Sharjah tuan rumah IPC 2028

Ipasharjah

KUALA LUMPUR — Bandar Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), secara rasmi diumumkan sebagai tuan rumah International Publishers Congress (IPC) 2028, salah satu persidangan paling berprestij dalam industri penerbitan dunia.

Persidangan dwitahunan anjuran International Publishers Association (IPA) itu bakal berlangsung pada Oktober 2028 dengan tema “Inclusion. Innovation. Integrity.”

Pengumuman tersebut dibuat pada Majlis Gala IPA 2026 sempena International Publishers Congress Ke-35 yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 5 hingga 9 Julai 2026.

Majlis yang ditaja oleh Sharjah Book Authority itu menghimpunkan kira-kira 500 delegasi daripada komuniti penerbitan antarabangsa dan menjadi pentas rasmi penyerahan hak penganjuran daripada Kuala Lumpur kepada Sharjah.

Majlis penyerahan berlangsung sejurus selesai penyampaian Anugerah IPA apabila wakil Kuala Lumpur menyerahkan bendera rasmi IPC kepada wakil Sharjah sebagai simbolik peralihan tuan rumah.

Pengasas dan Presiden Kehormat Emirates Publishers Association (EPA), Sheikha Bodour bint Sultan Al Qasimi, dalam ucapan penerimaannya berkata penganjuran IPC 2028 mencerminkan keyakinan komuniti penerbitan dunia terhadap Sharjah dan Emiriah Arab Bersatu sebagai pusat dialog, kerjasama serta pertukaran idea secara bebas.

“Penganjuran International Publishers Congress 2028 mencerminkan keyakinan yang diberikan oleh komuniti penerbitan global terhadap Sharjah dan Emiriah Arab Bersatu sebagai tempat pertemuan untuk dialog, kerjasama serta pertukaran idea secara bebas.

“Kami berharap dapat mengalu-alukan kehadiran para penerbit dari seluruh dunia ke persidangan yang akan mengukuhkan kerjasama antarabangsa, meneroka peluang yang membentuk masa depan industri penerbitan, serta menegaskan semula kepercayaan bersama terhadap kekuatan buku yang berupaya menghubungkan budaya, memperluas ilmu pengetahuan dan menyatukan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Presiden IPA, Gvantsa Jobava, turut menyambut baik pemilihan Sharjah sebagai tuan rumah seterusnya.

“Kami amat teruja untuk ke Sharjah bagi menghadiri International Publishers Congress Ke-36, di mana kami dapat meneruskan kejayaan persidangan di Kuala Lumpur serta memperkukuh agenda utama IPA dalam mempromosikan hak cipta dan kebebasan untuk menerbitkan dalam industri penerbitan.

“Emirates Publishers Association merupakan antara ahli IPA yang sangat aktif, dan kami tidak sabar untuk memulakan persiapan menuju persidangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemilihan Sharjah dilihat sebagai pengiktirafan terhadap peranannya yang semakin berkembang sebagai hab penerbitan antarabangsa. Emiriah itu telah membangunkan ekosistem penerbitan yang menyeluruh merangkumi penulisan, penerbitan, penterjemahan, perdagangan hak cipta serta pembangunan profesional, di samping menggalakkan inovasi, kreativiti dan pertukaran idea secara bebas.

Penganjuran IPC 2028 juga dijangka membuka peluang baharu dalam perdagangan hak penerbitan, penterjemahan, perkhidmatan penerbitan serta kerjasama antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Emiriah Arab Bersatu dalam ekonomi berasaskan pengetahuan.

Menurut Pengarah Eksekutif Emirates Publishers Association, Rashid Al Kous, penganjuran persidangan itu merupakan detik penting buat industri penerbitan negara tersebut.

“Penganjuran International Publishers Congress 2028 di Emiriah Arab Bersatu merupakan detik penting bagi industri penerbitan negara ini dan mencerminkan pengaruh Sharjah yang semakin kukuh dalam komuniti penerbitan global.

“Persidangan ini akan membuka peluang luar biasa kepada para penerbit Emirati untuk berinteraksi dengan rakan-rakan penerbit antarabangsa, memperkukuh pertukaran hak penerbitan, memperluas kerjasama penterjemahan serta memperkenalkan landskap penerbitan UAE yang dinamik kepada dunia.

“Kami berharap dapat menyumbang kepada penganjuran sebuah persidangan yang menggalakkan dialog, memacu inovasi dan mewujudkan kerjasama berkekalan yang memberi manfaat kepada para penerbit di rantau ini dan di seluruh dunia,” jelasnya.

Persidangan 2028 akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu Inclusion, Innovation dan Integrity.

Teras Inclusion akan menumpukan usaha memperluas penerbitan inklusif melalui representasi yang lebih menyeluruh, peningkatan aksesibiliti dan penghasilan kandungan yang mencerminkan kepelbagaian budaya.

Innovation pula akan membincangkan penyelesaian kreatif dan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), transformasi digital serta model perniagaan baharu bagi menyokong kelestarian industri penerbitan. Sementara itu, Integrity akan menekankan kepentingan etika, kepercayaan serta perlindungan harta intelek dalam era kemajuan teknologi.

Program persidangan akan merangkumi ucaptama, forum, bengkel dan pembentangan yang membincangkan pelbagai isu penting seperti penerbitan inklusif, reka bentuk buku yang mudah diakses, aliran kerja penerbitan berasaskan AI, strategi penyetempatan kandungan, penerbitan mampan, etika kecerdasan buatan, perlindungan hak cipta serta kerjasama antara penerbit, industri kreatif dan syarikat teknologi.

Selaras dengan keutamaan strategik IPA, persidangan itu akan terus mengangkat agenda Freedom to Publish dan Copyright, selain menjadi platform antarabangsa bagi menggalakkan dialog, perkongsian ilmu serta kerjasama dalam kalangan komuniti penerbitan global.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *