Istana Budaya angkat Aubrey Suwito menerusi Pop Meets Symphony

Aubrey

KUALA LUMPUR — Istana Budaya meneruskan usaha mengangkat tokoh dan karya muzik tempatan menerusi penganjuran National Symphony Orchestra (NSO) with Aubrey Suwito “Pop Meets Symphony” yang bakal berlangsung pada 2 dan 3 Oktober ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Program tersebut mengetengahkan Aubrey Suwito, antara komposer, penggubah dan penerbit muzik tempatan yang mempunyai pengaruh besar dalam perkembangan muzik pop tanah air.

Persembahan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (NSO) itu menjadi wadah untuk meraikan sumbangan serta perjalanan seni beliau yang telah mewarnai industri muzik Malaysia selama beberapa dekad.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Johan Cruyff @ Md Nordin, pemilihan Aubrey sebagai tokoh yang diketengahkan bertepatan dengan pencapaian serta sumbangan beliau dalam melakar sejarah industri muzik tempatan, termasuk penglibatannya di peringkat antarabangsa.

Konduktor NSO, Eric Lee pula melihat program berkenaan sebagai kesinambungan kepada usaha orkestra tersebut dalam mendukung perkembangan muzik tempatan.

Jika Lambang Sari Series sebelum ini memberikan ruang kepada pelapis bakat pemuzik tempatan, Pop Meets Symphony pula memberi penghormatan kepada tokoh komposisi muzik yang telah lama menyumbangkan kepakaran kepada negara.

Aubrey merupakan pemegang Master of Creative Arts (MoCA) dan graduan Berklee College of Music dengan anugerah Summa Cum Laude.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah meraih 26 Anugerah Industri Muzik (AIM) dalam pelbagai kategori, termasuk Album Terbaik Tahunan, Susunan Muzik Terbaik, Penerbit Album Pop Terbaik, Pencipta Lagu Etnik dan Bahasa Inggeris Terbaik serta kategori berkaitan rakaman dan kejuruteraan bunyi.

Antara pencapaian penting Aubrey termasuk kejayaannya menerusi lagu Gemilang nyanyian Jaclyn Victor yang memenangi Anugerah Juara Lagu ke-20 dan RTM Carta Hitz 1 pada 2005.

Beliau turut terlibat dengan karya seperti Lebih Indah nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang memenangi Anugerah Planet Muzik pada 2014, Memori Tercipta nyanyian Shila Amzah yang memenangi World Star Quest pada 2008 serta Seribu Impian nyanyian Casey yang menjadi finalis Anugerah Juara Lagu ke-10 pada 1995.

Kepakaran Aubrey turut membawanya bekerjasama dan membuat persembahan bersama sejumlah nama besar muzik antarabangsa, antaranya David Foster, Brian McKnight, Peter Cetera, CeeLo Green, John “Jr” Robinson, Chaka Khan, Eric Benét, Babyface, Kris Dayanti dan Yuna.

Selain menghasilkan karya untuk pelbagai artis tempatan, beliau turut menghasilkan enam album muzik sendiri serta aktif sebagai penerbit, pengarah muzik dan penggubah muzik filem.

Dalam persembahan Pop Meets Symphony, sebanyak 16 karya ciptaan Aubrey akan dipersembahkan dalam tiga segmen, iaitu Inspirasi, Ekspresi dan Apresiasi.

Tiga penyanyi tempatan, Ernie Zakri, Syamel dan Shiha Zikir, akan menghidupkan karya-karya tersebut dalam susunan orkestra yang menggabungkan elemen muzik pop dengan keagungan persembahan simfoni.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Gemilang, Seribu Impian, Memori Tercipta, Gemuruh, Awan Yang Terpilu dan Menuju Puncak.

Menariknya, persembahan itu turut menjadi pentas sulung bagi sebuah karya baharu ciptaan Aubrey yang ditulis khusus untuk Shiha Zikir.

Lagu tersebut bakal diperdengarkan kepada khalayak buat pertama kali secara eksklusif menerusi persembahan di Istana Budaya.

Persembahan selama dua malam itu dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam. Tiket ditawarkan pada harga antara RM78 hingga RM259 mengikut kategori, manakala potongan 10 peratus turut diberikan kepada warga emas, pemegang kad OKU, pelajar dan penjawat awam bagi kategori tiket Awan Yang Terpilu.

Penganjuran program turut mendapat sokongan rakan strategik, termasuk Music Bliss Sdn. Bhd., pengedar rasmi alat muzik dan piano Kawai dari Jepun di Malaysia, serta Apa Khabar Malaysia, program bual bicara pagi terbitan Bernama TV yang menyokong aspek publisiti dan promosi.

Lebih daripada sekadar sebuah persembahan muzik, Pop Meets Symphony memperlihatkan usaha Istana Budaya dalam mendokumentasikan dan meraikan sumbangan tokoh muzik tempatan melalui pentas berprestij.

Penggabungan karya Aubrey Suwito dengan kekuatan NSO juga membuka ruang untuk generasi baharu mengenali semula karya-karya yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik popular Malaysia dalam pendekatan persembahan yang berbeza.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *