang tidak akan dilupakannya.

“Masih terngiang-ngiang di ingatan saya. Guru besar tu marah dengan mengatakan awak nak jadi sekerat pula, sekerat belut. Jadi sains separuh sastera separuh,” ujar beliau yang disambut dengan tawa hadirin.

Meskipun pernah berhadapan dengan kegagalan awal dalam peperiksaan STPM selepas pertukaran tersebut, beliau tidak berputus asa dan meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris yang kini menjadi universiti untuk mendalami sastera dengan lebih serius.

Menariknya, Datuk Rahman juga berkongsi tentang keupayaan luar biasa beliau dalam menghafal skrip drama dan ratusan puisi.

Beliau memberikan contoh ketika mempelajari drama Matinya Seorang Pahlawan karya Sasterawan Negara Usman Awang, di mana beliau mampu menghafal keseluruhan skrip semua watak tanpa perlu merujuk naskhah.

Namun, beliau merendah diri dengan menyifatkan bakat tersebut sebagai satu keunikan individu.

Beliau menyatakan, “Saya sendiri mengatakan bukan istimewa tapi itu ialah kelainan. Saya nak tak mahu kata kelebihan. Saya nak kata itu ialah kelainan”.

Dalam majlis tersebut, beliau turut mendeklamasikan beberapa buah sajak ikonik beliau seperti “Bahasa”, “Sengsara”, dan “Diam”.

Melalui sajak “Bahasa”, beliau menegaskan kepentingan memartabatkan bahasa ibunda dengan berkata, “Bahasa adalah pengatur pucuk fikiran yang bertabur. Bahasa adalah pelentur ranting perasaan yang tersusun”.

Majlis Malam Bitara Kesasterawanan Negara ini merupakan anjuran Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertujuan untuk menghargai sumbangan tokoh sastera negara serta memberi inspirasi kepada generasi muda.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dekan FiTA, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Aida Wan Yahaya dan Ketua Bahagian Pembangunan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja DBP, Mohamad Azam Juhari.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *